Portal Rasmi Jabatan Mufti Negeri Perlis

  • Increase font size
  • Default font size
  • Decrease font size

Jabatan Mufti Negeri Perlis

Tingkat 1,
Blok A, Bangunan Dato' Mahmud Mat,
01000 Kangar, Perlis

Tel : 04-9794428
Fax : 04-9763844

Artikel Mufti: Kebenaran cinta seorang hamba kepada Allah Taala

E-mail Cetak PDF

Oleh : Dr Juanda Jaya (Mufti Perlis)

Diantara ramai manusia ada yang mengaku bahawa dirinya mencintai Allah. Maka dia pun menunjuk-nunjuk perilaku yang boleh dilihat orang bahawa dia dekat dengan Tuhan. Jika berada dalam majlis lakonannya khusyuk dan tawadhuk, lidahnya bergetar-getar sambil tangannya menghitung-hitung biji tasbih. Saat itu dia berasa terlalu tinggi berbanding orang lain, hatinya berkata bahawa akulah yang paling alim dan abid. Sehingga Allah Taala membuka tirai hatinya itu dengan perbuatannya yang menakutkan manusia. Dia menajamkan lidah kepada orang yang dikritik, seraya menunjuk-nunjuk bahawa aku saja yang sempurna dan anda sungguh ahli maksiat. Jika bersalam mata tak sudi memandang orang yang memberi salam, keangkuhannya begitu terserlah kerana malam tadi dia telah menghabiskan beribu-ribu wirid sedangkan dia yakin orang yang memberi salam itu sedikit beramal, tidak sedarjat iman dengan dirinya. Padahal jika seorang hamba mencintai Allah Taala dan berada dekat di sisi-Nya akan terbit di dalam hatinya rasa kerdil dan hina dihadapan Allah dan di tengah-tengah manusia.

Tiga penyakit yang menjangkiti orang yang mengaku mencintai Allah ialah, takabbur merasa diri lebih hebat berbanding orang lain, penyakit ini merupakan peninggalan syaitan. Tamak sehingga melampaui cara dan amalan Rasulullah SAW, melahirkan bid’ah-bid’ah di dalam amalan dan ketiga iaitu penyakit dengki yang membutakan hatinya daripada melihat kemuliaan orang lain. Penyakit ini pernah menjangkiti kaum Yahudi dan Nasrani sebagaimana yang tertulis di dalam Al-Quran:
“ Orang-orang Yahudi dan Nasrani mengatakan: “Kami ini adalah anak-anak Allah dan kekasih-kekasih-Nya. Katakanlah: Maka mengapa Allah menyiksa kamu kerana dosa-dosamu? (kamu bukanlah anak-anak Allah) melainkan manusia biasa diantara orang-orang yang diciptakan-Nya.” (Al-Quran surah Al-Maidah ayat: 18)

Hati kita boleh membaca bagaimanakah keadaan diri sendiri di dalam mencintai Allah. Palsu atau benarkah cinta kita ini? Kadang-kadang ibadah yang kita lakukan itu bercampur niat untuk menunjuk-nunjuk di hadapan manusia walaupun pada mulanya kerana Allah. Untuk itu hamba-hamba yang sensitif hatinya di dalam mencintai Allah amat suka menyembunyikan amalnya daripada penglihatan manusia. Mereka percaya perasaan cinta itu tidak berasa sedap lagi jika dikongsi dengan orang lain. Mereka beranggapan bahawa amalan yang dilakukan merupakan pembuktian cinta kepada Allah dan hanya kepada Allah sahaja mereka mahu menyatakan cintanya. Biarlah rahsia amal itu menjadi kekuatan cinta antara hamba dan Tuhannya. Diantara dalil sunnah yang menunjukkan bukti-bukti cinta seorang hamba kepada Allah Taala ialah, sabda Rasulullah SAW:

”Ada tiga orang lelaki yang dicintai Allah Taala, iaitu seseorang yang mendatangi suatu kaum lalu ia meminta sesuatu kepada mereka, dia tidak meminta kerana hubungan kekerabatan diantara mereka Namun mereka tidak memberinya kemudian setelah mereka berpaling daripada lelaki itu tinggallah seorang lelaki daripada kalangan mereka lalu dia pun memeberinya dengan diam-diam tanpa ada seorang pun yang mengetahui pemberiannya melainkan Allah Taala dan orang yang menerima. Dan suatu kaum yang mengadakan perjalanan pada malam hari manakala tidur lebih mereka sukai daripada apa yang dilakukan salah seorang daripada mereka, kemudian mereka berehat dan meletakkan kepala mereka dengan tidur yang lelap. Lalu lelaki itu bangkit kepada-Ku seraya membaca kalam-Ku. Dan seorang lelaki yang berada di dalam sebuah pasukan lalu mereka bertemu musuh namun mereka kalah tetapi lelaki itu tetap maju hingga akhirnya mati atau beroleh kemenangan.” (Hadis riwayat Al-Nasai dinilai hasan sebahagiannya oleh Al-Bani)

