SEDEKAH AMALAN KEBAJIKAN
(10 Jun 2011/9 Rejab 1432)
اَلْحَمْدُلِلّهِ الَّذِى هَدَانَا لِهَذَا وَمَا كُنَّا لِنَهْتَدِيَ لَوْ لَا أَنْ هَدَانَا الله, أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ. فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ
ياأيها الناس اتقوا ربكم الذي خلقكم من نفس واحدة وخلق منها زوجها وبث منهما رجالا كثيرا ونساء واتقوا الله الذي تساءلون به والأرحام إن الله كان عليكم رقيبا.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، إِتَّقُوْا الله أُوْصِيْكُمْ وَاِيـَّايَ بِتَقْوَى الله فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.
Muslimin Yang Dirahmati Allah,
Saya berpesan kepada diri saya dan sidang Jumaat sekalian, marilah kita bersama-sama tingkatkan ketakwaan kepada Allah SWT, dengan mentaati segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Sesungguhnya kebahagiaan di dunia dan kesejahteraan di akhirat hanyalah ditentukan oleh iman dan takwa. Mimbar hari ini akan membicarakan tajuk ”Sedekah Amalan Kebajikan”.
Sidang Jumaat Yang Berbahagia,
Setiap yang hidup pasti akan mati. Apabila datangnya kematian, maka terputuslah semua amalan melainkan beberapa perkara sahaja. Sabda Rasulullah SAW, dalam hadis riwayat Al-Bukhari:
اِذَا مَاتَ ابْنُ آدَمَ اِنْقَطَعَ عَمَلُهُ اِلَّا مِنْ ثَلَاثٍ : صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ, أَوْ عِلْمٍ يٌنْتَفَعُ بِهِ, أَوْ وَلَدٌ صَالِحٌ يَدْعُو لَهُ
Maksudnya: ‘Apabila seorang anak Adam mati, segala amalannya terputus, kecuali tiga perkara: iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya’.
Hadis tersebut menjelaskan kepada kita, bahawa terdapat beberapa amalan utama yang perlu dilakukan oleh setiap muslim semasa hidupnya di dunia. Amalan tersebut adalah sebagai bekalan menuju ke alam akhirat. Antara amalan tersebut, ialah amalan sedekah yang merupakan sebahagian amalan yang menjadi saham di akhirat nanti.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Bersedekah amat digalakkan oleh Islam. Firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 261:
مثل الذين ينفقون أموالهم في سبيل الله كمثل حبة أنبتت سبع سنابل في كل سنبلة مائة حبة والله يضاعف لمن يشاء والله واسع عليم
Bermaksud: ‘Bandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai, tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan ingatlah, Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas rahmatNya, lagi meliputi ilmu pengetahuanNya’.
Ayat yang dibacakan itu menceritakan tentang kelebihan bersedekah. Setiap sesuatu yang disedekahkan, akan digandakan pahala oleh Allah SWT.
Muslimin Yang Dirahmati Allah,
Umat Islam mempunyai peluang yang amat luas untuk melipatgandakan pahala khususnya bagi mereka yang dikurniakan harta dan wang ringgit yang banyak. Oleh itu, beruntunglah orang-orang yang diberi oleh Allah SWT kelebihan suka menolong orang lain dan bersedekah di dalam perkara kebajikan. Sabda Rasulullah SAW:
خَيْرُ النَّاسِ أَنْفَعُهُمْ لِلنَّاسِ
Bermaksud: “ Sebaik-baik manusia ialah mereka yang memberi manfaat kepada orang lain”. (Hadis sahih dalam Silsilah As-Sahihah)
Berdasarkan hadis tersebut, maka beruntunglah bagi sesiapa yang menjadi orang yang banyak memberi manfaat kepada sesama manusia. Selain itu, mereka juga suka memberi bantuan dalam kerja-kerja kebajikan dan berusaha mengurangkan penderitaan terhadap musibah yang ditanggung oleh seseorang. Oleh itu, seruan amalan suka menolong dan membantu orang lain adalah termasuk dalam amal ibadah, bahkan pahalanya sangat besar. Islam tidak membataskan sedekah pada harta semata-mata, bahkan Islam menganggap semua kebaikan sebagai sedekah.
Muslimin yang dirahmati Allah sekalian,
Saban hari media massa memaparkan kisah penderitaan masyarakat, ada dalam kalangan mereka yang terlantar sakit, fakir dan miskin. Sebenarnya, kita boleh membantu mereka sama ada dengan wang ringgit atau sokongan moral. Ada juga dalam kalangan mereka memerlukan pelbagai bantuan, antaranya bantuan organ untuk meneruskan kehidupan. Menurut laporan Kementerian Kesihatan Malaysia, bilangan pesakit yang memerlukan organ semakin meningkat di Malaysia.
Berdasarkan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis pada 6 November 1965 telah mengambil keputusan mengharuskan pendermaan organ. Keputusan fatwa ini berdasarkan keterangan dalil dan maslahah umat manusia. Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis adalah yang terawal membenarkan pendermaan organ menerusi fatwa pendermaan kornea mata. Pendermaan organ adalah sebahagian amalan sedekah jariah paling utama, demi menyelamatkan nyawa sesama manusia. Firman Allah SWT dalam surah Al-Maidah ayat 32:
ô وَمَنْ أَحْيَاهَا فَكَأَنَّمَا أَحْيَا النَّاسَ جَمِيعًا
Maksudnya:“ Dan sesiapa yang menjaga kehidupan manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga kehidupan manusia semuanya.”
Justeru, pendermaan organ dapat memberi kehidupan kepada orang-orang yang sangat memerlukan organ tersebut.
Muslimin Yang Dirahmati Allah,
Mengakhiri khutbah pada minggu ini, mimbar ingin merumuskan bahawa :
Pertama : Umat Islam tidak boleh hidup bersendirian. Oleh sebab itu, mereka hendaklah hidup bermasyarakat dan membantu antara satu sama lain.
Kedua: Anggota masyarakat hendaklah hidup dalam suasana ukhuwah. Ini akan menjamin hidup mereka dalam keadaan aman sejahtera, makmur dan bahagia.
Ketiga: Tuntutan bersedekah dan menderma adalah sebahagian daripada cabang iman. Sesiapa yang melaksanakan tuntutan ini akan mendapat ganjaran pahala serta dikasihi Allah SWT dan Rasul SAW.
Justeru, marilah sama-sama kita mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan mengamalkan amalan toloong-menolong sesama muslim. Mudah-mudahan hidup kita sentiasa diberkati oleh Allah SWT.




Fax : 04-9763844



