FAQHubungiMaklumbalasPeta Laman
Pilihan Bahasa
msen
Saiz Teks

Menolak kanak-kanak keluar saf tindakan buruk - Mufti Perlis
Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman
Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.


KANGAR: Perbuatan orang dewasa yang menolak kanak-kanak keluar dari saf solat adalah tindakan yang buruk dan tidak menepati akhlak Nabi Muhammad.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, berkata Rasulullah s.a.w tidak pernah menghalau kanak-kanak keluar dari saf solat sepanjang Baginda bersolat bersama-sama dengan mereka.

“Amalan Rasulullah itu adalah mesra dengan kanak-kanak, Baginda tidak pernah keluarkan mereka ke saf belakang jika kanak-kanak berada di dalam saf bersama orang dewasa.

“Tetapi sayang, masih ada masjid yang mengeluarkan kanak-kanak ke belakang dengan alasan bahawa saf terputus sekiranya ada kanak-kanak yang belum baligh.

“Di dalam Sahih Bukhari, Anas meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w menjadi imam di hadapannya, manakala di dalam safnya ada anak yatim dan di belakang mereka ada seorang wanita tua,” katanya ketika kuliah di sebuah masjid di negeri ini, malam tadi.

Sebelum ini tular sepucuk surat di media sosial seorang kanak-kanak meluahkan rasa kesalnya kerana dihalau ke saf belakang ketika bersolat di sebuah surau.

Surat yang tular itu mendapat perhatian serta pujian daripada Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri atas keberaniannya menyatakan pendirian itu.

Mengulas lanjut, Dr Mohd Asri berkata, lebih mendukacitakan apabila segelintir orang dewasa datang lewat ke masjid tetapi bertindak menghalau kanak-kanak keluar dari saf di hadapan.

“Tindakan itu menjadikan masjid tidak mesra kanak-kanak dan paling menyedihkan ada sebahagian masjid tidak benarkan kanak-kanak masuk ke dalam ruangan solat.

“Perbuatan itu menjadikan kanak-kanak tidak mahu lagi bersolat di masjid, hatta Nabi (Muhammad) apabila mendengar tangisan seorang bayi di belakangnya, baginda meringankan solat kerana bimbang ibunya tidak khusyuk ketika bersolat,” katanya.

Beliau berkata, pada masa yang sama ibu bapa juga perlu memainkan peranan dengan mengawasi anak mereka agar bersolat di sebelah kerana fitrah kanak-kanak jika mereka bertemu dengan rakan sebaya, pasti akan bermain.

Sumber asal di https://www.bhplus.com.my/berita/nasional/2019/12/636190/menolak-kanak-kanak-keluar-saf-tindakan-buruk-mufti-perlis