FAQHubungiMaklumbalasPeta Laman
Pilihan Bahasa
msen
Saiz Teks

 

GARIS PANDUAN TATACARA PENGURUSAN JENAZAH ORANG ISLAM COVID-19 NEGERI PERLIS

 

1.0 TUJUAN

Garis panduan ini disediakan sebagai panduan rujukan oleh pihak yang terlibat mengendalikan pengurusan jenazah akibat COVID-19 di negeri Perlis selaras dengan pandangan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis dan polisi yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Ia juga bertujuan untuk memberi kefahaman kepada umat Islam khususnya di negeri Perlis tentang tatacara pengurusan jenazah yang berada dalam keadaan luar daripada kebiasaan agar ia memenuhi tuntutan syarak.

2.0       PANDUAN HUKUM

Panduan bagi pengurusan jenazah pesakit COVID-19 seperti berikut:

  1. Tajhiz janaiz (pengurusan jenazah) bagi memandikan dan mengkafankan hendaklah diuruskan di hospital atau di mana-mana premis yang dibenarkan oleh pihak berkuasa dengan nasihat dan panduan keselamatan daripada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia;
  1. Pengurusan hendaklah dilaksanakan dengan pengecualian dan kelonggaran (rukhsah) kerana terdapat keadaan yang boleh menimbulkan kemudharatan kepada nyawa manusia yang menguruskannya. Dalam hal ini, pada asalnya dibolehkan jenazah diuruskan melalui proses yang paling ringan risiko dan kesan bahayanya iaitu dengan melaksanakan tayammum secara langsung pada bahagian muka dan pergelangan tangan jenazah bagi menggantikan air (mandi jenazah).
  1. Jika ia memudaratkan dan tidak mungkin tayammum boleh dilakukan ke atas jenazah secara langsung, maka proses tayammum tidak wajib dilakukan ke atas jenazah tersebut termasuklah pada plastik atau body beg yang membaluti jenazah. Ini adalah kerana ia termasuk dalam bab Faqid al-Tahurain (فاقِد الطَّهُورَيْن) atau ‘Adim al-Tahurain (عادِم الطَّهُورَين) iaitu orang yang tidak mempunyai atau tidak mampu untuk melakukan kedua cara bersuci (air dan debu tanah). Walaubagaimanapun terdapat pandangan yang membolehkan tayammum di atas balutan dan itu satu pilihan jika ingin dilakukan.
  1. Pada 10 April 2020, Ketua Pengarah Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia menyatakan bahawa penemuan bedah siasat terhadap mayat pesakit COVID-19 mendapati terdapat virus pada permukaan badan mayat melalui analisa Real-time Polymerase Chain Reaction (rt-PCR) yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).
  1. Jika orang yang masih hidup diberikan rukhsah atau keringanan oleh agama untuk beribadah tanpa wuduk dan tayammum kerana hilang upaya untuk menggunakan dua alat penyucian itu (air & debu tanah), maka lebih-lebih lagi dituntut terhadap orang yang telah meninggal dunia disebabkan terdapat halangan kemudaratan yang telah dipastikan kebenarannya oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia.
3.0 PROSEDUR PENGURUSAN JENAZAH
 
3.1 Proses tayammum adalah seperti berikut :
 
A. Tayammum Secara Langsung Pada Jenazah

(Wajib Dilakukan Jika Tidak Memudaratkan - Rujuk Kepada Pihak Pengurusan Hospital)

1Petugas hendaklah lengkap berpakaian keselamatan seperti prosidur yang ditetapkan oleh KKM.

2) Meletakkan dan meratakan debu tayammum di atas permukaan atau seumpamanya. (apa-apa sahaja debu tanah yang bersih sah untuk tayammum)

3) Petugas memastikan kedua-dua belah tapak tangan yang bersarung dalam keadaan kering dan bersih.

4) Lekapkan kedua-dua tapak tangan ke atas permukaan debu.

