Portal Rasmi Jabatan Mufti Negeri Perlis

  • Increase font size
  • Default font size
  • Decrease font size

Jabatan Mufti Negeri Perlis

Tingkat 1,
Blok A, Bangunan Dato' Mahmud Mat,
01000 Kangar, Perlis

Tel : 04-9794428
Fax : 04-9763844

Artikel Mufti: Gejala Keruntuhan Moral Generasi Muda Islam

E-mail Cetak PDF

Oleh : Dr Juanda Jaya (Mufti Perlis)

Tiada gunanya tangisan ibu dan ayah yang menyesali perbuatan terkutuk anak-anak mereka yang terlibat kes rogol, mencuri, menagih dadah dan arak bahkan membunuh secara kejam dengan gelaran samseng sekolah. Jika tangisan itu ditumpahkan semasa usia anak-anak mereka tujuh tahun alangkah bernilainya harga airmata itu, ia boleh merubah kehidupan sang anak menjadi anak harapan bukan anak buangan seperti sekarang. Dimana peranan ibu bapa? Bukankah pendidikan anak dalam Islam bermula dari persenyawaan benih di dalam rahim lagi dan proses ini berterusan sepanjang hayat. Tujuh tahun yang disebutkan dalam hadis Rasulullah agar menyuruh mereka salat menjadi panduan bagi setiap orang tua untuk memulakan sentuhan ruhani pada diri anak disamping mendidik mereka untuk berdisiplin dan berjiwa bersih. Tetapi ada juga sesetengah ibu bapa yang membela diri dengan mengatakan bahawa anak kami telah dididik dan dijaga dengan betul boleh juga terseleweng kerana pengaruh luaran. Maknanya belum memadailah penjagaan mereka itu jika anak mereka boleh terdedah kepada hal-hal negatif tanpa sepengetahuan mereka. Kerana proses mendidik amatlah tersusun, lengkap dengan kualiti metod dan sistem kawalan melalui pendekatan psikologi yang berterusan sampai ke mati. Tetapi sayang tidak sedikit ibu bapa yang menyerahkan tanggung jawab mendidik sepenuhnya kepada guru. Sikap tidak peduli dengan perasaan anak dalam tahap-tahap perkembangannya banyak menyumbang kepada kepincangan identiti pada diri anak itu sendiri. Kepada ibu bapa yang belum menitiskan airmata simpanlah segala alasan untuk menyalahkan sesiapapun di luar rumah anda atas keadaan anak-anak anda.

Budaya Materialisme dan Hedonisme menyumbang kerosakan moral

Seorang sasterawan Jerman, Pruschert (yang meninggal dunia pada tahun 1947) mengungkapkan refleksi perasaannya yang mendalam tentang keputusasaannya terhadap generasi muda pada zaman itu: “Kita adalah generasi tanpa agama, tanpa ketenteraman. Matahari kita sempit dan cinta kita kekejaman, generasi muda kita hilang kemanusiaan. Kita generasi tanpa ikatan, tanpa batasan dan tanpa perlindungan dari siapapun.”
Demikianlah fenomena kehancuran generasi muda di Barat. Pada hakikatnya mereka hidup dengan kesengsaraan diperbudak hawa nafsu tanpa mengenal agama.
Malaysia yang merupakan salah satu negara Islam terbilang di dunia tidak terkecuali menghadapi bahaya kemunduran akhlak sama seperti negara-negara Islam yang lain. Alhamdulillah pemimpin-pemimpin negara sudah dapat merasakan gejalanya sehingga dilancarkan satu kempen kesedaran ummat iaitu Islam hadhari, usaha untuk mengembalikan ummat kepada kemurnian nilai-nilai Islam yang maju dan bertamadun serta menolak unsur-unsur negatif yang merosakkan agama, bangsa dan negara. Diantara tamadun-tamadun yang pernah berdiri megah, tamadun baratlah yang paling berpengaruh pada kehidupan masyarakat dunia sekarang ini. Nilai-nilainya amat cepat menyerap melalui globalisasi dunia tanpa sempadan. Pelbagai sistem teknologi menjadi alat transformasi budaya yang sungguh hebat. Sayangnya sistem yang baik dari tamadun barat ini kurang diserap oleh orang Islam bahkan sebaliknya budaya materialisme dan hedonisme (budaya keseronokan) yang menyumbang kepada keruntuhan akhlak menjadi ikutan generasi Islam. Saat ini kempen “Budi Bahasa Budaya Kita” rancak dijalankan adakah disebabkan terlalu teruknya perilaku sosial umat ini? Sehingga tergila-gila pada budaya barat yang melupakan nilai-nilai moral dan budaya? Montgomery adalah seorang bekas panglima tertinggi angkatan tentera pakatan atlantik utara (Nato) yang pernah menjadi pensyarah maktab tentera British, beliau menumpukan sepenuh perhatiannya kepada mengarang buku-buku dan memberi bimbingan kepada belia-belia di negaranya. Beliau berkata, “Saya pernah ditanya tentang jenayah apakah yang paling jahat yang pernah dilakukan seseorang, jawapan saya ialah perbuatan menyesatkan moral kanak-kanak dan belia. Walau apa hukumanpun tidak akan sepadan dengan manusia seperti ini.” Sambungnya lagi: “Bukankah kita sekarang hidup di dalam kabus yang menipu, di alam yang dikuasai oleh kebendaan dan melemparkan nilai-nilai keruhanian. Apalah gunanya manusia jika hal ini berlaku di seluruh dunia, hilang jiwanya.” Keperihatinan negarawan British ini terhadap masa depan belia sungguh mengharukan kita sebagai orang Islam. Beliau memperjuangkan nilai-nilai agama kristian dalam sistem pendidikan belia di sana sementara banyak orang kita yang bangga memuja-muja nilai materialisme dan hedonisme dari barat dalam mendidik anak. Apakan jadi bila seorang bapa dengan bangganya memberitahu publik dalam surat khabar bahawa ia sengaja memperuntukkan wang RM 2000,00 seminggu untuk anak-anaknya mengundi rancangan hiburan realiti yang paling disukai ramai. Sementara anak-anak di luar Bandar terpaksa berjalan kaki ke sekolah dengan jarak berpuluh kilometer kerana kemiskinan. Dan kepada ibu bapa di bandar-bandar bahkan di pelosok kampung, yang buat tak tahu dengan sikap anak-anak mereka yang bergaul bebas, lari dari sekolah, hidup untuk kesenangan dan hiburan semata-mata, dimanakah nilai agama hendak ditegakkan? Adakah kemajuan itu diukur dengan mengikut gaya hidup metal, rock, punk, bolywood atau holywood? Siapa sebenarnya yang membiarkan anak-anak rosak, tersesat dan tak berguna?

