FAQHubungiMaklumbalasPeta Laman
Pilihan Bahasa
msen
Saiz Teks

Masuk Islam Secara Mudah (1)

Oleh: Mohamad Abdul Kadir bin Sahak

Di tempat kita, sebahagian orang lebih suka memberat-berat dan menakut-nakutkan orang yang ingin memeluk islam. Jauh sekali untuk membimbing mereka dan memberi tunjuk ajar yang sepatutnya. Yang mereka tahu, apabila ada yang hendak memeluk Islam, perkara pertama yang perlu ditanya ialah sudah ‘potong’ ke belum? Perkara awal pula yang perlu diberitahu;“bila you masuk Islam, you mesti kena solat lima waktu sehari semalam, pagi-pagi lagi you mesti kena bangun tidur dan you mesti kena berpuasa, tidak boleh makan dan minum selama sebulan Ramadhan. Hah macamana? You sanggup masuk Islam atau tidak? Lebih baik you fikir dulu sebelum buat keputusan.”

Orang kita nampaknya bukan hendak memudahkan urusan pengislaman seseorang, tetapi mereka sebenarnya sering mudah terpengaruh dengan buruk sangka mereka sendiri terhadap saudara baru, sehingga mendorong mereka melayan saudara-saudara baru sedemikian rupa.

Saya sendiri pernah mendengar beberapa soalan yang diajukan kepada seorang yang baru memeluk Islam, yang saya bawa untuk mendaftarkan keislamannya di pejabat agama salah sebuah negeri lebih beberapa tahun yang lalu. Termasuk soalan yang ditanya tersebut ialah: “kenapa you hendak masuk Islam?” Apabila soalan ini diajukan kepada hamba Allah tersebut, saya lihat jelas di wajahnya rasa tidak selesa.

Pendekatan kita sebegini, bagi saya tidak bersifat mesra saudara baru. Sepatutnya kita menyambut saudara baru dengan ucapan tahniah dan mengalu-alukan pendiriannya memilih agama Islam yang menyelamatkan dia di dunia dan di akhirat. Sebaliknya kita tanya tujuannya, seolah-olah kita ragu dengan niat ikhlasnya.

Dari segi cara yang kita amalkan, seolah-olah memperlihatkan Muslim hari ini, semuanya benar-benar ikhlas memeluk Islam kerana Allah swt, benarkah begitu? Saya tidak berniat mempersoalkan keikhlasan umat Islam hari ini, kerana soal ikhlas ataupun tidak ini adalah urusan Allah swt. Kita tidak disuruh untuk menyelidik hati setiap orang, cukuplah kita menghukum seseorang yang menzahirkan Islamnya sebagai muslim dan demikianlah sebaliknya.

Cuma jika benar orang muslim hari ini semuanya benar-benar ikhlas kerana Allah swt, sehingga jika ada yang hendak memeluk Islam kita terpaksa bertanyakan tujuannya, maka nampaknya umat yang memeluk Islam hari ini lebih baik dari umat yang memeluk Islam di zaman Nabi saw. Ini kerana di zaman baginda saw, ada juga yang memeluk Islam pada zahirnya sahaja sedang hatinya tetap kufur kepada Allah swt seperti yang terjadi kepada golongan munafik di Madinah.

Apakah kita berani memperkatakan orang yang memeluk Islam hari ini lebih baik keadaannya berbanding di zaman Nabi saw? Perkara ini adalah suatu yang mustahil.

Soalan Yang Tidak Sesuai

Ada orang beranggapan, kita perlu selidik tujuan setiap orang yang nak masuk islam. Supaya tidak ada yang memeluk Islam disebabkan tujuan-tujuan lain selain kerana Allah swt sahaja. Pemahaman sebegini bersalahan dengan sunnah Nabi saw.

Al-Imam al-Bukhari dan selainnya telah meriwayatkan sebuah hadith mengisahkan tentang Usamah bin Zaid yang telah membunuh seorang yang mengucapkan dua kalimah syahadah di dalam peperangan, orang tersebut mengucapkan dua kalimah syahadah di hadapan Usamah, ketika Usamah mengangkat pedang untuk membunuhnya. Namun Usamah tetap membunuhnya walaupun mendengar orang tersebut mengucap dua kalimah syahadah. Apabila berita ini sampai kepada Nabi saw, baginda benar-benar mengingkari tindakan Usamah ini, baginda bersabda: “Apakah kamu membunuhnya, walau selepas dia mengucap laailahaillallaah?” Jawab Usamah: “Sesungguhnya dia mengucapkan kalimah itu kerana takutkan pedangku.” Lalu baginda bertanya kepada Usamah: “Apakah kamu telah belah dadanya (sehingga kamu boleh tahu ia mengucapkan kalimah tersebut kerana takutkan pedangmu)?” Di dalam sebahagian riwayat yang lain, Nabi saw bertanya kepada Usamah: “Apa yang hendak kamu katakan dengan kalimah ‘laailahaillallaah’(yang diucapkan)nya itu pada hari kiamat nanti?”

Jika ikutkan cara kita, sudah tentu kita akan kata tindakan Usamah itu adalah benar, kerana orang tersebut melafazkan dua kalimah syahadah setelah Usamah mengangkat pedangnya. Ini menunjukkan orang itu tidak ikhlas mengucap dua kalimah syahadah kerana Allah. Namun perkara yang sebaliknya dilakukan oleh Nabi saw. Ini kerana urusan hati, tidak ada manusia yang dapat membacanya, cukuplah kita mengiktiraf keislaman seseorang dengan kesediaannya mengucapkan dua kalimah syahaadah. Setelah itu kita berusaha bagaimana menjelaskan secara hikmah kepadanya tentang kefardhuan-kefarduan yang lain di dalam Islam, termasuklah ikhlas.

Bersambung siri akhir (2)