FAQHubungiMaklumbalasPeta Laman
Pilihan Bahasa
msen
Saiz Teks

KEPUTUSAN MESYUARAT JAWATANKUASA FATWA NEGERI PERLIS KALI KE-39 / 2019
1 Mac 2019 / 24 Jumadil Akhir 1440H
FATWA HUKUM KAHWIN LARI ATAU LUAR NEGARA

Perkahwinan yang berlaku ke atas satu-satu pasangan di luar negara melibatkan beberapa kategori iaitu:

  1. Pasangan yang berada di negara luar dan menghadapi kesukaran yang besar untuk mendapatkan keizinan wali yang asal sehingga terpaksa menggunakan wali hakim. Perkahwinan sebegini adalah sah.

  2. Pasangan yang sengaja keluar dari negara yang sepatutnya mereka berkahwin.


Untuk kategori yang kedua ini, ia melibatkan dua sebab:

  1. Mengelakkan diri daripada birokrasi pihak pentadbiran perkahwinan setempat

  2. Melarikan diri daripada wali.

Berhubung dengan sebab pertama, jika satu-satu pasangan keluar negara bersama wali atau setelah mendapat keizinan wali, perkahwinan itu sah tanpa ragu. Jika bakal isteri seorang janda, memadai dengan mendapatkan persetujuan wali. Jika saudara baru, boleh menggunakan wali hakim. 

Berhubung dengan sebab kedua, jika sekiranya wanita itu seorang anak dara dan walinya pula enggan mewalikan perkahwinannya (adhl) tanpa sebarang sebab yang munasabah, perkahwinan ini juga adalah sah dengan syarat dia dapat membuktikan keengganan wali tersebut untuk mewalikan perkahwinannya. Jika tidak, perkahwinannya dikira sebagai fasid dan hendaklah mengulangi semula akad perkahwinan itu dengan keizinan wali. Sekiranya mempunyai zuriat dalam tempoh tersebut, nasabnya dikira sabit. Jika wali membantah perkahwinan kerana pasangan secara jelas tidak sekufu dan dipersetujui oleh pihak berkuasa agama, maka perkahwinan itu terbubar. 

Berhubung dengan perkahwinan-perkahwinan yang berlaku sebelum itu yang telah diyakini oleh satu-satu pasangan sebagai sah, Allah memaafkan apa yang telah lepas itu. Akad nikah tidak perlu diulangi manakala nasab anak-anak mereka dikira sabit.

Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis menasihatkan pihak berkuasa agama negeri supaya memudahkan urusan perkahwinan dengan mengelakkan karenah birokrasi yang membebankan.

 

Diluluskan dalam Mesyuarat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis Bil.3/2019 pada 22 April 2019