FAQHubungiMaklumbalasPeta Laman
Pilihan Bahasa
msen
Saiz Teks

TITAH DULI YANG TERAMAT MULIA TUANKU YANG DIPERTUA MAJLIS AGAMA ISLAM DAN ADAT ISTIADAT MELAYU PERLIS (MAIPs) BERKAITAN PENGURUSAN MASJID EKORAN PENULARAN WABAK COVID-19 BERMULA 16 MAC 2020

Menjunjung titah perintah dan perkenan DYMM Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, setelah menerima pandangan dan nasihat daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia mengenai perkembangan COVID-19 semasa pada 15 Mac 2020, serta mendapat panduan dan irshad daripada Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis, sebagai lanjutan Titah Perutusan Beta selaku Yang DiPertua melalui edaran MAIPs 100 – 6 Jld 7 (77) bertarikh 13 Mac 2020, maka Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dengan ini mengambil keputusan berkaitan pengurusan masjid seperti berikut:

1. Bersetuju supaya segala aktiviti berkumpulan di masjid termasuk Solat Jamaah dan Solat Jumaat dihentikan seketika. Umat Islam diseru untuk menunaikan solat jemaah di rumah dalam tempoh 14 hari bermula waktu maghrib pada 16 Mac 2020 sehingga waktu isyak 29 Mac 2020.

2. Laungan azan akan dilaksanakan di masjid dengan gantian seruan ungkapan hay’alatain (حى على الصلاة، حى على الفلاح) kepada (صَلُّوْا فِيْ بُيُوْتِكُمْ) (Solatlah di rumah kamu), berdasarkan riwayat al-Bukhari (668) dan Muslim (699) daripada Ibn 'Abbas RA. Inilah salah satu pandangan yang dibolehkan seperti yang dinyatakan oleh al-Imam alNawawi RH di dalam kitabnya Syarh Sahih Muslim 5/207.

Lafaz azan yang dilaungkan adalah seperti berikut:

الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر،
أشهد أن لا إله إلا الله، أشهد أن لا إله إلا الله،
أشهد أن محمدًا رسولُ الله، أشهد أن محمدًا رسولُ الله،
صَلُّوْا فِيْ بُيُوْتِكُمْ، صَلُّوْا فِيْ بُيُوْتِكُمْ،
الله أكبر، الله أكبر،
لا إله إلا الله

3. Hanya Pegawai Masjid yang bertugas sahaja (Seorang Imam, seorang Bilal dan seorang siak) hadir solat jamaah setelah benar-benar dipastikan kebersihan dan kesihatan dengan menjaga ketetapan seperti berikut:

a) Hadir ke masjid apabila azan dilaungkan. Hanya muazzin perlu hadir awal bagi tujuan melaungkan azan;

b) Memendekkan tempoh keberadaan di masjid;

c) Mengambil wudhuk di rumah;

d) Tidak bersalaman;

e) Membawa sejadah sendiri;

f) Memastikan diri benar-benar bersih dan sihat sebelum hadir ke masjid.

4. Masjid-masjid hendaklah melaksanakan proses cucian / nyahkuman / disinfection dalam tempoh 14 hari yang ditentukan, bahkan dilaksanakan setiap kali solat oleh setiap Pegawai / Jawatankuasa Masjid yang hadir bertugas.

5. Menangguhkan semua aktiviti masjid sama ada kelas, kuliah dan pengajian dalam tempoh 14 hari. Pengajaran secara atas talian boleh dipertimbangkan untuk dilaksanakan dari rumah sebagai alternatif.

6. Dinasihatkan semua masyarakat untuk mengelakkan sebarang perkara dan aktiviti yang dapat menyumbang ke arah penularan wabak COVID-19 berkenaan.

Oleh hal yang demikian, Pengurusan Masjid-masjid di seluruh Negeri Perlis hendaklah melaksanakan tindakan-tindakan seperti yang telah ditetapkan bermula Solat Maghrib pada 16 Mac 2020 sehingga 29 Mac 2020 dan memberikan perhatian penuh dalam aspek pembersihan masjid. Tempoh pelanjutan akan dipertimbangkan setelah mendapat pandangan Kementerian Kesihatan Malaysia.

MENJUNJUNG SYIAR MEMAJU UMMAH

SYED FAIZUDDIN PUTRA IBNI TUANKU SYED SIRAJUDDIN JAMALULLAIL
D.K., S.P.M.P., P.A.T.
Raja Muda Perlis

Termaktub di Istana Arau
02600 Arau
Perlis

Bertarikh : 16 Mac 2020 bersamaan 21 Rajab 1441H

 

 

90230321 2514370465547099 4383902509488406528 n89916565 2514370572213755 8749440868395515904 n