FAQHubungiMaklumbalasPeta Laman
Pilihan Bahasa
msen
Saiz Teks

TITAH PERUTUSAN DYTM TUANKU YANG DIPERTUA MAIPs BERKAITAN PERTAMBAHAN BILANGAN MAKSIMUM JEMAAH UNTUK SOLAT JUMAAT DAN SOLAT 5 WAKTU BERJEMAAH DI MASJID-MASJID SELURUH NEGERI PERLIS SERTA BEBERAPA PENGURUSAN KEWAJIPAN UMAT ISLAM DALAM TEMPOH PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN PEMULIHAN (PKPP) EKORAN COVID-19

Melewati tempoh 64 hari kekal tanpa mencatatkan penambahan kes positif baharu jangkitan wabak Covid-19 sejak 7 April 2020 lalu, marilah sama-sama kita memanjatkan setinggi syukur dan harapan supaya segala ujian yang sedang dihadapi di seluruh dunia ini akan segera hilang dan keadaan kembali pulih seperti sedia kala.

Sesungguhnya urusan berkaitan Agama Islam adalah sebahagian daripada tanggungjawab dan amanah yang sentiasa dijunjung oleh DYMM Tuanku Raja Perlis selaku Raja Pemerintah. Baginda sentiasa melihat dengan penuh perhatian, mendengar dengan penuh cermat, dan berfikir dengan penuh hikmah dan fatan sebelum menzahirkan sesuatu titah untuk dilaksanakan oleh sekalian rakyat jelata.

Sehubungan itu, menjunjung titah perintah dan perkenan DYMM Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, setelah mengambil kira keadaan dan suasana terkini fasa akhir pemulihan penularan pandemik Covid-19, maka Baginda telah memperkenankan perkara-perkara berikut:

Jumlah jemaah:

1- Jumlah jemaah Solat Jumaat dan 5 Waktu di Masjid seluruh Negeri Perlis dipertingkatkan kepada bilangan maksimum berdasarkan keluasan masjid masing-masing mengambil kira pematuhan terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) penjarakan 2 meter yang telah ditetapkan.

Jumlah maksimum jemaah berkenaan adalah seperti yang telah dikenalpasti oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) melalui hebahan yang bakal dibuat.

Buat masa ini, SOP jarak berkenaan dikekalkan. Sekiranya terdapat keperluan perubahan akan turut diperincikan dari semasa ke semasa.

Mekanisma pemilihan:

2- Mekanisma pemilihan jemaah akan ditentukan oleh Jawatankuasa Kariah Masjid dengan mengambil kira lokaliti setempat dalam sesuatu kariah. Jemaah yang tidak terpilih perlu akur kepada pemilihan yang dilaksanakan menurut kaedah yang diputuskan.

Syarat kelayakan jemaah:

3- Demi menjaga kemaslahatan dan keselamatan bersama, kelayakan jemaah yang dibenarkan hadir setelah dipilih hendaklah melengkapi syarat seperti berikut :

a. Berusia antara 18 hingga 59 tahun. (Syarat khas kepada pegawai masjid bertugas akan dimaklumkan oleh pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis)

b. Tidak mempunyai gejala seperti demam, sesak pernafasan, sakit tekak dan selsema.

c. Tidak mempunyai sejarah masalah kesihatan serius lain yang berisiko seperti kencing manis, darah tinggi, lelah, penyakit barah, dan sebagainya.

d. Tidak mempunyai sejarah perjalanan ke tempat yang disenaraikan terlarang, rentas negeri dari zon merah, dan tiada kontak rapat dengan individu yang dijangkiti wabak Covid-19.

