FAQHubungiMaklumbalasPeta Laman
Pilihan Bahasa
msen
Saiz Teks

Masuk Islam Dengan Dua Kalimah Syahadah (2)

Oleh: Mohamad Abdul Kadir bin Sahak

 

Sebenarnya mempersoalkan tujuan seseorang yang hendak memeluk Islam bukan sahaja perbuatan yang sia-sia, bahkan ia adalah tindakan cuba mencampuri urusan hati seseorang. Semua orang boleh memberi jawapan yang berbagai dengan soalan kita, persoalannya, apakah kita boleh pastikan jawapan lisannya itu sama dengan isi hatinya? kerana itu untuk apa ditanya tujuannya memeluk Islam ?

Praktik agama sebegini sama sekali jauh tersasar dari petunjuk Nabi saw. Mengapa perlu ditanya tujuandia memeluk Islam? Lebih malang apabila ada yang beranggapan kalau tak tanya, kita dikira berdosa kerana membiarkan orang yang tidak ikhlas memeluk agama Islam, biarlah mereka berpura-pura, yang penting kita dah tanya.

Perbuatan ini sama sekali jauh dari petujuk Nabi saw. Ini kerana Nabi saw menerima Islamnya seseorang yang memperakui dua kalimah syahadah dan baginda tidak menunggu sehingga masuk waktu solat, untuk orang itu bersolat, tidak juga menunggu tibanya waktu mengeluarkan zakat untuk orang itu menunaikan zakat, kemudian barulah menghukumkan orang itu sebagai muslim kerana telah terbukti dia bersedia menunaikan kefarduan-kefarduan tersebut.

Dr. Yusuf al-Qaradhawi di dalam bukunya Zahirah al-Ghuluw fi al-Takfir di bawah tajuk dengan apa insan masuk ke dalam Islam menyebut:

“Hakikat atau kaedah yang pertama: Bahawa insan masuk ke dalam agama Islam dengan dua kalimah syahadah, Syahadah tidak ada ilah melainkan Allah, dan Muhammad itu adalah Rasulullah. Maka siapa yang memperakui dua kalimah syahadah dengan lisannya, maka sesungguhnya dia telah masuk Islam, dan terlaksana atasnya hukum-hakam orang-orang muslim, walaupun hatinya masih kafir. Ini kerana kita disuruh untuk berhukum berdasarkan zahirnya dan kita serahkan kepada Allah perkara-perkara yang tersembunyi.” Beliau menyambung:

“Bahawa Nabi saw menerima islam sesiapa yang memperakui dua kalimah syahadah, dan baginda tidak menunggu sehingga masukya waktu solat, atau zakat atau bulan Ramadhan sebagai contoh, sehingga orang itu melaksanakan kefardhuan-kefardhuan tersebut, kemudian barulah dia dihukum sebagai Islam, sebaliknya memadai dia beriman dengan kefarduan-kefarduan tersebut, dan tidak zahir daripadanya keingkarannya (terhadap kefarduan-kefarduan tersebut).” (Zahirah al-Ghuluw fi al-Takfir, m.s. 31-32)

Di zaman Nabi saw, terdapat berbagai orang yang datang menyatakan keinginan mereka memeluk Islam, sebahagiannya dengan tujuan yang berbagai, namun baginda saw tidak pernah bertanya apakah mereka ingin memeluk Islam kerana Allah atau kerana tujuan-tujuan yang lain? Jauh sekali dari baginda meletakkan syarat untuk menerima keislaman mereka.

Ibn Rajab al-Hambali di dalam Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam berkata: “Tidak pernah Nabi saw meletakkan syarat terhadap orang yang datang kepadanya untuk mereka beriltizam dengan solat dan zakat.”

Bahkan pernah berlaku seperti yang diriwayatkan oleh Abu Daud di dalam Sunannya, seorang utusan dari kaum Thaqif datang kepada Nabi saw ketika hendak berbai’ah (janji taat setia) kepada baginda, utusan tersebut meletakkan syarat keislaman mereka untuk tidak dikenakan membayar zakat dan tidak diwajibkan jihad ke atas meeka, lalu Nabi saw menerima syarat mereka tersebut dan baginda bersabda: “Mereka akan menunaikan zakat dan akan berjihad apabila mereka memeluk Islam.” (Sahih : al-Albani di dalam Sahih Abu Daud)

Sesiapa yang memerhatikan sunnah Nabi saw, ia akan melihat betapa baginda menerima sesiapa sahaja yang datang kepada baginda menyatakan hasrat memeluk Islam dengan mengucap dua kalimah syahadah sahaja. Dengan dua kalimah ini, terpelihara darah dan harta mereka.

Al-Imam al-Bukhari meriwayatkan dari Abu Hurairahr.a.sabdaan Nabi saw yang bermaksud: “Aku di suruh untuk memerangi manusia, sehinggalah mereka mengucapkan “Laailahaillallaah”, apabila mereka mengucapkannya, maka sesungguhnya telah terselamat darah dan harta mereka, melainkan dengan haknya, dan perhitungan mereka terserah kepada Allah.”

Di dalam riwayat al-Imam Muslim Nabi saw bersabda: “Sehinggalah mereka bersaksikan bahawa tidak ada ilah melainkan Allah dan mereka beriman denganku dan dengan apa yang aku bawa.”

Di dalam sahih al-Bukharidari Anas secara marfu’ disebut: “Sehinggalah mereka menyaksikan tidak ada ilah melainkan Allah dan Muhammad itu hambaNya dan RasulNya.”

Hadith-hadith ini menjadi bukti yang jelas, dengan mengucap kalimah tauhid seseorang itu dikira telah memeluk Islam kerana darah dan harta mereka dikira telah terpelihara. Terpeliharanya darah dan harta mereka menunjukkan mereka dikira sebagai Islam, kerana jaminan terpelihara darah dan harta hanya ada bagi orang Islam atau yang bukan Islam yang tidak memerangi orang Islam atau yang berada dibawah perjanjian dan perlindungan.

Hadith ini sahih dari beberapa sahabat dengan lafaz-lafaz yang saling berdekatan maksudnya, al-Hafiz al-Suyuthi berkata di dalam al-Jami’ al-Saghir: “Ianya adalah hadith yang mutawatir.” Al-Munawi pula yang mensyarahkan al-Jami’ al-Soghir menyebut: “ (ia mutawatir) Kerana ia diriwayatkan oleh 15 orang sahabat.” (lihat al-Qaradhawi, Zahirah al-Ghuluw fi al-Takfir, m.s. 33)

Melihat kepada hadith-hadith ini dan kekuatannya, menunjukkan kepada kita urusan memeluk Islam itu adalah sesuatu yang mudah, ianya lebih menepati ruh Islam yang mudah. Kerana itu sebahagian ulama salaf menyebut al-Islam al-Kalimah sebagai menggambarkan betapa mudahnya proses memeluk Islam. Hanya dengan mengucapkan dua kalimah Syahadah dengan lisan, seseorang itu telah dikira sebagai seorang Muslim.