FAQHubungiMaklumbalasPeta Laman
Pilihan Bahasa
msen
Saiz Teks

 

WhatsApp Image 2020 11 12 at 4.32.39 PM

 

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan agar golongan mahasiswa di negeri ini bersungguh-sungguh dalam mempersiapkan diri masing-masing bagi menghadapi segala cabaran pasca-penularan Covid-19 yang melanda seluruh dunia.

Usaha melengkapkan diri dengan kemahiran yang tinggi di samping penguasaan sepenuhnya ilmu yang dipelajari harus diberikan keutamaan agar mampu menjadi pelajar yang boleh diterima di alam pekerjaan sekaligus dapat menyumbang kepada pembangunan negeri, negara dan masyarakat. 

Demikian titah baginda selepas berkenan berangkat menyempurnakan ‘Majlis Bantuan Serta Merta IPT Luar Negara’ kepada para pelajar Perlis yang akan melanjutkan pelajaran ke negara Jordan pada penghujung November ini anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Keberangkatan tiba baginda di Dewan Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Kompleks Islam Perlis disambut oleh Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Dr. Hj. Hazman Hassan.

Menurut Tuanku Syed Faizuddin Putra lagi, berdepan cabaran global ekoran pandemik Covid-19, golongan mahasiswa tidak sewajarnya berpada dengan ilmu secara teorikal, tetapi hendaklah berusaha melengkapkan diri dengan kemahiran berkomunikasi, penguasaan ICT, keusahawanan dan kemampuan memimpin untuk mampu bersaing hingga ke persada antarabangsa.

“Penyesuaian diri dengan suasana baharu yang lebih mementingkan ‘Internet Pelbagai Benda (Internet of Things – IoT)’ dalam dunia digital tanpa sempadan seharusnya diberikan penekanan oleh setiap mahasiswa, tidak kira dalam apa jua bidang pengajian yang sedang ditekuni. Penggabungan ini akan menjadikan seseorang mahasiswa itu lebih terkehadapan, sesuai dengan slogan ‘Rakyat Perlis Bermentaliti Kelas Pertama Dalam Tindakan serta Hidup Berpendidikan’ dan relevan mendepani segala cabaran pasca-penularan Covid-19”, titah Tuanku Raja Muda lagi.

Terdahulu daripada itu Mufti Perlis Datuk Arif Perkasa Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj. Mohd Nazim Mohd Noor turut memberikan ucapan nasihat kepada para pelajar baru berkenaan beserta waris.

Untuk rekod, tidak termasuk para pelajar baru yang akan berangkat ke Jordan beberapa hari sahaja lagi, terdapat seramai 21 orang penuntut dari Perlis sedang melanjutkan pengajian di sana pada ketka ini iaitu 15 orang di Mu’tah, 3 di Mafraq dan 3 lagi di Irbid. Tiada pelajar Perlis menuntut di Amman buat masa ini.

 Sumber : www.suaramerdeka.com.my