FAQHubungiMaklumbalasPeta Laman
Pilihan Bahasa
msen
Saiz Teks

HUKUM UJIAN SWAB UNTUK SARINGAN COVID-19 TERHADAP ORANG BERPUASA

 

Berdasarkan Garis Panduan Pengurusan COVID-19 yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kaedah saringan dalam menentukan individu positif COVID-19 ialah melalui Nasopharyngeal swab dan Oropharyngeal swab. Kaedah Nasopharyngeal swab ialah alat swab akan dimasukkan ke dalam rongga hidung individu sehingga ke kawasan nasopharynx dengan kedalaman lebih kurang 4.8 cm bagi kanak-kanak dan 8-12 cm bagi orang dewasa untuk mengambil sampel mukus. Manakala kaedah Oropharyngeal swab pula ialah alat swab dimasukkan ke dalam mulut hingga ke kawasan oropharynx iaitu di belakang anak tekak bagi mengambil sampel mukus.

Setelah melihat kepada dalil-dalil yang dikemukakan secara perbandingan, maka Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis mentarjihkan pendapat (memilih pendapat yang lebih kuat) yang menyatakan bahawa ujian saringan COVID-19 melalui swab seperti yang dimaksudkan adalah tidak membatalkan puasa.

Antara hujah dan alasan dalam masalah ini ialah :

  1. Ujian swab tidak membawa gambaran dan makna makan atau minum yang menjadi sebab membatalkan puasa dengan ijmak ulama. Maka sesuatu puasa yang sah secara yakin tidak boleh dianggap batal dengan sesuatu yang syak atau sekadar sesuatu andaian.
  1. Menjadikan alasan memasukkan sesuatu ke dalam al-Jauf (rongga dalam) sebagai sebab pembatalan puasa menimbulkan perbezaan pendapat yang luas di kalangan ulama mazhab. Pandangan yang ditarjihkan iaitu ujian swab tidak membatalkan puasa bertepatan dengan pandangan sebahagian ulama Hanafi yang mensyaratkan sesuatu yang masuk ke dalam al-Jauf mestilah sesuatu yang kekal di dalamnya dan tidak bersambung dengan sesuatu lain di luar badan.
  2. Sebagai tambahan sokongan, al-Majma’ al-Fiqhi al-Islami di dalam majalah al-Majma’, 10 / 453-455 telah menyenaraikan beberapa isu perubatan yang tidak membatalkan puasa termasuklah “memasukkan gastroscope (teropong perut) ke dalam perut tanpa sebarang bendalir atau seumpamanya”.

Jika demikian, maka lebih sepatutnya ujian swab yang hanya membabitkan proses memasukkan alat swab ke dalam rongga hidung atau mulut untuk mendapatkan sampel yang diperlukan kemudian dikeluarkan semula juga tidak membatalkan puasa.