FAQHubungiMaklumbalasPeta Laman
Pilihan Bahasa
msen
Saiz Teks

MESYUARAT

JAWATANKUASA FATWA NEGERI PERLIS KALI KE-32 & 33/2017

20 – 21 Oktober 2017

29 Muharram – 1 Safar 1438H

Mengkhususkan Bacaan Surah al-Kahf

Pada Hari Jumaat

Fadhilat membaca surah al-Kahf thabit dengan riwayat-riwayat yang sahih. Adapun mengkhususkan bacaan surah al-Kahf pada hari Jumaat berlaku perbezaan pandangan ulama hadis tentang kethabitan riwayat Hushaim bin Basyir. Terdapat dalam kalangan ulama hadis yang menolak pengkhususan bacaan surah al-Kahf pada hari Jumaat atas alasan riwayat Hushaim tidak kukuh secara perbandingan dengan riwayat yang tidak menyebut hari Jumaat khususnya riwayat Syu’bah bin al-Hajjaj dan Sufyan al-Thauri.

Disamping itu terdapat para muhaqqiqin yang melihat penambahan Hushaim yang mengkhususkan hari Jumaat itu sebagai riwayat yang diterima (ziyadah al-thiqah) kerana Hushaim seorang perawi yang hafidz dan adanya petunjuk (qarinah) yang menunjukkan berlakunya berlainan majlis periwayatan antara Hushaim, Syu’bah dan Thauri. Maka pengkhususan hari Jumaat yang disangka wahm (kekeliruan) daripada Hushaim sebenarnya mempunyai asal daripada riwayat Abu Hashim al-Rummani.

Oleh itu, majoriti para ulama hadis dan fiqh seperti Imam al-Syafie, Imam Ahmad, al-Nawawi, Ibn Taimiyyah dan selain mereka berpendapat bahawa bacaan surah al-Kahf pada hari Jumaat adalah digalakkan dengan alasan riwayat-riwayat lain yang menyokong pengkhususan bacaan surah al-Kahf pada hari Jumaat. Maka sesiapa yang beramal membaca surah al-Kahf pada hari Jumaat merupakan satu amalan yang digalakkan di sisi majoriti para ulama.

Maka, perkara ini terdapat khilaf dalam kalangan ulama. Kedua-dua pihak telah mengemukakan alasan dan penghujahan yang muktabar. Sesiapa yang mengamalkannya atas keyakinan kepada pendapat yang menggalakkan pengkhususan bacaan surah al-Kahf pada hari Jumaat, mudah-mudahan dia memperolehi pahala. Sesiapa yang menganggap tiada pengkhususan hari, maka tidak perlu mengkhususkannya.