FAQHubungiMaklumbalasPeta Laman
Pilihan Bahasa
msen
Saiz Teks

 

KEPUTUSAN MESYUARAT

JAWATANKUASA FATWA NEGERI PERLIS KALI KE - 45 / 2020

25-26 Februari 2020 / 01-02 Rejab 1441

Hotel Seri Malaysia, Kangar

Bil 1/45 Tahun 2020

 

FATWA AJARAN BATINIAH

Ajaran Batiniah yang menganggap kesemuanya selain Allah tidak wujud, yang wujud hanyalah Allah. Begitu juga ajaran Allah itu menjelma di dalam makhluk atau makhluk itu jelmaan Allah, atau Allah telah bersatu dengan makhluk, memisahkan hakikat daripada syariat sehingga membolehkan seseorang terlepas daripada syariat Islam dan menafsirkan al-Quran tanpa panduan disiplin ilmu tafsir yang muktabar sehingga menyelewengkan maksud nas daripada konteks yang sebenar, kesemuanya itu merupakan kesesatan yang nyata. Ajaran seperti ini bertujuan menghancurkan syariat yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW. Daripada ajaran inilah lahirnya kepercayaan seperti :

  1. Allah itu zat dan manusia itu sifat, Allah menjelma pada wajah manusia, binatang, pokok, wajah guru dan seumpamanya.
  2. Sesiapa yang sampai pada maqam tertentu atau belum sampai pemahaman tertentu tidak perlu mengikut syariat Islam seperti tidak perlu menunaikan solat kerana mencapai maqam atau kerana belum mencapai khusyuk.
  3. Dajal itu tiada, ia hanya bermaksud nafsu jahat manusia semata-mata, maksud sebenar syurga adalah hati yang mengingati tuhan, bidadari dan sungai madu di dalam syurga adalah tidak wujud.
  4. Allah menciptakan manusia bukan untuk menyembah-Nya tetapi kerana Allah rindukan mereka.
  5. Abu Jahal adalah kekasih Allah.

Maka individu-individu yang terlibat dengan ajaran Batiniah seperti En. Wan Hizam bin Abdullah, En. Ismail Ariffin (Lepat) dan seumpama mereka merupakan pembawa ajaran sesat yang mesti dijauhi dan disekat.

Jika ajaran Batiniah itu diterima, maka tidak ada lagi perbezaan antara tauhid dan syirik, syariat akan terbatal, al-Quran akan ditafsirkan mengikut kehendak sendiri tanpa panduan ilmu dan segala ajaran Islam akan dipersendakan atas andaian kerohanian.       

 

- TAMAT -

 

Diperakukan dalam Mesyuarat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis Bil 2/2020 pada 30 Jun 2020.