FAQHubungiMaklumbalasPeta Laman
Pilihan Bahasa
msen
Saiz Teks

 

MESYUARAT

JAWATANKUASA FATWA NEGERI PERLIS KALI KE-20 & 21/2016

TARIKH: 18-19 Februari 2016 / 9-10 Jamadil Awwal 1437H

 

FATWA BERKAITAN AHBASH

 

Islam adalah agama yang menyeru perdamaian dan islah antara manusia dan mengamalkan agama tanpa bersifat melampau. Islam melarang dari bersikap mudah mengkafir dan menyesatkan sesama muslim di atas sangkaan. Demikian Islam juga melarang mengubah tujuan perkataan atau tulisan pihak lain di atas perkara yang tidak mereka maksudkan. Setelah bermesyuarat, maka Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis merumuskan seperti berikut:  

     Ahbash adalah aliran yang diasaskan oleh Abdullah al-Harari al-Habashi yang mendakwa mereka beraliran Asya’irah, tetapi aliran Ahbash ini adalah sesat dan melampau (ghulu) dalam menghukum pihak lain. Asas kesesatan mereka bukan kerana aliran Asya’irah yang dipegang, tetapi kerana sifat melampau (ghulu) dalam mengkafir dan menyesatkan pihak yang berbeza. Mereka juga mengamalkan pendekatan mengutuk, mencerca dan memalsukan kalam pihak yang berbeza dengan mereka. Mereka telah mengkafirkan tokoh-tokoh ulama silam seperti Ibn Taimiyyah, Ibn al-Qayyim, al-Zahabi dan ulama semasa seperti al-Qaradhawi, al-Buthi, Ibn Baz, Ibn ‘Uthaimin, al-Albani, Mutawali al-Sya’rawi, Sayyid Qutb dan selainnya.

     Setelah meneliti fatwa-fatwa para ulama di peringkat antarabangsa seperti Dar al-Ifta’ Mesir (Majlis Fatwa Mesir), Majlis Fatwa Arab Saudi, fatwa Dr. Yusuf al-Qaradhawi, Dr Wahbah al-Zuhaili, Dr Muhammad Sa’id Ramadhan al-Buthi dan lain-lain. Maka dengan itu, Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis berpendapat bahawa aliran Ahbash adalah salah satu daripada aliran yang melampau, sesat dan menyesatkan. Kewujudannya dalam kalangan masyarakat Islam amat merbahaya. Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis berpandangan bahawa aliran ini hendaklah dicegah dari dipegang dan disebarkan.