FAQHubungiMaklumbalasPeta Laman
Pilihan Bahasa
msen
Saiz Teks

MESYUARAT JAWATANKUASA FATWA NEGERI PERLIS KALI KE-18/2015

TARIKH: 22-23 April 2015 / 3-4 Rejab 1436H

DAKWAAN MELIHAT NABI SECARA JAGA (YAQAZAH)

 

Dakwaan seseorang melihat Nabi secara jaga (yaqazah) sama ada dalam bentuk hakiki ataupun ruh selepas kewafatan Baginda SAW tidak pernah dinukilkan melalui riwayat yang sahih berlaku kepada mana-mana sahabat RA, sekalipun ketika saat-saat getir, seperti ketika timbulnya perbezaan pendapat di kalangan mereka. Demikian juga generasi Tabi’ien dan Atba’ al-Tabi’ien.

Kemungkinan berlakunya yaqazah secara ruh adalah dakwaan yang diragui dan ditolak oleh para muhaqqiqin seperti al-Nawawi, Ibn Taimiyyah, Ibn Kathir, Ibn Hajar al-‘Asqalani, al-Sakhawi. Begitu juga al-Qusyairi.

Demikian juga dakwaan melihat jasad nabi di zaman ini secara jaga adalah tertolak. Apa yang dinukilkan dari segelintir para ulama dalam hal ini adalah mengelirukan dan berlaku kontradik di dalam kenyataan mereka sendiri. Nukilan tersebut mempunyai berbagai versi yang berbeza-beza. Ada yang mendakwa melihat dengan Wijdan (pandangan hati), ada yang mendakwa melihat antara tidur dan jaga, ada pula yang mendakwa dengan hanya gambaran nabi (له مثاال (dan berbagai lagi. Semua dakwaan ini boleh diberikan berbagai tafsiran yang tidak semestinya membawa makna yaqazah seperti yang difahami oleh sesetengah pihak.

Selain itu, dakwaan melihat Nabi secara jaga (yaqazah ) juga terdedah kepada tipu daya syaitan. Ia boleh membuka pintu kerosakan dengan berbagai tujuan seperti ‘Ujub dan Sum’ah. Justeru apa-apa dakwaan melihat Nabi sama ada dalam mimpi mahupun jaga yang membabitkan implikasi syara’ seperti pegangan akidah, hukumhakam syariat dan penilaian hadis adalah batil dan sesat. Begitu juga dengan dakwaan bacaan tertentu boleh menghadirkan Nabi ke dalam sesuatu majlis juga adalah tidak berasas.