FAQHubungiMaklumbalasPeta Laman
Pilihan Bahasa
msen
Saiz Teks

Kitaran Senang & Susah Sebahagian Daripada Sunnatullah

Oleh: Mohd Azri Bin Mohd Nasaruddin

 

            Bila menyebut perkataan ‘agama’ rata-rata sekalian manusia akan melihatnya sebagai satu jalan untuk selamat sama ada di dunia atau pada kehidupan seterusnya. Agama dengan itu, dilihat sebagai ‘jaminan tuhan’ untuk bahagia di dunia dan di akhirat. Takrifan ‘bahagia’ itu pula pada sesetengah pihak, difahami sebagai keuntungan dan manfaat pada setiap langkah kehidupan, tanpa melalui sebarang bentuk mudharat atau kerugian yang menuntut kesabaran. Atas dasar itu, muncul golongan yang samada menggunakan agama sebagai alasan untuk kemungkaran, dan muncul juga golongan yang menafikan wujudnya agama dan panduan tuhan. Mereka tanyakan, jika tuhan itu wujud, maka mengapa ada peperangan? Mengapa ada kematian jiwa yang tidak berdosa, mengapa individu yang baik ditindas individu zalim, tanpa ada pembelaan daripada tuhan?

            Hakikatnya, Islam tidak memandang seluruh kehidupan ini tidak ada saat ruginya, saat mudharatnya, saat terujinya seorang hamba. Di sini terletak kesyumulan Islam, yang menjelaskan setiap sisi kehidupan dengan baik, teratur, dan mampu difahami oleh mana-mana insan yang berfikir. Cuba kita lihat contoh kehidupan orang-orang soleh yang sudah berlalu setelah kita, adakah semua mereka menikmati kehidupan yang serba mudah dan mewah setiap masa? Malahan, jika dilihatkan penakrifan Al-Quran terhadap rasul Ulul Azmi, mereka adalah para rasul yang menghadapi ujian yang paling getir dan berat daripada Allah ﷻ. Bukan sebaliknya. Islam menekankan bahawa seluruh hidup ini adalah ujian, maka sebahagian daripada hakikat ujian itu ada ‘soalan’ yang mudah, juga ada ‘soalan’ yang sukar dan memerlukan pemikiran yang lebih mendalam. Seluruh kehidupan ini, dalam susah dan senang, adalah didikan daripada Allah ﷻ. Hikmah dan kebaikan itu adalah pasti bagi mereka yang sabar dan mahu berfikir.

            Tidak perlu kita merenung dengan jauh, cukup jika dilihat sirah Nabi ﷺ. Pada awal Hijrah, masyarakat Islam telah terlibat di dalam Peperangan Badar, yang mana merupakan ujian yang besar daripada Allah ﷻ. Rancangan asalnya hanya untuk menyekat rombongan dagang Abu Sufyan (sebelum memeluk Islam) yang pulang daripada Syam dengan kawalan yang minima, bertukar menjadi peperangan 313 pahlawan Islam dari kalangan sahabat ra, menentang 1400 tentera musyrikin Quraisy yang lengkap bersenjata. Hampir semua sahabat ra berjalan kaki tidak berkenderaan, membawa senjata yang tumpul, dan tidak kurang juga di antara mereka yang tidak mempunyai baju perang. Jumlah musuh yang berkali-kali ganda, persiapan perang yang tidak lengkap, tidak menghalang mereka berjihad di jalan Allah. Lalu Allah memberikan bantuan kepada mereka dengan kemenangan yang besar, meragut 70 nyawa musyrikin Quraisy. Ini  termasuk dengan pemimpin yang besar di kalangan mereka, seperti Abu Jahal. Juga pihak Islam berjaya menawan 70 orang tawanan Badar. Kejayaan besar ini dirakamkan di dalam Al-Quran.

            Namun, cuma setahun setelah itu, iaitu pada 3 Hijrah, umat Islam mengalami kekalahan pula pada Perang Uhud. Walaupun jumlah tentera Islam sudah bertambah paling kurang sekali ganda, iaitu sekitar 700 orang, dengan persediaan yang lebih rapi, namun mereka tetap tewas, dengan 70 orang sahabat seperti Hamzah, Abu Dahdah dan Abdullah Al-Hakam ra gugur syahid di medan Uhud. Peristiwa Uhud, kekal menjadi titik duka Nabi ﷺ sehingga ke akhir hayat baginda. Mengapa demikian? Bukankah Allah telah menjanjikan kemenangan terhadap kaum Muslimin, dan mustahil Allah mungkir janjiNya? Jikalau Islam itu agama kebenaran, maka mengapa mereka tewas? Bukankah sepatutnya jika Allah sentiasa bersama mereka, mereka mustahil tewas?