5) Tipiskan debu tayammum yang terdapat pada tapak tangan.

6) Sapukan kedua-dua tapak tangan ke bahagian muka jenazah dengan meratakannya secara satu kali sapuan sahaja.

7) Sapukan tapak tangan ke kedua-dua tangan jenazah bermula dari hujung jari hingga ke pergelangan tangan dengan meratakannya secara satu kali sapuan sahaja.

8) Boleh menggunakan satu kali lekapan atau dua kali lekapan pada permukaan debu tayammum untuk kedua-dua anggota tayammum.

9) Semua peralatan tayammum yang telah dugunakan hendaklah dimusnahkan mengikut prosedur keselamatan KKM.

B. Tidak Dilakukan Tayammum pada Jenazah Dan Di Atas Body Beg / Plastik Yang Membaluti Jenazah

  • Jika tidak dapat melakukan cara A, maka boleh ditiadakan tayammum.
  • Tiada proses tayammum seperti cara A dilakukan ke atas jenazah Covid-19 termasuk di atas body beg / plastik yang membaluti jenazah. 

C.Tayammum Di Atas Body Beg / Plastik Yang Membaluti Jenazah

  • Jika tidak dapat melakukan cara A, ada pandangan membolehkan cara C ini dan ia hanya satu pilihan jika ingin melakukannya.
  • Proses tayammum sama seperti cara A dilakukan setelah proses membalut jenazah seperti perkara 3.2

3.2 Membalut jenazah oleh petugas hospital seperti yang ditetapkan oleh KKM.

Proses kafan adalah memadai dengan balutan kain dan plastik yang telah dilaksanakan oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia pada jenazah berkenaan.

3.3      Solat Jenazah hendaklah ditunaikan oleh petugas hospital yang terlibat sahaja sebagai memenuhi tuntutan fardhu kifayah.

Solat jenazah ditunaikan di ruang yang telah ditetapkan oleh pihak hospital sahaja dengan mengambil kira ketetapan berikut :

  • Solat jenazah boleh ditunaikan dengan seorang imam bersama petugas pengurusan jenazah. 
  • Petugas solat jenazah wajib lengkap berpakaian keselamatan seperti prosidur yang ditetapkan oleh KKM.
  • Jika ruang yang ditetapkan untuk solat jenazah adalah di luar dari bilik yang diletakkan jenazah, maka dibolehkan menunaikan solat ke atas jenazah di ruang tersebut dengan menghadap ke arah kiblat. 
  • Jika solat jenazah tidak dapat dilakukan di hospital, maka boleh ditunaikan di mana-mana termasuk tanah perkuburan sebelum proses pengebumian oleh petugas yang terlibat.
  • Jika keadaan mendesak yang menuntut jenazah dikebumikan segera hingga tiada ruang untuk ditunaikan solat jenazah sebelum dikebumikan, maka hendaklah ditunaikan selepas pengebumian.

5.0         PENGEBUMIAN JENAZAH

5.1    Proses pengebumian jenazah diuruskan oleh petugas hospital / petugas khas yang ditetapkan dan telah terlatih dengan mengikut prosidur seperti yang ditetapkan oleh KKM.

5.2    Mereka yang terlibat hendaklah BUKAN dari kalangan kontak rapat jenazah, orang yang disyaki dan orang yang bergejala dengan kes COVID-19.

5.3    Posisi jenazah dalam keadaan mengiring dilambung kanannya dan menghadap ke arah kiblat.

5.4    Tidak perlu membuka apa-apa yang membaluti jenazah.

5.5    Petugas bertanggungjawab menyelia proses pengebumian jenazah hingga selesai mengikut syarak.

5.6    Mendoakan keampunan terhadap jenazah.

6.0         MEMBERSIH DIRI

              Semua petugas yang terlibat diwajibkan membersih diri sebagaimana prosidur yang ditetapkan oleh KKM.

Disediakan oleh,

Jabatan Mufti Negeri Perlis

13 April 2020