FAQHubungiMaklumbalasPeta Laman
Pilihan Bahasa
msen
Saiz Teks

MESYUARAT
JAWATANKUASA FATWA NEGERI PERLIS KALI KE-39 / 2019
1 Mac 2019 / 24 Jamadil Akhir 1440H
 
FATWA STATUS PENGURUSAN LESEN EKSAIS (MINUMAN KERAS) DI NEGERI PERLIS
 
Berdasarkan hukum syarak, minuman keras (arak) merupakan minuman yang diharamkan ke atas setiap orang Islam. Pemerintah hendaklah memainkan peranan menghalang sebarang aktiviti berkaitan minuman keras dalam kalangan masyarakat orang Islam. 
 
Bagi orang bukan Islam, mereka tidak boleh dilarang daripada meminum minuman keras atas alasan syarak. Walau bagaimanapun pemerintah boleh melarang minuman keras kepada bukan Islam atas alasan pentadbiran atau mengenakan peraturan-peraturan khusus minuman keras ke atas mereka. 
 
Jika sekiranya pemerintah dalam sesebuah negeri mengizinkan bukan Islam meminum minuman keras mengikut peraturan-peraturan tertentu, ia tetap tidak menjadi halangan dan kesalahan kepada pemerintah untuk mengenakan cukai ke atas minuman tersebut seperti yang dilakukan pada barangan yang lain. Ini kerana pengambilan cukai berkaitan dengan kos pentadbiran adalah menjadi hak pemerintah untuk mengutipnya. 
Cukai yang dikutip itu bukan bertujuan membantu menggalakkan aktiviti minuman keras, sebaliknya sebagai satu usaha untuk mengekang aktiviti tersebut daripada berlaku secara mudah. 
 
Cukai berkenaan boleh dinaikkan ke satu tahap yang boleh membebankan peminumnya, jika difikirkan perlu oleh pihak yang berkuasa. Cukai tersebut juga boleh digunakan untuk pengurusan pentadbiran sepertimana cukai-cukai yang lain tanpa perlu diasingkan daripada cukai-cukai tersebut.  
 
Diperakukan dalam Mesyuarat Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis. Bil 3/2019 pada 22 April 2019.