FAQHubungiMaklumbalasPeta Laman
Pilihan Bahasa
msen
Saiz Teks

Soalan hukum tentang makanan kucing dari penganjur Program We Care We Love daripada pelajar Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Pauh yang akan dilaksanakan pada 31 Ogos 2019. Tujuan program adalah untuk memberi kesedaran tentang pengendalian makanan kucing yang mengandungi bahan haram.

Persoalan yang diajukan ialah :

1. Apakah hukum orang yang memberi makanan haram secara sengaja kepada kucing peliharaan?
2. Bagaimana pula status kucing yang memakan makanan haram tersebut?
3. Apakah pandangan pihak tuan tentang kesedaran pengendalian makanan kucing yang haram kepada orang lslam ?

 

Jawapan :

  1. Sesuatu bahan yang tidak diketahui secara pasti kandungannya dihukum sebagai suci, melainkan setelah dapat dikenal pasti ia mengandungi najis.

  2. Tiada hukum halal dan haram bagi kucing dalam bab makanan, kerana haiwan tidak termasuk di dalam kumpulan mukallaf.

  3. Jika makanan kucing yang telah dipastikan mengandungi bahan yang haram atau najis dan ia pula dikendalikan oleh seorang muslim, maka terkait pada seorang muslim itu hukum berkaitan sentuhan bahan yang bernajis.

  4. Mulut kucing adalah suci sekalipun apa yang dimakannya selagi tidak terdapat kesan najis pada mulutnya.

    Berdasarkan hadis Nabi SAW, kucing tergolong dalam kumpulan haiwan suci termasuk lebihan air liurnya sekalipun pada kebiasaannya kucing memakan najis seperti tikus dan seumpamanya. Antara hadis tersebut:

    عَنْ كَبْشَةَ بِنْتِ كَعْبِ بْنِ مَالِكٍ وَكَانَتْ تَحْتَ ابْنِ أَبِي قَتَادَةَ أَنَّ أَبَا قَتَادَةَ دَخَلَ فَسَكَبَتْ لَهُ وَضُوءًا فَجَاءَتْ هِرَّةٌ فَشَرِبَتْ مِنْهُ فَأَصْغَى لَهَا الْإِنَاءَ حَتَّى شَرِبَتْ قَالَتْ كَبْشَةُ فَرَآنِي أَنْظُرُ إِلَيْهِ فَقَالَ أَتَعْجَبِينَ يَا ابْنَةَ أَخِي فَقُلْتُ نَعَمْ فَقَالَ : إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : "إِنَّهَا لَيْسَتْ بِنَجَسٍ إِنَّهَا مِنْ الطَّوَّافِينَ عَلَيْكُمْ وَالطَّوَّافَات

    Maksudnya: Daripada Kabshah binti Kaab bin Malik, dahulunya beliau isteri anak Abi Qatadah (Abdullah), beliau menceritakan bahawa Abu Qatadah ke rumahnya, lalu beliau (Kabshah) mencurahkan air wudhu utk Abi Qatadah, tiba2 datang seekor kucing lalu minum dari bekas air wudhu tersebut. Lalu Abu Qatadah menghulurkan bekas air tersebut kepada kucing itu agar ia dapat minum daripadanya. Kata Kabshah: "Beliau (Abu Qatadah) melihat daku memerhatikannya. Lalu beliau berkata: "Apakah kamu hairan wahai anak perempuan saudaraku?" Aku menjawab: Ya. Lalu beliau berkata: "Sesungguhnya kucing bukan haiwan yang najis. Ia termasuk dalam kalangan haiwan yang sentiasa berlegar di sekitarmu."
    (Riwayat Abu Daud dan dinilai Sahih oleh alAlbani di dalam Sahih Abi Daud)

    Kesimpulannya, kucing tidak terikat dengan hukum makanan halal seperti seorang manusia yang mukallaf. Jika bahan yang najis seperti makanan binatang yang bernajis terkena pada seseorang, maka dia hendaklah membersihkan mengikut kaedah pembersihan seperti yang ditetapkan dalam feqah.

 

Unit Istinbat dan Buhuth
Jabatan Mufti Negeri Perlis