FAQHubungiMaklumbalasPeta Laman
Pilihan Bahasa
msen
Saiz Teks

Khalilullah Ibrahim AS Sebagai Imam

Oleh: Mohd Azri Bin Mohd Nasaruddin

 

            Satu hakikat yang diketahui oleh sekalian Muslim adalah hidup ini merupakan ujian daripada Allah ﷻ. Ujian di dalam bentuk mematuhi segala suruhan Allah, sama ada dalam suruhan melakukan ataupun suruhan melarang. Malahan, itu adalah pengertian ‘hamba’, iaitu individu yang hidupnya atau untuk mematuhi suruhan tuannya, dan menjauhi larangannya. Dengan itu, sesiapa yang objektif kehidupannya adalah mematuhi Allah, itulah yang dikenali sebagai hamba Allah. Sesiapa yang kehidupannya bertindak mengikut apa yang boleh digapai dari wang ringgit dan harta, maka dirinya adalah hamba wang, bukan hamba Allah. Atas sebab itu, Al-Quran menekankan konsep individu yang menjadikan nafsunya sendiri sebagai tuhan selain Allah, disebabkan amal sehariannya ditujukan dalam memuaskan nafsu yang pada hakikatnya ibarat meminum air laut.

            Allah ﷻ berfirman dalam surah Al-Nahl ayat 120: “Sesungguhnya Ibrahim adalah seorang imam yang taat kepada Allah, dengan penuh kemurnian, dan dia tidak pernah tergolong di dalam golongan Musyrikin”.

            Daripada ayat yang ringkas ini, terkandung makna dan usul kehidupan yang sangat mendalam. Cuba kita renung kembali sirah Nabi Ibrahim as. Beliau berjihad dengan berdakwah menegur Namrud, yang mana merupakan salah seorang daripada empat raja yang menguasai bumi Allah daripada Timur ke Barat. Kekuasaannya sangat besar, pengikutnya sangat ramai, ketenteraannya hanya Allah yang mengetahui keperkasaannya. Namun dalam keadaan berseorangan, Nabi Ibrahim as berdakwah kepadanya untuk tidak mensyirikkan Allah, untuk meninggalkan penyembahan berhala, dan berhujah dengan kata-kata yang sangat berwibawa dan gagah, diabadikan di dalam Al-Quran sehingga kini. Akibat daripada dakwahnya tersebut, Nabi Ibrahim as diarahkan untuk dicampakkan ke dalam api yang marak. Walaupun beliau diselamatkan Allah, namun pakaiannya terbakar, dan terdedah auratnya kepada masyarakat. Beliau kemudian berhijrah meninggalkan kampung halamannya demi menyelamatkan iman, dan jadilah Ibrahim as sebagai manusia pertama yang berhijrah disebabkan iman.

            Beliau kemudian diuji dengan ketiadaan anak dalam tempoh yang lama. Akhirnya, beliau dianugerahkan Allah Ismail as, ketika usia beliau hampir mencapai seratus tahun. Anak inilah yang beliau tatang umpama minyak yang penuh, diharapkan dapat menyambung dakwahnya di jalan Allah ﷻ. Namun, Allah mengarahkan beliau untuk meninggalkan Ismail dan ibunya Hajar, di lembah Bakkah, di sebelah wadi yang tidak mempunyai air, tanaman ataupun penduduk yang mampu menolong mereka. Kisah yang sangat menghibakan ini diramakan di dalam surah Ibrahim. Nabi Ibrahim as tetap melakukannya jua, meninggalkan bayi yang masih lemah, dalam pangkuan ibunya tanpa sebarang kemudahan untuk kelangsungan hidup. Entah kekal hidup atau tidak, diserahkan kepada Allah ﷻ. Tambah mengharukan lagi akan besarnya hati Khalilullah Ibrahim as, beliau menyebutkan kepada Allah, bahawa ditinggalkan Ismail as di sebelah rumah Allah, dengan tujuan agar Ismail as menjadi seorang hamba yang taat mendirikan solat kepada Allah. Bukankah sangat besar sekali nilai solat itu di sisi Ibrahim as, berbanding dengan kita pada hari ini?

            Kemudian, setelah anaknya meningkat dewasa pada usia belasan tahun, sekali lagi Allah ﷻ menguji beliau dengan arahan menyembelih anaknya. Sehingga dia meletakkan anaknya di ribaannya, mengikatnya, dan menghadapkan wajah anaknya ke arah bertentangan pandangannya, dengan jangkaan tidak melihat anaknya kesakitan akibat disembelih. Ismail as pula, pada usia usia yang masih belum mencapai umur tua yang matang, dan bukan pula pada usia yang tidak kenal bahaya dan tidak mengendahkan keselamatan dirinya. Di situ letaknya sukarnya ujian yang dilalui oleh Ibrahim as.

