FAQHubungiMaklumbalasPeta Laman
Pilihan Bahasa
msen
Saiz Teks

Adab Memasuki Tandas.


Soalan 1: Apakah doa yang perlu dibaca ketika hendak masuk dan keluar daripada tandas?

Jawapan:
Antara zikir yang diajar oleh Rasulallah saw ketika memasuki tandas ialah sepertimana yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik ra beliau berkata: Sesungguhnya apabila Rasulallah saw hendak memasuki tandas maka Baginda kan membaca:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الخُبُثِ وَالخَبَائِثِ
Maksudnya: Ya Allah aku berlindung denganMu daripada kejahatan dan juga (gangguan) syaitan-syaitan. (Hadith Muttafaq Alayh)

Antara hikmah membaca zikir di atas ialah untuk menghindari seseorang muslim itu daripada tipu daya dan gangguan syaitan. Perkara ini berdasarkan hadith Rasulallah saw iaitu: “Sesungguhnya tandas itu ialah tempat yang dihadiri (syaitan), maka apabila seseorang daripada kamu memasuki tandas hendaklah dia membaca:

أَعُوذُ بِاللَّهِ مِنْ الْخُبُثِ وَالْخَبَائِثِ
Maksudnya: Aku berlindung dengan Allah daripada kejahatan dan juga (gangguan) syaitan-syaitan. (HR Abu Dawud dan dinilai sahih oleh al-Albani).
Di samping itu kita juga disunatkan untuk membaca bismillah sebelum daripada memasuki tandas. Daripada Ali bin Abi Talib ra bahawa Nabi saw telah bersabda:

سِتْرُ مَا بَيْنَ الْجِنِّ وَعَوْرَاتِ بَنِي آدَمَ إِذَا دَخَلَ الْكَنِيفَ أَنْ يَقُولَ: بِسْمِ اللَّهِ
Maksudnya: Pelindung antara jin dan juga aurat anak Adam apabila memasuki tandas ialah apabila dia membaca Bismillah. (HR al-Tirmidhi dan dinilai sahih oleh al-Albani).

Apabila seseorang muslim itu keluar daripada tandas maka disunatkan untuk membaca:

غُفْراَنَكَ
Maksudnya: (Aku memohon) keampunanMu (ya Allah). (HR Abu Dawud dan al-Tirmidhi dan dinilai sahih oleh al-Nawawi dan al-Dhahabi).

 

Soalan 2: Apakah hukum membuang air kecil sambil berdiri? Adakah terdapat larangan dalam permasalahan ini?


Jawapan:
Terdapat beberapa hadith yang menyebut tentang permasalahan ini. Antaranya:
a) Daripada Aishah ra beliau telah berkata: “Sesiapa yang menceritakan kepada kamu bahawa Nabi saw membuang air kecil dalam keadaan berdiri maka janganlah kamu membenarkan berita tersebut. Baginda tidak pernah membuang air kecil kecuali dalam keadaan duduk” (HR al-Tirmidhi dan dinilai sahih oleh al-Albani).

b) Daripada Hudhaifah ra beliau berkata: “Sesungguhnya Nabi saw telah membuang air kecil di tempat pembuangan sampah suatu kaum dalam keadaan berdiri” (Muttafaq Alayh)

Al-Shaykh ‘Abd al-Aziz Bin Baaz menyatakan bahawa tiada larangan untuk membuang air kecil secara berdiri terutama dalam keadaan yang memerlukan seseorang itu berbuat demikian jika auratnya terpelihara dan terselamat daripada percikan najis air kecil tersebut. Namun yang lebih baik ialah membuang air kecil dalam keadaan duduk sepertimana kebiasaan yang dilakukan oleh Rasulallah saw. (Fatawa Bin Baaz).