FAQHubungiMaklumbalasPeta Laman
Pilihan Bahasa
msen
Saiz Teks

TITAH PERUTUSAN DYTM TUANKU YANG DIPERTUA MAIPs BERKAITAN PROSEDUR OPERASI STANDARD (SOP) PELAKSANAAN SOLAT AIDILADHA 1441H DALAM SITUASI PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN PEMULIHAN (PKPP)
 
Menjunjung titah perintah dan perkenan DYMM Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, menjelang ketibaan Aidiladha 1441H, setelah melihat situasi semasa berulangnya penularan wabak Covid-19, adalah dimaklumkan bahawa Baginda telah memperkenankan pelaksanaan Solat Aidiladha 1441H dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) seperti berikut:
 
1. Tempat:
 
a. Masjid Kariah; dan
b. Ruang lapang yang hanya dibenarkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs)
c. Beberapa masjid terpilih akan diberikan keizinan mendirikan solat Aidiladha lebih daripada satu sesi berdasarkan keperluan.
 
2. Jemaah:
 
a. Dibenarkan kepada jemaah muslimin dan muslimat untuk hadir menunaikan solat Aidiladha dengan melaksanakan penjarakan sosial termasuk semasa solat, mendengar khutbah dan ketika keluar masuk masjid. (Sekurang-kurangnya 1 meter);
b. Setiap yang hadir hendaklah merekodkan kehadiran menggunakan aplikasi ‘MySejahtera’ / rekod kehadiran;
c. Mereka yang mempunyai gejala seperti demam atau suhu badan 37.5 darjah celcius ke atas, sesak nafas, sakit tekak dan selsema adalah TIDAK DIBENARKAN hadir;
d. Individu yang hadir wajib memakai pelitup muka (face-mask) termasuk ketika menunaikan solat, membawa sejadah sendiri dan berwuduk di rumah sebelum hadir menunaikan solat.
 
3. Masa & tempoh:
 
a. Waktu solat Aidiladha diselaraskan untuk dilaksanakan pada jam 8.00 pagi. Pagar masjid akan mula dibuka pada jam 7.00 pagi.
b. Tempoh khutbah adalah sebanyak 15 minit sahaja.
 
4. Arahan semasa berada di masjid / ruang solat:
 
a. Semua jemaah hendaklah memastikan tidak melakukan kontak fizikal seperti berjabat tangan.
b. Setelah selesai khutbah semua yang hadir hendaklah terus beredar meninggalkan kawasan masjid / ruang solat.
c. Sekiranya keadaan terlalu sesak dan padat, maka sebahagian jemaah boleh segera meninggalkan masjid sejurus selepas menunaikan solat tanpa mendengar khutbah.
d. Oleh kerana hari raya Aidiladha pada tahun ini jatuh pada hari Jumaat tambahan pula berlaku dalam suasana penularan wabak Covid-19, maka mereka yang telah hadir menunaikan solat Aidiladha, mempunyai pilihan sama ada untuk menunaikan solat Jumaat di masjid atau solat Zohor di rumah masing-masing. Perkara ini adalah pendapat sebahagian fuqaha’.
 
5. Arahan kepada petugas masjid:
 
a. Mengulangi arahan penjarakan sosial kepada semua jemaah yang hadir.
b. Membuka pintu masjid untuk solat bermula jam 7.00 pagi.
c. Menugaskan pasukan RELA / AJK Khas yang menjaga pagar utama dan pintu masjid.
d. Tidak membenarkan mereka yang mempunyai gejala demam, sesak nafas, sakit tekak dan selsema serta suhu badan yang melebihi 37.5 darjah celcius untuk memasuki masjid.
e. Menyediakan QR Code ‘MySejahtera’ dan mempamerkan dengan bilangan secukupnya / menyediakan ruang rekod pendaftaran manual (bertulis) yang mencukupi bagi mengelakkan kesesakan.
f. Melaksanakan proses pembersihan dan nyahkuman pada ruang / tempat yang kerap dipegang atau disentuh oleh jemaah.
g. Tidak mengedarkan tabung bergerak sebaliknya dibenarkan tabung statik.
 
Sesungguhnya, segala arahan yang terkandung dalam perutusan ini adalah sebahagian daripada langkah-langkah pencegahan penularan wabak ini kembali berulang. Ianya merupakan satu perkara yang amat penting dalam usaha untuk memenuhi tuntutan agama dalam menjaga nyawa. Menjaga nyawa adalah merupakan salah satu keutamaan syarak.
 
Sayugia dinasihatkan kepada semua agar bersatu dalam mengekang penularan wabak Covid-19 ini. Saya menghambil kesempatan, menyeru kepada semua pihak agar sentiasa menghayati semangat pengorbanan yang terkandung dalam perayaan ini. Berkorbanlah di hari ini, demi kebaikan pada masa hadapan. Selamat hari raya Aidiladha, maaf zahir dan batin.
 
MENJUNJUNG SYIAR MEMAJU UMMAH
SYED FAIZUDDIN PUTRA IBNI TUANKU SYED SIRAJUDDIN JAMALULLAIL
D.K., S.P.M.P., P.A.T.
 
Raja Muda Perlis
Termaktub di Istana Arau
02600 Arau
Perlis
 
Bertarikh : 28 Julai 2020 bersamaan 7 Zulhijjah 1441H
Rujukan: MAIPs. 100 - 6 Jld 7 ( 90 )
 
116434804 2576595129321120 248554975553449271 o116265670 2576595135987786 9150872727534616622 o