FAQHubungiMaklumbalasPeta Laman
Pilihan Bahasa
msen
Saiz Teks

MESYUARAT

JAWATANKUASA FATWA NEGERI PERLIS KALI KE-22/2016

TARIKH: 11 Jun 2016 / 6 Ramadan 1437H 

GARIS PANDUAN ACARA PERSEMBAHAN HIBURAN

DI NEGERI PERLIS

(KONSERT, LAKONAN, TARIAN DAN SEUMPAMANYA)

 

 

Pada asalnya Persembahan Hiburan adalah Harus di dalam Islam. Ia termasuk di dalam kehendak fitrah manusia yang dikurniakan oleh Allah SWT. Namun, Acara Persembahan Hiburan itu BOLEH menjadi haram jika ia mengandungi anasir yang bertentangan dengan syarak. Justeru sesuatu Acara Persembahan Hiburan hendaklah memenuhi panduan-panduan berikut:

  1. Hendaklah tidak bertentangan dengan aqidah dan syariat Islam seperti memuja selain daripada Allah SWT, memburuk-burukkan Rasulullah SAW, memperlekehkan para sahabat, meragui hari kiamat, dan mendorong kepada perlakuan zina dan maksiat.
  2. Hendaklah tidak mengabaikan kewajipan terhadap Allah seperti solat, puasa dan seumpamanya.
  3. Hendaklah tidak mendorong kepada sifat dan kelakuan melampau yang merendahkan akhlak mulia insani.
  4. Hendaklah bebas dari sebarang bentuk promosi dan penggunaan arak, dadah, pertaruhan judi dan semua yang menyalahi syarak.
  5. Hendaklah tidak mengandungi unsur-unsur yang boleh memecah-belahkan perpaduan umat dan tidak memudaratkan nyawa, akal, keturunan, tubuh badan serta harta benda individu atau awam.
  6. Hendaklah tidak melibatkan persembahan atau tarian yang wujud percampuran YANG MENYALAHI syarak antara lelaki dan wanita di dalam persembahan atau tarian yang dilakukan.
  7. Hendaklah tidak mempunyai perkara yang membodohkan minda seperti jenaka melampau (rujuk kepada perkara a, c dan d di atas) dan sebagainya.
  8. Hendaklah diadakan di tempat yang bersesuaian dengan acara hiburan yang dianjurkan (perlu merujuk kepada pihak yang berautoriti).
  9. Hendaklah penyanyi sama ada lelaki atau wanita, pembuat persembahan menutup aurat bagi yang muslim dan berpakaian sopan bagi yang bukan muslim, tidak melakukan gerak badan yang memberahikan ataupun mempersembahkan nyanyian dengan suara dan senikata lucah yang menyebabkan rangsangan syahwat dalam kalangan pendengar atau penonton.
  10. Hendaklah dipastikan tiada percampuran di antara lelaki dan wanita yang bukan mahram tanpa sekatan dan had hingga membawa kepada persentuhan antara lelaki dan wanita ”ajnabi” (asing).
  11. Hendaklah persembahan yang dilakukan itu menghormati syiar Islam seperi azan dan sensitiviti penduduk setempat.