Kelaziman baharu:

4- Setiap jemaah yang hadir kekal DIWAJIBKAN untuk melaksanakan kelaziman baharu seperti berikut:

a. Membuat pemeriksaan suhu badan di tangga utama memasuki masjid, sanitasi tangan dan merekodkan kehadiran di dalam buku kehadiran bagi tujuan penjejakan sosial.

b. Melaksanakan penjarakan sosial termasuk semasa solat (Sekurang-kurangnya 2 meter).

c. Memakai pelitup muka (face-mask) termasuk ketika menunaikan solat.

d. Mestilah berwuduk terlebih dahulu sebelum hadir ke masjid dan membawa sejadah sendiri.

e. Tidak melakukan kontak fizikal seperti berjabat tangan, berpelukan dan sebagainya di masjid samada sebelum atau selepas solat serta terus beredar setelah selesai solat.

Tempoh pelaksanaan solat:

5- Tempoh had masa bermula azan hingga selesai solat dikekalkan seperti berikut :

a. Solat Jumaat adalah 15 minit sahaja.

b. Solat 5 waktu adalah 10 minit sahaja.

Pengurusan masjid & tanggungjawab:

6- Diutamakan untuk dilaksanakan solat di kawasan yang lebih terbuka seperti di anjung masjid.

7- Pintu masjid akan dibuka dalam tempoh 20 minit sebelum azan dilaungkan.

8- Aspek penjagaan kebersihan kawasan masjid seperti melakukan penyahkuman hendaklah diberikan perhatian oleh pihak Masjid demi menjaga keselamatan dan kesihatan anak jemaah.

9- Adalah menjadi tanggungjawab Pengerusi Jawatankuasa Kariah Masjid untuk memastikan segala peraturan yang dinyatakan dilaksanakan dengan sebaiknya.

10- Pelanggaran pada mana-mana peraturan yang telah dinyatakan boleh menyebabkan kebenaran dan kelonggaran ini ditarik semula demi kepentingan bersama.

Aktiviti kuliah, solat jenazah & ibadah korban:

11- Pelaksanaan aktiviti lain seperti ceramah dan kuliah masih belum dapat dibenarkan buat masa ini. Walau bagaimanapun kelonggaran secara berperingkat akan dihebahkan. Buat masa ini, siri Kuliah, Ceramah dan Forum Agama disiarkan secara dalam talian antaranya melalui program 'Perlis Mengaji’.

12- Aktiviti solat jenazah boleh dilaksanakan di masjid dengan menjaga SOP Penjarakan Sosial yang telah ditetapkan di masjid.

13- Pelaksanaan ibadah korban dan seumpamanya adalah dibenarkan dengan penjagaan SOP yang bakal dihebahkan.

Pemakaian:

14- Pemakaian kebenaran ini adalah terhad kepada masjid di seluruh negeri Perlis sahaja dan TIDAK melibatkan surau.

Sesungguhnya, segala perkara di atas adalah merupakan peraturan yang bersifat usaha dan ikhtiar ke arah menyekat penularan wabak Covid-19 yang sedang kita alami selain merupakan salah satu usaha ke arah mendisiplin setiap rakyat untuk mengambil langkah yang wajar ke arah menjaga keselamatan nyawa yang menjadi maqasid syariat Islam.

Dari itu, DYMM Tuanku Raja Perlis sentiasa mendoakan agar negeri yang tercinta ini dan seluruh rakyat yang Baginda kasihi akan sentiasa dipelihara Allah dari segala mara bahaya yang mendatang.

MENJUNJUNG SYIAR MEMAJU UMMAH

SYED FAIZUDDIN PUTRA IBNI TUANKU SYED SIRAJUDDIN JAMALULLAIL
D.K., S.P.M.P., P.A.T.
Raja Muda Perlis

Termaktub di Istana Arau
02600 Arau
Perlis

Bertarikh : 10 Jun 2020 bersamaan 18 Syawal 1441H

 

 

102433127 2588973164753495 6898158431985854703 n102421723 2588973191420159 7666403506820420971 n101866020 2588973221420156 3471385543575382100 n101960208 2535543086759658 7308302337691427675 o