Kembali kepada pendidikan Islam

Sebelum kehancuran itu menenggelamkan harapan sebuah keluarga, mengapa tidak memperbaiki keadaan dengan memulainya dari para ibu bapa, pendidik, pemuka masyarakat, ulama, pengkaji dan pensyarah, pemimpin politik, para penggiat seni dan budaya, ahli korporat dan semua lapisan masyarakat yang menjadi ikutan generasi akan datang. Berilah contoh teladan yang baik, bimbing anak-anak kita dengan nilai-nilai murni yang berlandaskan agama Allah SWT. Jangan sesatkan mereka dengan ideologi hamba nafsu dan kegilaan syahwat. Jika Motgomery bangga dengan ajaran al-Masih mengapa kita malu menerapkan ajaran Islam sebagai acuan pendidikan di rumah, di sekolah dan di masyarakat?
Sesungguhnya menjaga dan mendidik anak adalah kerja yang paling berat dan mencabar, jangan dipandang remeh pekerjaan yang berupaya menghasilkan insan baru yang akan berjalan dengan ideologi kita, akhlak kita, semangat kita, kepintaran dan intelektual hasil asuhan kita, kerana kitalah yang membentuk mereka. Sabda Rasulullah SAW: ”Anak-anak dilahirkan dalam keadaan suci, ibu bapanyalah yang mencorakkannya menjadi Yahudi, Majusi atau Nasrani.” (Bukhari Muslim)
Tidak sedikit ibu bapa yang lupa bagaimana menyayangi anak. Kerana sayang pada mereka bukan setakat dalam kehidupan di dunia ini saja semestinya bawalah mereka sampai ke akhirat dengan kasih sayang anda untuk hidup bersama di syurga.

Sumber :- Drjuanda.com

Kongsi Artikel Ini :
Terakhir dikemaskini ( Rabu, 30 Mei 2012 10:15 )

Mau'izah Harian

Kecantikan yang abadi terletak pada keelokkan adab dan ketinggian ilmu seseorang, bukan terletak pada wajah dan pakaiannya – (Hamka)

 

Undang-undang adab dan budi pekerti membentuk kemerdekaan bekerja. Undang-undang akal membentuk kemerdekaan berfikir. Dengan jalan menambah kecerdasan akal, bertambah murnilah kemerdekaan berfikir – (Hamka)

 

Pergaulan mempengaruhi didikan otak. Oleh itu, untuk kebersihan jiwa hendaklah bergaul dengan orang-orang beradab dan berbudi mulia yang dapat kita kutip manfaatnya – (Hamka)

 
Anda Disini: Informasi Koleksi Artikel/Khutbah Artikel Mufti: Gejala Keruntuhan Moral Generasi Muda Islam