Portal Rasmi Jabatan Mufti Negeri Perlis

  • Increase font size
  • Default font size
  • Decrease font size

Jabatan Mufti Negeri Perlis

Tingkat 1,
Blok A, Bangunan Dato' Mahmud Mat,
01000 Kangar, Perlis

Tel : 04-9794428
Fax : 04-9763844

Artikel Mufti: Kahwin terpaksa, Punca Suami kata tak cinta

E-mail Cetak PDF

Oleh : Dr Juanda Jaya (Mufti Perlis)

Cinta merupakan suatu proses pembelajaran semulajadi yang mesti dilalui setiap insan. Dalam perkahwinan, setiap pasangan dituntut untuk belajar bagaimana membuat pasangannya jatuh cinta setiap hari. Tetapi malangnya, mereka hanya menunggu bilakah si dia berubah dan mahu mencintaiku sepenuh hati sedangkan diri sendiri tidak pernah mempersoalkan apakah telah bersedia berubah supaya pasangannya bertambah sayang.

Adakalanya seseorang bosan dengan pasangan dan akhirnya berani menyatakan bahawa dirinya tidak lagi mencintai pasangannya itu. Alangkah mudahnya melafazkan tak cinta lagi walaupun telah lahir zuriat yang ramai dan berpuluh tahun menikah. Ada beberapa punca yang menyebabkan suami rasa bosan dan berani menyatakan ‘tak cinta lagi’ kepada isteri.

1. Suami miang, mabuk cinta kekasih baru

Kes seperti ini sering dihadapi ekoran trend masyarakat yang bebas bergaul dan kurang ikatan agama. Ramai yang melihat keadaan sebegini berlaku di mana-mana tetapi adakah kita mahu mengambil pelajaran? Punca lelaki curang bukan hanya kerana masalah yang ditimbulkan dalam rumah saja bahkan ramai yang mengaku isteri mereka baik-baik belaka tetapi godaan di luar sana terlalu hebat. Semua lelaki punya nafsu yang boleh meletup-letup jika tidak dikawal dengan bimbingan tangan isteri. Seharusnya isteri faham bagaimana menutup mata suami daripada pandangan liar wanita lain, bagaimana pula menjaga hati suami supaya tidak berpindah ke hati wanita lain.

Tetapi kebanyakan wanita merasa tak adil jika mereka saja yang bertungkus lumus menjaga hati suami sedangkan suami tak mahu membalas dengan perbuatan serupa dan setimpal. Perasaan seperti ini hanyalah mainan emosi anda sahaja, sedangkan batu yang keras akhirnya akan tembus oleh kelembutan air yang menitik di atasnya. Inikan pula hati seorang suami, jika tak cukup setahun untuk dia berubah tunggulah sehingga detik berlalu dengan harapan yang memuncak. Selagimana suami anda seorang manusia, hatinya pasti berada dalam genggaman Allah Taala. Jangan berhenti berusaha dan berdoa, jangan menyerah kalah untuk membuat suami bertambah cinta.

2. Kahwin terpaksa

Ramai juga yang menjadi mangsa akibat proses perjodohan yang dirancang keluarga, teman atau saudara. Tak kurang yang dipaksa oleh keadaan. Peliknya jika ada masalah timbul, mereka yang bertungkus lumus menyatukan dua jiwa ini dijadikan kambing hitam. Bukankah mereka hanya memberi jalan sedangkan keputusan terakhir itu jatuh di tangan kedua-dua pasangan? Pelik sungguh, menyalahi takdir yang sudah terjadi seolah-olah membangkang perbuatan Tuhan! Jangan salahkan orang jika anda dan pasangan saling membenci. Bahkan ada yang poligami dengan alasan dulu kahwin pertama itu pilihan orang lain, kahwin kedua pilihan hati sendiri. Kalaulah begitu, masa melafazkan akad nikah dulu yang duduk menggenggam tangan tok kadi tu tak ikhlas ke, yang membuntingkan bini hingga berbelas anak pun tak ikhlas juga, yang merayu-rayu minta layanan seks tu tak ikhlas lah ye! Alahai lelaki, berjuta alasan boleh dicari, namun ianya tetap tidak dapat menyembunyikan fakta-fakta itu dari hidup anda.

3. Tak tahu apa yang dimahu pasangan

Anda pasti bertanya-tanya mengapa pasangan anda pendiam, suka menyimpan perasaan, tak berterus terang dan sukar diajak berkomunikasi dengan baik. Kalau dah meletup kemarahannya barulah anda tahu rupa-rupanya si dia masih punya perasaan. Diam bukan bermakna suami tak sensitif tapi memang pun dia tidak berapa mahir dalam teknik komunikasi bersama pasangan. Isteri yang suka bersembang jangan merasa tak dihargai jika suami tak layan. Mungkin itu sudah menjadi sikapnya yang semulajadi, melainkan jika suami tiba-tiba berubah diam saja dan menunjukkan gerak geri yang berbeza daripada biasa. Isteri kena ambil tahu, kaji selidik dan menyiasat mengapa perubahan itu terjadi pada suami. Jika masalahnya berpunca daripada isteri, dia mesti meminta maaf dan bersedia menerima tunjuk ajar suami. Kadang-kadang masalah itu remeh pada pandangan isteri justeru berat pada perasaan suami.

Di sinilah pentingnya berbicara dari hati ke hati, boleh jadi apa yang kita rasa tidak sama dengan perasaan suami atau sebaliknya. Kalau kedua-duanya tidak memahami satu sama lain, inilah yang menjadi punca suami hilang kepercayaan kepada isteri dan akhirnya hilang juga rasa cinta sedikit demi sedikit.

4. Mementingkan diri sendiri

Kalau suami bermasalah, lantaklah suka hati dia! Janji anak-anak baik, aku bayak duit, kerja bagus, pangkat besar, emak bapa sayang, kawan-kawan ramai!

Kata-kata sebegini adakah ikhlas dari hati anda? Ataukah sekadar mahu menghibur jiwa anda yang sakit? Bolehkah dengan fahaman sebegini semua masalah akan selesai dengan baik? Semuanya tak akan selesai sampai akhirnya anda akan melihat siapakah yang menjadi mangsa keadaan ini. Apakah suami, isteri atau anak-anak yang akan menjadi korbannya. Putus asa kepada pasangan bermakna anda putus asa kepada Allah SWT. Carilah jalan keluar sebelum masalah menjadi rumit, padamkan api yang kecil cepat-cepat sebelum berubah menjadi lautan api yang melahap rumahtangga anda! Selesaikan sekarang juga sebelum terlambat, buat semakan dan perbaikan cinta anda kepadanya.

Sumber :- DrJuanda.com

Kongsi Artikel Ini :

Mau'izah Harian

Kecantikan yang abadi terletak pada keelokkan adab dan ketinggian ilmu seseorang, bukan terletak pada wajah dan pakaiannya – (Hamka)

 

Undang-undang adab dan budi pekerti membentuk kemerdekaan bekerja. Undang-undang akal membentuk kemerdekaan berfikir. Dengan jalan menambah kecerdasan akal, bertambah murnilah kemerdekaan berfikir – (Hamka)

 

Pergaulan mempengaruhi didikan otak. Oleh itu, untuk kebersihan jiwa hendaklah bergaul dengan orang-orang beradab dan berbudi mulia yang dapat kita kutip manfaatnya – (Hamka)

 
Anda Disini: Informasi Koleksi Artikel/Khutbah Artikel Mufti: Kahwin terpaksa, Punca Suami kata tak cinta