Selain menyembunyikan amal, diantara bukti cinta kita kepada Allah ialah bergaul dengan pergaulan yang mesra kepada sesama manusia. Kehadirannya di tengah-tengah manusia amat dialu-lukan, mereka mencintai keperibadian, ilmu dan amalnya. Diriwayatkan dari Abu Idris Al-Khaulani yang telah menceritakan kisah berikut ini, ”Aku masuk ke masjid kota Damaskus. Tiba-iba aku melihat seorang pemuda yang putih bersih giginya sementara di sekelilingnya terdapat ramai manusia. Apabila mereka berselisih pendapat mengenai sesuatu maka mereka menyerahkan masalah mereka kepada pemuda itu kemudian mereka menerima pendapatnya. Ketika ditanya: Siapakah lelaki ini? Mereka menjawab: Dia adalah sahabat Rasulullah SAW, Muaz bin Jabbal RA.

Setelah itu Abu Idris Al-Khaulani datang kepadanya saat beliau solat, Abu Idris menunggu sehingga beliau selesai. Lalu Abu Idris melanjutkan kisahnya: Aku berkata kepadanya: Demi Allah aku benar-benar mencintaimu kerana Allah Taala. Maka beliau berkata: Apakah kerana Allah? Aku menjawab: Ya, kerana Allah. Beliau memegang kainku dan merapatiku seraya berkata: Bergembiralah kerana sesungguhnya Aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda bahawa Allah Taala telah berfirman di dalam hadis Qudsy: ”Telah pasti kecintaanku kepada orang-orang yang saling mencintai kerana Aku, orang-orang yang bergaul kerana Aku, orang-orang yang saling berziarah kerana Aku dan orang-orang yang saling memberi kerana Aku.”

Siapakah diri kita di tengah-tengah kawan-kawan yang ramai, jiran yang duduk di sekeliling rumah, saudara mara yang bertalian darah, rakan-rakan perniagaan atau teman sepejabat. Bagaimanakah keadaan kita disisi isteri tercinta, anak-anak dan keluarga? Sesungguhnya kecintaan manusia kepada kita berkait rapat dengan kecintaan Allah. Sebagaimana yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim. Rasulullah SAW bersabda: ”Sesungguhnya Allah Taala apabila mencintai seorang hamba, maka Dia memanggil Jibril dan berfirman: Sesungguhnya Aku mencintai hamba ini, maka cintailah dia! Lalu Jibril pun mencintainya dan berseru kepada penghuni langit: Sesungguhnya Allah Taala mencintai hamba ini maka cintailah dia! Seluruh penduduk langit pun mncintainya sehingga diletakkan kecintaan kepadanya di kalangan penduduk bumi.”

Mengaku-aku mencintai Allah amat mudah dilafaz dan dilakonkan, tetapi cinta itu hanya boleh dizahirkan dari dalam hati yang suci bukan yang berpenyakit takabbur, tamak dan dengki kepada orang lain. Ikutilah Rasulullah SAW di dalam mencintai Allah, kaedah dan caranya terang lagi jelas. Hanya Al-Quran dan Al-Sunnah menuntun kita ke arah mahabbatullah yang sejati.

Sumber :- Drjuanda.com

Kongsi Artikel Ini :

Mau'izah Harian

Kecantikan yang abadi terletak pada keelokkan adab dan ketinggian ilmu seseorang, bukan terletak pada wajah dan pakaiannya – (Hamka)

 

Undang-undang adab dan budi pekerti membentuk kemerdekaan bekerja. Undang-undang akal membentuk kemerdekaan berfikir. Dengan jalan menambah kecerdasan akal, bertambah murnilah kemerdekaan berfikir – (Hamka)

 

Pergaulan mempengaruhi didikan otak. Oleh itu, untuk kebersihan jiwa hendaklah bergaul dengan orang-orang beradab dan berbudi mulia yang dapat kita kutip manfaatnya – (Hamka)

 
Anda Disini: Informasi Koleksi Artikel/Khutbah Artikel Mufti: Kebenaran cinta seorang hamba kepada Allah Taala