FAQHubungiMaklumbalasPeta Laman
Pilihan Bahasa
msen
Saiz Teks

LANGKAH-LANGKAH PELAKSANAAN TITAH DULI YANG TERAMAT MULIA TUANKU YANG DIPERTUA MAJLIS AGAMA ISLAM DAN ADAT ISTIADAT MELAYU PERLIS (MAIPs) BERKAITAN KEBENARAN BERSYARAT SOLAT JUMAAT DI NEGERI PERLIS BERMULA PADA 15 MEI 2020
 
Menjunjung Titah DYTM Tuanku Raja Muda Perlis merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs dalam warkah baginda dengan rujukan MAIPs. 100-6 Jld 7 ( 82 ) bertarikh 8 Mei 2020 bersamaan 15 Ramadan 1441H, sesudah diperkenankan oleh DYMM Tuanku Raja Perlis, berikut adalah langkah-langkah pelaksanaan dan maklumat am berkaitan kebenaran bersyarat solat Jumaat di seluruh Negeri Perlis bermula 15 Mei 2020 :
 
ARAHAN KEPADA PEGAWAI MASJID DAN AHLI JAWATANKUASA KARIAH
 
1.   Surat ini hendaklah dibaca bersama-sama dan dilaksanakan sebagai pelengkap kepada warkah DYTM Tuanku Yang DiPertua MAIPs dengan rujukan MAIPs. 100-6 Jld 7 ( 82 ) bertarikh 8 Mei 2020.
 
2. Semua anak-anak kariah hendaklah dimaklumkan dengan seberapa segera tentang kebenaran bersyarat solat Jumaat ini. Bagi anak kariah yang tidak aktif di media sosial dan warga emas, penjelasan ringkas hendaklah diberi dari rumah ke rumah dengan kadar segera.
 
3. Semua pintu masjid dan pagar utama hendaklah tidak dibuka untuk mengelakkan kekeliruan, serta digantung dengan salinan warkah DYTM Tuanku Yang DiPertua MAIPs ini.
 
4.  Persiapan awal hendaklah dibuat dengan menentukan dan menanda terlebih dahulu tempat solat berserta penjarakan sosial sejauh 2 meter dari arah hadapan, belakang, kiri dan kanan dengan membentuk 2 saf sahaja.
 
5. Diutamakan untuk memasang kipas dan membuka tingkap sahaja, serta seboleh-bolehnya tidak menggunakan penghawa dingin masjid.
 
6.   Wajar diinsafi bahawa As-Sidq atau Siddiq yakni sifat kejujuran merupakan teras terpenting dalam menangani penularan COVID-19 di peringkat kariah. Dengan itu, semua pihak hendaklah JUJUR dan tidak menyembunyikan maklumat seperti umur, sejarah kesihatan, perjalanan rentas negeri dan keluar negara serta status kontak dengan pesakit COVID-19 untuk mengelakkan mudharat dan menyelamatkan nyawa.
 
7. Pegawai Masjid dan Ahli Jawatankuasa Kariah yang melakukan perjalanan rentas negeri dan pulang dari luar negara dalam tempoh kurang dari 14 hari TIDAK DIBENARKAN hadir.
 
8. Semua Pegawai Masjid dan Ahli Jawatankuasa Kariah hendaklah ditapis lebih awal menurut kriteria-kriteria nombor 4 dan 5 dalam warkah DYTM Tuanku Yang DiPertua MAIPs bertarikh 8 Mei 2020. Hal ini bertujuan untuk meringkas dan melancarkan proses saringan sebelum bermulanya solat Jumaat.
 
9. Semua kariah hendaklah melantik 2 orang terdiri daripada Pegawai Masjid atau Ahli Jawatankuasa Kariah sebagai urus setia COVID-19 peringkat kariah tersebut. Salah seorang daripada urus setia hendaklah ditugaskan untuk membuat saringan suhu badan, manakala seorang lagi akan merekodkan bacaan suhu tersebut dalam buku daftar kehadiran. Dengan ini, hanya mereka yang memiliki bacaan suhu badan tidak melebihi 37.5 °C sahaja yang dizinkan untuk menyertai solat Jumaat.
 
10.    Semua Pegawai Masjid dan Ahli Jawatankuasa Kariah yang disenarai pendek hendaklah hadir lebih awal untuk melaksanakan proses saringan dan hanya dibenarkan masuk ke dalam masjid dalam tempoh 5 minit sebelum masuknya waktu Jumaat, dengan mengambil tempat dan solat hanya di ruangan yang telah ditandakan sahaja.
 
11.   Azan menandakan masuknya waktu Jumaat, khutbah Jumaat dan solat Jumaat dilaksanakan tanpa menggunakan pembesar suara.
 
12.   Pengerusi dan Jawatankuasa Kariah hendaklah mengambil segala langkah proaktif menurut keperluan kariah masing-masing. Antara langkah-langkah yang boleh dipertimbangkan ialah menyediakan sepanduk kebenaran bersyarat solat Jumaat, mengambil perkhidmatan anggota RELA bagi mengawal keselamatan dan sebagainya.
 
Dengan mengagungkan tauhid dan menjunjung sunnah di atas manhaj Salaf Al-Ummah serta berpaksikan taat kepada ‘Ulil ‘Amri, Insya-Allah masanya sudah tiba untuk kita bangkit semula daripada ujian COVID-19 dan masjid-masjid Negeri Perlis akan kembali mekar sebagai Rahim Ilmu dan Khayra Ummah.
 
Sekian, terima kasih.
 
“BERKHIDMAT UNTUK AGAMA DAN NEGARA”
 
“RAJA BERDAULAT, RAKYAT BERILMU,
NEGERI SEJAHTERA, PERLIS MAJU”
 
Saya yang menjalankan amanah
 
(DR HAJI HAZMAN BIN HASSAN)
Pengarah
Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs)