FAQHubungiMaklumbalasPeta Laman
Pilihan Bahasa
msen
Saiz Teks

TITAH PERUTUSAN DYTM TUANKU YANG DIPERTUA MAIPs BERKAITAN KEBENARAN BERSYARAT SOLAT JUMAAT DI NEGERI PERLIS DAN PERATURAN PELAKSANAANNYA DALAM TEMPOH PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN BERSYARAT (PKPB) EKORAN COVID-19
 
Menjunjung titah perintah dan perkenan DYMM Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, maka Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dengan ini menghebahkan mengenai kebenaran bersyarat menunaikan Solat Jumaat bermula 15 Mei 2020. Langkah ini sebagai permulaan untuk membolehkan ‘Syiar Jumaat’ dihidupkan kembali. Namun begitu, kebenaran ini belum dapat diizinkan kepada masyarakat awam disebabkan ancaman penularan wabak yang belum tamat sepenuhnya.
 
Peraturan ini disediakan untuk masjid-masjid di Negeri Perlis bagi mendirikan Solat Jumaat selama tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ekoran COVID-19 setelah mengambil kira dan mempertimbangkan pandangan-pandangan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis, Jawatankuasa Muzakarah Khas Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI), dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Sehubungan itu, Solat Jumaat hendaklah didirikan dengan mematuhi ketetapan berikut :
 
1. Jumlah jemaah termasuk imam / khatib adalah tidak melebihi 12 orang dan tidak kurang daripada 3 orang.
 
2. Masjid tidak dibuka kepada awam sebaliknya, mereka yang dibenarkan menunaikan Solat Jumaat adalah dari kalangan pegawai-pegawai masjid dan Ahli Jawatankuasa Masjid SAHAJA.
 
3. Setiap yang diizinkan hadir hendaklah membuat pemeriksaan suhu badan, sanitasi tangan dan merekodkan kehadiran di dalam buku kehadiran.
 
4. Individu yang berumur 60 tahun dan ke atas tidak dibenarkan hadir.
 
5. Mereka yang mempunyai gejala seperti demam, sesak nafas, sakit tekak dan selsema adalah tidak dibenarkan hadir. Begitu juga mereka yang mempunyai sejarah kesihatan lain seperti kencing manis, darah tinggi, lelah, penyakit barah, dan sebagainya juga tidak dibenarkan hadir.
 
6. Melaksanakan penjarakan sosial termasuk semasa solat (Sekurang-kurangnya 2 meter).
7. Individu yang hadir wajib memakai penutup mulut dan hidung (face-mask) termasuk ketika menunaikan solat.
 
8. Mestilah berwuduk terlebih dahulu sebelum hadir ke masjid dan membawa sejadah sendiri.
 
9. Tempoh masa bermula azan hingga selesai Solat Jumaat adalah 15 minit sahaja.
 
10. Tiada kontak fizikal dibenarkan seperti berjabat tangan di masjid sama ada sebelum atau selepas solat.
 
11. Setelah selesai solat semua yang hadir hendaklah terus beredar meninggalkan kawasan masjid.
 
12. Diutamakan untuk dilaksanakan di kawasan yang lebih terbuka seperti di anjung masjid.
 
13. Dipertanggungjawabkan kepada semua Pengerusi Masjid untuk memastikan semua syarat di atas dipatuhi. Masjid yang tidak mampu untuk memenuhi kesemua syarat-syarat dalam panduan di atas adalah tidak dibenarkan untuk melaksanakan Solat Jumaat berkenaan.
 
Adalah diingatkan, dengan kurniaan Allah SWT, negeri Perlis telah menjadi negeri terawal diisytiharkan sebagai “Zon Hijau”. Maka marilah kita bersama-sama memelihara nikmat ini dengan sentiasa berdoa dan berdisiplin demi memastikan negeri Perlis diisytiharkan sebagai “Zon Putih” dalam waktu yang terdekat seterusnya dapat mengekalkan status tersebut demi kesejahteraan seluruh rakyat.
 
MENJUNJUNG SYIAR MEMAJU UMMAH
 
 
 
SYED FAIZUDDIN PUTRA IBNI TUANKU SYED SIRAJUDDIN JAMALULLAIL
D.K., S.P.M.P., P.A.T.
Raja Muda Perlis
 
Termaktub di Istana Arau
02600 Arau
Perlis
 
Bertarikh​: 8 Mei 2020 bersamaan 15 Ramadan 1441H