FAQHubungiMaklumbalasPeta Laman
Pilihan Bahasa
msen
Saiz Teks

Soalan;

Adakah boleh melaksanakan ibadah korban dengan seekor kambing untuk satu keluarga?

 

Jawapan;

Boleh melaksanakan ibadah korban dengan seekor kambing, diniatkan ibadah korban itu untuk diri sendiri dan ahli keluarga. Inilah yang pernah dilakukan oleh Nabi kita Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pada hari ‘Iedul ‘Adha. Demikian pula para sahabat beliau radhiyallahu ‘anhum. Daripada عُرْوَة بْنِ الزُّبَيْرِ, daripada عَائِشَة radhiyallahu ‘anha, beliau berkata:

 

أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمَرَ بِكَبْشٍ أَقْرَنَ يَطَأُ فِي سَوَادٍ، وَيَبْرُكُ فِي سَوَادٍ، وَيَنْظُرُ فِي سَوَادٍ، فَأُتِيَ بِهِ لِيُضَحِّيَ بِهِ، فَقَالَ لَهَا: «يَا عَائِشَةُ، هَلُمِّي الْمُدْيَةَ»، ثُمَّ قَالَ: «اشْحَذِيهَا بِحَجَرٍ»، فَفَعَلَتْ: ثُمَّ أَخَذَهَا، وَأَخَذَ الْكَبْشَ فَأَضْجَعَهُ، ثُمَّ ذَبَحَهُ، ثُمَّ قَالَ: بِاسْمِ اللهِ، اللهُمَّ تَقَبَّلْ مِنْ مُحَمَّدٍ، وَآلِ مُحَمَّدٍ، وَمِنْ أُمَّةِ مُحَمَّدٍ، ثُمَّ ضَحَّى بِهِ

 

Ertinya:“Bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam memerintahkan (agar dibawakan kepada beliau) seekor kibas yang bertanduk, hitam kaki-kakinya, perutnya hitam dan sekitar matanya hitam. Maka kibas itu pun dibawakan kepada beliau untuk disembelih sebagai korban; maka beliau berkata kepada ‘Aisyah: “Wahai Aisyah, ambilkan pisau.” Lalu beliau pun berkata, “Tajamkanlah (asah-lah) pisau itu dengan batu.” Aisyah pun melaksanakan perintah tersebut. Lalu Nabi pun mengambil pisau tersebut, mengambil kibas tersebut, dan membaringkannya, lalu bersedia menyembelihnya. Beliau membaca, “Bismillah(dengan nama Allah), ya Allah terimalah dari Muhammad, keluarga Muhammad dan dari umat Muhammad!” Lalu beliau pun langsung menyembelihnya.” (Sahih Muslim, no. 1967. Sunan Abi Dawud, no. 2792)

 

Dari hadis ini, para ulama telah menjelaskan bahawa seekor kambing sah dan cukup sebagai haiwan korban (أُضْحِيَّة) bagi seseorang dan keluarga di bawah tanggungannya, walaupun ramai. Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) berkata:

 

وَاسْتَدَلَّ بِهَذَا مَنْ جَوَّزَ تَضْحِيَة الرَّجُل عَنْهُ وَعَنْ أَهْل بَيْته ، وَاشْتِرَاكهمْ مَعَهُ فِي الثَّوَاب ، وَهُوَ مَذْهَبنَا وَمَذْهَب الْجُمْهُور

 

Maksudnya;“ Mereka (ulama) telah menggunakan dalil ini (untuk) membolehkan seseorang melakukan (ibadah) korban untuk diri dan keluarganya, Mereka (keluarganya) berkongsi pahala bersamanya, inilah mazhab kami dan mazhab majoriti ulama". (Syarah Sahih Muslim, 13/122)

 

Dan telah berkata عَطَاء بن يَسَار

 

; سَأَلْتُ أَبَا أَيُّوبَ الأَنْصَارِيَّ: كَيْفَ كَانَتِ الضَّحَايَا عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ؟ فَقَالَ: كَانَ الرَّجُلُ يُضَحِّي بِالشَّاةِ عَنْهُ وَعَنْ أَهْلِ بَيْتِهِ، فَيَأْكُلُونَ وَيُطْعِمُونَ حَتَّى تَبَاهَى

النَّاسُ، فَصَارَتْ كَمَا تَرَى

 

Ertinya;“Aku bertanya kepada Abu Ayyub Al-Anshari radhiyallahu ‘anhu, “Bagaimana penyembelihan haiwan korban pada zaman Rasululullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam?”Maka beliau menjawab, “Seorang sahabat biasanya menyembelih seekor kambing untuk dirinya berserta ahli keluarganya, lalu mereka makan dan memberi makan (kepada orang miskin), sampailah akhirnya orang-orang pun mula membangga-banggakan diri (dengan sembelihan korban mereka), sehingga terjadilah apa yang engkau lihat ketika ini.” (Sunan At-Tirmizi, no. 1505. Dinilai hasan sahih oleh At-Tirmizi)

 

Berkata Syaikh Al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah (Wafat: 728H):

 

وَيَجُوزُ أَنْ يُضَحِّيَ بِالشَّاةِ عَنْ أَهْلِ الْبَيْتِ - صَاحِبُ الْمَنْزِلِ - وَنِسَائِهِ وَأَوْلَادِهِ وَمنْ مَعَهُمْ . كَمَا كَانَ الصَّحَابَةُ يَفْعَلُونَ.

 

Maksudnya;“Adalah dibolehkan tuan rumah (penanggung nafkah) menyembelih korban dengan hanya seekor kambing untuk ahli keluarganya, isteri-isterinya, anak-anaknya dan orang-orang yang tinggal bersama mereka (di bawah tanggungannya), sebagaimana yan}g telah dilakukan oleh para sahabat.” (Majmu’ Al-Fatawa, 23/164)

 

Unit Istinbat dan Buhuth, Bahagian Fatwa,

Jabatan Mufti Negeri Perlis. 7 Zulhijjah 1440