FAQHubungiMaklumbalasPeta Laman
Pilihan Bahasa
msen
Saiz Teks

MESYUARAT JAWATANKUASA FATWA

NEGERI PERLIS KALI KE-24 & 25/2016

20-21 Disember 2016

20-21 Rabiul Awwal 1438H

  

HUKUM ISTERI MENINGGALKAN RUMAH SUAMI

DISEBABKAN ANCAMAN

Pada asalnya isteri tidak boleh keluar daripada rumah suaminya (Bait al-Zaujiyyah) iaitu rumah kehidupan pasangan suami isteri yang disediakan oleh suami melainkan dengan izin suami. Ini kerana suami merupakan pelindung, pembimbing dan ketua keluarga di mana isteri berada di bawah tanggungjawabnya.

Jika isteri boleh berada di mana-mana sahaja tanpa keizinan suami tentulah peraturan rumahtangga tidak akan wujud dan pergaulan baik antara suami isteri tidak akan berlaku dalam ertikata yang sebenar.

Namun begitu jika sekiranya isteri pada anggapan yang kuat, merasakan agama, diri, kehormatan, keluarga atau hartanya berada dalam keadaan bahaya yang diiktiraf oleh syarak, tidak mempunyai jalan keluar dan tidak mampu untuk ditanggung jika terus berada di rumah suami, maka isteri diharuskan keluar sekalipun tanpa keizinan suami. Ini setelah isteri benar-benar mendapati tiada langkah penyelesaian melainkan keluar meninggalkan rumah suami.

Begitu juga jika suami gagal menunaikan tanggungjawab menyediakan tempat tinggal yang selamat dan sesuai atau nafkah yang mencukupi, maka isteri boleh keluar rumah tanpa mendapat izin suami dan tidak dikira nusyuz sehingga suami dapat menunaikan tanggungjawabnya.