FAQHubungiMaklumbalasPeta Laman
Pilihan Bahasa
msen
Saiz Teks

KEPUTUSAN MESYUARAT
JAWATANKUASA FATWA NEGERI PERLIS KALI KE - 43 / 2019
17-18 September 2019 / 17-18 Muharram 1441
Taman Aulia, Kg. Pulau Gajah, Pengkalan Chepa
______________________________________________________________________
Fatwa Bacaan Al-Quran Di Tanah Perkuburan
______________________________________________________________________

          Tiada riwayat yang sahih daripada Nabi SAW melakukan atau menggalakkan upacara membaca al-Quran di kubur selepas pengebumian. Sebaliknya yang ada hanyalah amalan Ibn ‘Umar RA yang membaca al-Quran semasa proses pengebumian. Namun demikian riwayat ini dipertikaikan kesahihannya oleh sebahagian ulama hadis. Dalam kalangan para ulama seperti al-Imam al-Syafi’ie, Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah dan selain mereka membolehkan membaca ayat-ayat al-Quran semasa pengebumian. Sementara para ulama yang lain seperti al-Imam Abu Hanifah, al-Imam Malik, satu riwayat daripada al-Imam Ahmad tidak mengharuskan bacaan al-Quran di perkuburan, bahkan dalam satu riwayat al-Imam Ahmad menganggapnya sebagai bidaah.


          Adapun membaca doa untuk si mati di kubur adalah sunnah Nabi SAW. Seseorang boleh membaca doa yang dipetik dari al-Quran ataupun hadis ataupun dari dirinya sendiri bagi mendoakan keampunan dan kebaikan untuk si mati. Hal ini boleh dilakukan sama ada bersendirian atau mengaminkan doa orang lain.


          Maka dengan ini tiada sebarang dalil yang menyokong upacara membaca atau mengkhatamkan al-Quran selepas tamat proses pengebumian di kubur. Adapun semasa pengebumian jenazah, telah berlaku khilaf pendapat dalam kalangan ulama. Namun bagi orang yang hendak membaca al-Quran semasa pengebumian tidak boleh mengadakan kaifiat dan cara yang khusus kerana itu termasuk di dalam mengada-adakan perkara yang tidak mempunyai nas. Sebaliknya dia boleh membaca apa-apa ayat al-Quran yang hendak dibacanya secara bersendirian.

Diperakukan dalam Mesyuarat
Majlis Agama Islam dan Adat
Istiadat Melayu Perlis Bil 6/2019
pada 22 Oktober 2019