FAQHubungiMaklumbalasPeta Laman
Pilihan Bahasa
msen
Saiz Teks

GARA-GARA SEBATANG PEN

(Oleh : Ustaz Zulhamdi Zainol Abidin (Pegawai Mubaligh)

 

        Kita semua pasti pernah atau sedang berhutang, samada dengan pihak institusi-institusi tertentu ataupun dengan individu tertentu. Cuma yang berbeza adalah jumlah hutangnya. Ada yang berhutang dengan jumlah yang besar dan ada dengan jumlah yang sedikit. Terkadang manusia menyangka hutang yang sedikit pasti tidak akan membuatkan pihak pemiutang akan peduli dengan jumlah tersebut, kerana sangkaan pemiutang sudah kaya, atau lain-lain lagi. Ya, betul dia tidak menagih hutang tersebut walaupun telah bertahun-tahun berlalu, namun hutang tetap hutang sepertimana di awal perjanjian akad walaupun pemiutang tidak lagi menagih. Bahkan kadang-kadang ada yang telah berniat untuk tidak melunaskan hutang tersebut. Jangan kelak kita di cop sebagai pencuri pada hari kiamat kelak gara-gara hutang yang tidak dilunaskan. Sabda Nabi SAW :

 

أَيُّمَا رَجُلٍ يَدَيَّنُ دَيْنًا وَهُوَ مُجْمِعٌ أَنْ لاَ يُوَفِّيَهُ إِيَّاهُ لَقِىَ اللَّهَ سَارِقًا

 

Maksudnya : “Siapa saja yang berhutang dan dia berniat tidak membayarnya kepada pemiliknya maka dia (penghutang) akan bertemu dengan Allah SWT pada hari kiamat sebagai seorang pencuri”. (HR Ibnu Majah)

       Begitu pula sebaliknya, dalam hadis riwayat Ibnu Majah, mereka yang berhutang dengan niat untuk melunaskan maka Allah SWT akan membantunya melunaskan hutang tersebut didunia. Oleh itu, sewajarnya kita berniat untuk melunaskan hutang tersebut ketika meminjamnya walaupun bagi pandangan kita nilainya amatlah kecil dan pemiliknya atau pemiutang tidak akan kisah mengenainya. Mari kita renungi satu kisah yang diceritakan oleh Abdullah bin Mubarak (181 H). Beliau berkata kepada al-Hasan bin Arofah;

ketika aku berada di negeri Syam (Syria), aku telah meminjam sebuah pen. Setelah selesai menggunakannya, aku lupa untuk mengembalikan kepada tuannya. Ketika aku tiba di daerah Marwa (terletak di Turkmenistan, yang perjalanannya mengambil masa 2 bulan ketika itu), ternyata pen tersebut masih ada denganku. Wahai Abu Ali, aku kembali ke Syam hanya bertujuan mengembalikan pen itu kepada pemiliknya.” (rujuk kitab Sifat al-Sofwah)

        Inilah akhlak yang ditunjukkan oleh seorang lelaki soleh Ibnu Mubarak ketikamana beliau faham tentang beratnya hukuman dan balasan bagi seorang yang telah meminjam tapi tidak mengembalikan kepada pemiliknya.

         Kerana hanya sebatang pen, beliau sanggup untuk meredah perjalanan jauh selama 2 bulan pergi ke Syam, dan 2 bulan balik ke Marwa lamanya, gara-gara sebatang pen yang tidak dipulangkan kepada pemiliknya. Walaupun nilainya kecil tapi disisi Allah SWT sangatlah besar. Semoga Allah SWT memberikan kita semangat untuk melunasi hutang sepertimana Ibnu Mubarak.