            Dalam semua ujian ini, Ibrahim as melaluinya dengan taat, tunduk dan patuh kepada Allah. Tidak ada dalam ujian ini yang diraguinya, malahan beliau menjalankannya samada dalam keadaan yang tampak manfaat, ataupun mudharat baginya. Sesungguhnya semua ujian ini mustahil dapat dilalui melainkan daripada orang-orang yang sabar. Mereka yang meyakini sepenuhnya terhadap hikmah kebijaksanaan Allah, dan juga ganjaran berupa nikmat dan syurga yang Allah sediakan di akhirat kelak. Sifat manusia, jika bukan kerana keimanan dan keyakinan kepada Allah, pasti akan memikirkan apakah faedah dan manfaat keduniaan bagi dirinya sendiri, atau apakah mudharat dan rugi di dunia bagi dirinya. Atas sebab itu, orang-orang musyrik tidak boleh berlaku ikhlas, sampai bila-bila. Jika sesuatu itu dilihat ada manfaat bagi dirinya, maka manusia akan segera melakukannya. Jika dilihat mendatangkan mudarat bagi dirinya, maka manusia akan segera menjauhkannya. Namun tidak di dalam kes Khalilullah Ibrahim as, beliau yakin dengan janji Allah, hikmah di sebalik semua perkara, maka dengan itu, ketaatan yang beliau berikan bersifat mutlak kepada Allah ﷻ.

            Di dalam ayat yang dibawakan di atas, itulah sikap yang Allah mengarahkan sekalian kita untuk mencontohi Nabi Ibrahim as. Ketaatan yang mutlak kepada Allah, dalam semua arahan dan larangan yang Allah sudah jelaskan di dalam Al-Quran, dan hadis Nabi ﷺ. Ada masanya kita sebagai manusia memahami hikmahnya, ada masanya tidak, ada masanya hikmahnya lewat difahami, adakalanya cepat kita diperlihatkannya oleh Allah ﷻ. Pengukuran hikmah ini bukanlah faktor utama dalam mempersembahkan ketaatan kepada Allah, kerana akal manusia mustahil dapat memahami setiap hikmah dalam selok belok takdir ketentuan Allah. Itu sama sekali mustahil. Hikmah, dengan itu, adalah termasuk dalam keimanan kepada Allah, dan seseorang itu cuma dapat mengecapinya dengan banyak beramal soleh, dan meletakkan tawakal yang tinggi hanya kepada Allah semata-mata.

            Betapa banyak daripada kita pada zaman fitnah masakini, cuba menjadikan hikmah itu sebagai ukuran sebelum mempersembahkan amal soleh, ketaatan kepada Allah. Atas nama Islam, mereka ‘menilai’ terlebih dahulu arahan Allah. Jika mereka nilai sebagai manfaat, maka mereka akan melakukannya. Jika mereka menilainya sebagai mudarat, maka mereka akan meninggalkannya, dengan alasan agama Islam itu tidak bertujuan mendatangkan mudarat. Subhanallah. Syariat yang dibentuk oleh Allah sendiri, diturunkan dengan amanah oleh Jibrail as, disampaikan dengan amanah pula oleh Nabi ﷺ, dan akhirnya ‘penilaian’ bagus atau tidaknya syariat ini manusia letakkan haknya pada tangan mereka sendiri. Ini bukanlah contoh yang ditinggalkan oleh Ibrahim as. Ini bukan contoh seorang yang sabar dan tunduk kepada Allah. Ini juga bukan sikap Ibrahim as yang tawakal kepada Allah, dan memperbanyakkan amal soleh.

            Jika direnungkan, serentak dengan kisah Ibrahim as, Allah turut memuatkan banyak kisah-kisah umat terdahulu, daripada manusia dan jin yang menyangkakan akal mereka lebih tahu daripada Allah sendiri. Akhirnya, mereka tampak perbuatan mereka semuanya indah dan benar, dan mereka inilah golongan yang akhirnya rugi di akhirat nanti. Namun begitu juga, betapa ramai manusia yang mengendahkan kisah-kisah ini, dengan merasakan dirinya ‘selamat’ daripada bersikap sedemikian, selanjutnya merasakan diri mereka selamat daripada neraka Allah. Mudah-mudah pedoman dalam kisah Ibrahim menjadi satu titik rujukan kepada sekalian kita.