FAQHubungiMaklumbalasPeta Laman
Pilihan Bahasa
msen
Saiz Teks

MESYUARAT
JAWATANKUASA FATWA NEGERI PERLIS KALI KE - 41 / 2019
7 Mei 2019 / 2 Ramadan 1440H
FATWA HUKUM BERKAITAN MAJLIS KHATAM AL-QURAN SECARA BERJAMAAH
_______________________________________________________________

Definisi khatam al-Quran ialah membaca al-Quran dari surah al-Fatihah sehingga al-Nas sama ada dengan diadakan majlis atau tidak.

Berhimpun untuk membaca dan mempelajari al-Quran mempunyai sandaran dari hadis Nabi SAW dan merupakan sesuatu yang digalakkan. Adapun berhimpun untuk majlis khatam al-Quran tidak terdapat riwayat yang sahih baginda Nabi SAW melakukannya atau menyuruh kita melakukannya. Namun, terdapat dalam kalangan salaf yang mengamalkannya.

Asal khatam al-Quran tidak memerlukan majlis kerana apabila seseorang membaca al-Quran dari awal sehingga akhir bermakna dia telah mengkhatamkan al-Quran. Namun, jika ingin diwujudkan sesuatu majlis bagi tujuan tertentu maka pihak yang ingin mengadakan majlis khatam al-Quran hendaklah memenuhi perkara-perkara berikut :

  1. Tidak menganggap khatam al-Quran memerlukan majlis khatam al-Quran. Jika sesiapa membaca al-Quran keseluruhan tanpa mengadakan majlis khatam al-Quran tidak mencacatkan pahala pembacaannya.

  2. Tiada penetapan waktu, tatacara, wirid dan doa khusus. Apa sahaja doa yang bersesuaian boleh dibaca dengan memenuhi adab-adab doa.

  3. Majlis khatam al-Quran tidak semestinya dengan penyediaan makanan dan perhiasan tertentu. Demikian juga tiada fadhilat khusus menyediakan makanan tertentu seperti menyediakan pulut kuning. Namun jika disediakan tanpa sebarang kepercayaan tertentu sekadar makanan biasa adalah dibolehkan.

  4. Majlis khatam al-Quran itu tidak menyebabkan timbulnya riya’ dan menunjuk-nunjuk amalan soleh kepada orang ramai bahawa seseorang telah khatam al-Quran sebaliknya sekadar satu galakan.

  5. Perhimpunan tersebut hanyalah bertujuan menggalakkan bacaan al-Quran dan mempelajari bacaan yang betul.

  6. Menghadiri majlis khatam al-Quran tidak menjadikan seseorang telah mendapat pahala membaca keseluruhan al-Quran jika dia sendiri tidak membaca keseluruhan al-Quran.

  7. Memastikan setiap orang yang membaca menepati hukum-hakam tajwid terutamanya yang berkaitan dengan hukum waqaf dan ibtida’. Jika bacaan beramai-ramai dengan serentak boleh menyebabkan berlaku kesalahan pada hukum-hakam tajwid, maka hendaklah dielakkan. Cara yang terbaik ialah ada pihak yang membaca manakala yang lain mendengar dan menyemaknya secara bergilir.

  8. Majlis tersebut tidak mengganggu orang lain dengan bacaan khususnya di dalam masjid atau di tempat-tempat yang dikhususkan untuk perkara lain seperti waktu pembelajaran sedang berjalan di sekolah.