FAQHubungiMaklumbalasPeta Laman
Pilihan Bahasa
msen
Saiz Teks

 

safe image

KANGAR: Penjualan air zam zam secara terbuka dibimbangi akan mengundang transaksi jual beli yang boleh mengakibatkan ruang eksploitasi ke atas agama Islam bagi tujuan perniagaan.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, berkata sejak dahulu lagi penguatkuasa agama di negeri itu tidak membenarkan penjualan sebarang produk menggunakan nama Islam dijual berleluasa.

Tegasnya, tindakan penjualan produk yang dikaitkan dengan agama Islam boleh mengundang penipuan, terutamanya jika membabitkan air zam zam.

“Kita boleh lihat keadaan ini apabila sampai tahap ada yang mendakwa air yang mereka jual mempunyai nilai skala pH sama dengan air zam zam.

“Produk ini kemudian dijual berleluasa dan penjual mengaut keuntungan daripadanya, jadi saya rasa kerajaan kena kawal perkara sebegini,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian KFC Pandu Lalu Kangar Jaya, di sini, hari ini.

Semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi satu kenyataan melarang rakyat dalam negara ini daripada menjual air zam zam dan individu yang didapati menjualnya boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Malahan, pada Disember lalu Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sudah merampas 112,560 liter air zam zam yang dianggarkan bernilai RM2.53 juta menerusi lima kontena yang cuba dibawa masuk tiga syarikat di Pelabuhan Klang.

Mengulas mengenai pengharaman penjualan air zam zam secara muktamad, Mohd Asri berpendapat, beliau tidak menghalang penjualannya, namun penjual pula tidak boleh mengenakan keuntungan melalui penjualannya.

“Kalau sekadar mengenakan caj pengangkutan dan kos membawa masuk ke dalam negara itu tidak mengapa.

“Tetapi kalau ia dieksploitasi dengan dijual dengan keuntungan yang melampau, sehingga beralasan bahawa air terbabit sudah dijampi atau sebagainya ini yang tidak boleh,” katanya.

Sumber : Berita Harian Online