            Pemikiran sebegini yang pada masa kini mengisi benak pemikiran mereka yang tidak benar-benar memahami maksud agama. Bahkan, soalan-soalan yang dilontarkan tadi, terlebih dahulu telah dilontarkan oleh kaum musyrikin dan munafiq kepada masyarakat Islam. Sudah tentu, Allah ﷻ tidak meninggalkan persoalan ini tidak berjawab. Soal ini Allah sebutkan khas di dalam surah Ali Imran, di mana beberapa pengajaran dapat kita ambil dan fahami hatta pada hari ini.

            Pertama, bahawa janji Allah akan kemenangan itu cuma akan berlaku, sekiranya kita taat pada Allah ﷻ. Sebagaimana kita tahu, sahabat ra ada yang melakukan kesilapan pada Perang Uhud, di mana 50 orang pemanah meninggalkan Jabal Rama sebelum mendapat keizinan daripada Nabi ﷺ. Ini membuatkan tentera berkuda Khalid Al-Walid (sebelum memeluk Islam) mengambil kesempatan untuk menyerang umat Islam daripada belakang. Sama pada kita pada hari, janji kemenangan dan kebahagiaan itu cuma diberikan setelah sekalian kita menunjukkan ketaatan kepada Allah. Oleh itu, amat salah sekali sikap penganut Kristian umpamanya, yang hidup menuruti nafsu mereka setiap hari, namun mengharapkan pengampunan Allah. Dan mereka marah kepada Allah pada saat mereka rasakan tidak terbela, walhal kemaksiatan diri mereka diendahkan.

            Kedua, bahawa dalam kekalahan itu terdapat ujian kepada sekalian umat Islam. Seandainya Allah ﷻ hanya memberikan kemenangan dan keuntungan setiap masa kepada semua manusia yang memeluk Islam, maka bagaimana dibezakan di antara mereka yang benar-benar ikhlas beriman, dengan mereka yang hanya beriman dan gembira di kala mendapat manfaat dan ingkar pada ketika diuji? Malahan, itu merupakan salah satu sifat munafik, beriman ketika untung dan kufur ketika mendapat ujian atau bala. Sedangkan mereka yang beriman kekal mengikhlaskan diri kepada Allah, dalam susah dan senang. Dalam kelapangan mereka bersyukur kepada Allah. Dalam diberikan nikmat, mereka faham itu semua adalah milik Allah, namun dipinjamkan atas sifat Belas Kasihan Allah. Dalam ujian, mereka memahami itu tandanya Allah ingin menghapuskan dosa. Dalam ditimpa bala, mereka memahami itu ertinya Allah ingin mereka membuktikan keikhlasan dan keimanan mereka kepada Allah yang tidak berbelah bahagi, tanpa mengira masa dan keadaan.

            Ketiga, bahawa setiap ujian dan bala menimpa, mempunyai pengajaran yang sangat berharga untuk jangka masa panjang. Benar sahabat ra ada melakukan kesilapan pada Uhud, namun kesilapan itu dididik Allah dengan kekalahan, sehingga selepas daripada Uhud, tidak ada lagi para sahabat ra yang ingkar pada arahan Nabi ﷺ. Kerana itu kita perhatikan, peperangan Nabi ﷺ bersama para sahabat tidak lagi mengalami kekalahan setelah Perang Uhud. Kesilapan mereka ambil sebagai pengajaran dan dijadikan bekalan untuk lebih matang dan cekal beriman, kerana itu, mereka akhirnya menamatkan hidup mereka dengan keimanan yang teguh kepada Allah dan rasulNya, dan juga membawa pulang amal soleh yang hanya Allah tahu betapa besar dan berharga ketika bertemu denganNya.

            Umar ra pernah berkata: “Sekiranya rahmat dan ujian itu adalah dua ekor unta, nescaya aku tidak akan memilih untuk menunggangnya”. Kata-kata yang mendalam ini, menunjukkan betapa Amirul Mukmimin Umar ra memahami bahawa kedua-duanya adalah pemberian Allah, dan di akhir hari, kedua-duanya mempunyai manfaat bagi manusia, samada di dunia atau akhirat. Maha Suci Allah yang telah menurunkan Islam dengan sempurna, dalam penjelasan yang ringkas dan padat, menerangkan soal yang diperselisihkan oleh manusia sejak sekian lama. Jika bukan kerana nikmat Islam, nescaya manusia tidak akan mampu mendapatkan manfaat untuk dirinya, samada dalam soal yang kecil atau peringkat yang lebih tinggi. Mudah-mudahan Allah mengizinkan kita untuk menjejaki langkah para sahabat ra, dan menjadi Muslim yang lebih baik saban hari.