FAQHubungiMaklumbalasPeta Laman
Pilihan Bahasa
msen
Saiz Teks

KEPUTUSAN MESYUARAT JAWATANKUASA FATWA NEGERI PERLIS KALI KE-37 / 2018
TARIKH : 11 SEPTEMBER 2018
TEMPAT : DORSETT HOTEL, PUTRAJAYA
FATWA IMAM ATAU MAKMUM MELIHAT MUSHAF AL-QURAN DALAM SOLAT

          Imam sebaik-baiknya membaca dari hafalannya. Namun jika imam tidak memiliki kemampuan hafalan dan bacaan yang baik, maka bolehlah bagi imam membaca al-Quran dengan melihat mushaf berdasarkan athar dari Umm al-Mukminin ‘Aisyah RA yang berimamkan Maulanya Zakwan seperti yang terdapat di dalam Sahih al-Bukhari. Hal ini hanya dilakukan di dalam solat sunat yang digalakkan berdiri lama. Adapun solat fardu imam membaca ayat al-Quran yang dihafalnya dan tidak memberat-beratkan makmum. Ia berdasarkan hadis Nabi SAW yang bersabda kepada orang yang solat dengan cara yang salah:

ثُمَّ اقْرَأْ مَا تَيَسَّرَ مَعَكَ مِنَ القُرْآنِ

Maksudnya: “…Kemudian bacalah apa-apa yang mudah dari ayat al-Quran…” (Riwayat Muslim 724)


          Dalam masa yang sama dilarang bagi makmum mengubah keadaan solat yang asal sama ada dalam bentuk memegang mushaf ataupun apa-apa alatan untuk melihat bacaan ayat al-Quran yang dibaca oleh Imam. Perbuatan tersebut menyalahi sunnah yang sekurang-kurang hukumnya makruh. Jika dijadikan kebiasaan solat dengan cara yang demikian boleh membawa kepada bidaah. Ini kerana kita diperintahkan untuk mengikuti keadaan ataupun sifat asal solat sama ada perkataan atau perbuatan yang telah ditunjukkan oleh Nabi SAW.

          Di samping itu arahan asal ialah makmum mendengar bacaan al-Quran secara khusyuk dan dibimbangi makmum yang melihat mushaf boleh menghilangkan khusyuk. Ini seperti firman Allah SWT:

وَإِذَا قُرِئَ ٱلۡقُرۡءَانُ فَٱسۡتَمِعُواْ لَهُۥ وَأَنصِتُواْ لَعَلَّكُمۡ تُرۡحَمُونَ ٢٠٤

Maksudnya: “Dan apabila dibacakan Al Quran, maka dengarkanlah baik-baik, dan diamlah agar kamu mendapat rahmat.”  (al-A’raf: 204)