FAQHubungiMaklumbalasPeta Laman
Pilihan Bahasa
msen
Saiz Teks

MESYUARAT JAWATANKUASA FATWA

NEGERI PERLIS KALI KE-24 & 25/2016

20-21 Disember 2016

20-21 Rabiul Awwal 1438H

 

HUKUM TAKLIK TALAK TIGA

Talak adalah hukum syarak yang tidak boleh dipermain-mainkan kerana ia boleh meruntuhkan perkahwinan.

Merujuk kepada taklik mentalakkan isteri dengan talak tiga sekiranya melanggar sesuatu perjanjian, terdapat beberapa keadaan:

  1. Sekiranya ketika dilafazkan taklik tersebut, suami yang melafazkan itu sememangnya bertujuan untuk mentalakkan isterinya jika dia melanggar perjanjian itu, maka isterinya tertalak dengan satu talak.
  1. Sekiranya ketika dilafazkan taklik tersebut, suami yang melafazkan itu tidak bertujuan mentalakkan isterinya tetapi sekadar memberi keyakinan kepada pihak yang lain bagi menggambarkan kebenciannya melanggar perjanjian itu sepertimana dia membenci mentalakkan isterinya, maka taklik tersebut tidak menjatuhkan talak dan tidak memberi kesan.
  1. Jika dia tidak pasti keadaan dirinya semasa taklik sama ada terpaksa ataupun rela, dalam kedaan sedar ataupun tidak, memahami maksud taklik tersebut ataupun tidak, maka kembali kepada hukum asal bahawa akad perkahwinan yang asal masih sah. Ini berdasarkan kaedah fiqh:

اليقين لا يزول بالشك

Perkara yang yakin, tidak boleh dihilangkan dengan keraguan.

  1. Jika suami mengungkapkan taklik itu sebagai sumpah bagi dirinya ke atas apa-apa yang dijanjikan dan melanggarnya, maka hendaklah dia menunaikan kaffarah sumpah.
  1. Jika berlaku perbalahan pendapat antara suami dan isteri tentang kedudukan taklik talak mereka, kemudian jika kes itu mereka bawa ke mahkamah, maka penentuan dalam kes perbalahan mereka itu ditentukan oleh hakim Syar’ie.