FAQHubungiMaklumbalasPeta Laman
Pilihan Bahasa
msen
Saiz Teks

MESYUARAT JAWATANKUASA FATWA

NEGERI PERLIS KALI KE-31/2017

6 Ogos 2017 bersamaan 13 Zulkaedah 1438H

HUKUM PROGRAM PERKONGSIAN SUSU IBU DI HOSPITAL

 

Para ulama telah berbeza pendapat tentang beberapa perincian berkaitan hukum susuan (radha’ah). Majoriti (Jumhur) berpendapat penyusuan sama ada secara langsung ataupun tidak langsung daripada payudara ibu boleh mensabitkan hubungan mahram susuan.

Di samping itu terdapat dalam kalangan ulama yang mensyaratkan susuan itu hendaklah secara langsung daripada payudara ibu susuan. Ini seperti pendapat al-Laith bin Saad, Ibn Hazm dan selain mereka. Pandangan ini juga yang ditarjihkan oleh al-Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi, al-Syeikh Mustafa al-Zarqa dan lain-lain. Para ulama juga ramai yang menyebut bahasawanya percampuran susu berlainan ibu tidak mensabitkan hukum mahram. Demikian juga para ulama berkhilaf tentang jumlah bilangan susuan yang mensabitkan hukum berkenaan. Majoriti ulama mentarjihkan lima kali susuan yang mengenyangkan.

Setelah berbincang pandangan-pandangan di atas dan mengambil kira keperluan dan realiti yang ada dalam memelihara nyawa bayi khususnya bayi pramatang seperti yang telah dibentangkan oleh pihak KementerianKesihatan Malaysia (KKM), maka Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis berpendapat bahawa program perkongsian susu ibu yang dicadangkan oleh KKM adalah tidak bercanggah dengan hukum syarak.

Walaubagaimanapun, Jawatankuasa meminta supaya cara perlaksanaan program tersebut mengambil kira perkara-perkara berikut:

  1. Hendaklah mendapat persetujuan dari kedua-dua pihak (ibu susuan dan anak susuan), kecuali dalam keadaan darurat.
  2. Sekiranya berlaku susuan sebanyak 5 kali kenyang ke atas dari seseorang ibu susuan yang sama dengan rekod yang jelas, maka kedua-dua pihak (ibu susuan dan anak susuan) hendaklah mengetahui antara satu sama lain. Ini bagi menjaga hukum-hakam yang berkaitan dengan mahram.

         Jawatankuasa juga ingin memaklumkan bahawa wujudnya keluasan pendapat dalam hal ini di mana para ulama seperti al-Laith bin Saad, Ibn Hazm, al-Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi, al-Syeikh Mustafa al-Zarqa dan lain-lain mensyaratkan susuan itu berlaku secara langsung daripada payudara ibu, maka bagi yang berpegang dengan pendapat ini, dua perkara yang disebutkan di atas tidak menjadi syarat.