FAQHubungiMaklumbalasPeta Laman
Pilihan Bahasa
msen
Saiz Teks

KEPUTUSAN
MESYUARAT JAWATANKUASA FATWA NEGERI PERLIS KALI KE-36 / 2018

TARIKH : 23-24 JULAI 2018
TEMPAT : HOTEL SERI MALAYSIA, KANGAR
---------------------------------------------------------------------------------------------------
FATWA NEGERI PERLIS TENTANG ISU-ISU HUKUM YANG MENJADI KHILAF DI KALANGAN MASYARAKAT NEGERI PERLIS

AJK Fatwa Perlis menyedari bahawa dalam sebahagian amalan umat Islam, terdapat persoalan-persoalan Ijtihadiyyah yang menimbulkan perbezaan pendapat dalam kalangan ulama. Manakala terdapat juga sebahagian amalan yang berlaku salah-faham. Di bawah ini adalah pandangan AJK Fatwa Perlis sebagai panduan dalam beramal:

1. BILANGAN RAKAAT SOLAT TARAWIH :

Tiada penetapan tertentu berkaitan bilangan rakaat solat Tarawih dari Nabi SAW. Ia termasuk dalam perkara yang diberi keluasan. Apa yang lebih penting dalam melaksanakan solat Tarawih ialah menjaga adab dan berusaha memperolehi khusu’. Ia boleh dilakukan sebanyak 20 rakaat seperti mazhab Hanafi, al-Syafi’ie dan Ahmad atau boleh juga sebanyak 36 rakaat seperti mazhab Malik atau 11 rakaat juga tidak mengapa. Namun hadis yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah RA menunjukkan pada kebiasaannya Nabi SAW menunaikan solat malam sebanyak 11 rakaat. Ketika ditanya oleh Abu Salamah bin Abdul Rahman tentang solat Malam baginda pada bulan Ramadan, A’isyah RA menjawab:


مَا كَانَ يَزِيدُ فِي رَمَضَانَ وَلاَ فِي غَيْرِهِ عَلَى إِحْدَى عَشْرَةَ رَكْعَةً

Terjemahannya: “Tidaklah pernah baginda melakukan lebih dari 11 rakaat sama ada di dalam bulan Ramadan atau selainnya.”
(al-Bukhari 1909 dan Muslim 738)


Hadis ini tidak menunjukkan solat malam hanya sekadar 11 rakaat sahaja, kerana terdapat riwayat lain yang menunjukkan baginda pernah menunaikan solat malam bersama ‘Abdullah bin ‘Abbas sebanyak 13 rakaat seperti yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari dan Muslim di dalam Sahih mereka berdua. Demikian juga berdasarkan hadis:

أَنَّ رَجُلًا سَأَلَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ صَلَاةِ اللَّيْلِ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ عَلَيْهِ السَّلَام صَلَاةُ اللَّيْلِ مَثْنَى مَثْنَى فَإِذَا خَشِيَ أَحَدُكُمْ الصُّبْحَ صَلَّى رَكْعَةً وَاحِدَةً تُوتِرُ لَهُ مَا قَدْ صَلَّى


Terjemahannya: “Bahawa seorang lelaki pernah bertanya kepada Rasulullah SAW tentang solat malam. Rasulullah SAW menjawab: “Solat malam itu dua rakaat-dua rakaat. Jika seseorang daripada kamu bimbang masuknya waktu Subuh, dia solatlah satu rakaat, sebagai witir untuk solat yang telah dia tunaikan.”
(al-Bukhari 946 dan Muslim 749)


Nabi SAW tidak menjelaskan jumlah rakaat tertentu solat malam ketika baginda ditanya tentangnya. Ini merupakan bukti jelas menunjukkan ada keluasan berkaitan jumlah rakaat solat malam.

Maka dengan itu, Imam dinasihatkan menunaikan solat Tarawih menurut kesesuaian makmum. Digalakkan juga bagi makmum mengikut imam sehingga selesai solat bagi memperolehi kelebihan yang disebut di dalam hadis:


مَنْ قَامَ مَعَ الإِمَامِ حَتَّى يَنْصَرِفَ كُتِبَ لَهُ قِيَامُ لَيْلَةٍ

Terjemahannya: “Siapa yang menunaikan solat bersama imam sehingga selesai, dicatit untuknya pahala seperti menghidupkan sepanjang malam dengan beribadah.” (Riwayat al-Tirmizi 806 dan beliau menilainya sebagai Hadis Sahih. Abu Daud (1375), al-Nasa’ie (1605) dan Ibn Majah (1327). Hadis ini juga dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih al-Tirmizi)

2. SOLAT WITIR

Solat Witir sama ada dilakukan secara tiga rakaat satu salam dengan satu Tasyahhud (Tahiyyat), atau tiga rakaat dua salam adalah sabit dari hadis-hadis yang Sahih dari Nabi SAW.
Solat Witir tidak boleh dilakukan dua kali dalam satu malam berdasarkan larangan dari Nabi SAW. Bagi sesiapa yang yakin dapat bangun qiyamullail, lebih utama baginya melewatkan solat Witir agar dapat dilakukan di penghujung solat malamnya. Manakala bagi sesiapa yang tidak pasti akan bangun qiyamullail ataupun tidak, boleh baginya untuk menunaikan solat Witir sebelum tidur. Jika dia bangun di penghujung malam dia boleh menunaikan solat sunat namun tidak perlu lagi untuk mengulangi solat Witir.

 

3. BACAAN KHUSUS ANTARA SOLAT TARAWIH

Tiada bacaan khusus antara sela solat Tarawih kerana ketiadaan contoh daripada Nabi SAW dan para sahabat. Umat Islam boleh melakukan apa-apa amalan soleh yang dikehendakinya menurut kesesuaian antara sela solat Tarawih seperti beristighfar, berdoa, membaca al-Quran dan seumpamanya tanpa dilakukan secara berjemaah kerana Nabi SAW hanya melakukan jemaah ketika solat dan tidak amalan antara sela solat Tarawih.

 

4. SERUAN UNTUK SELAIN SOLAT FARDU
Seruan الصَّلَاةَ جَامِعَةً tidak termasuk dalam tatacara Solat Tarawih, solat Witir mahupun solat Hari Raya. Seruan الصَّلَاةَ جَامِعَةً yang sabit di dalam hadis dilakukan untuk solat gerhana yang memerlukan seruan bertujuan menghimpunkan orang ramai. Ini kerana solat gerhana di zaman baginda SAW diketahui sebaik sahaja apabila ia berlaku. Justeru ia memerlukan seruan bagi tujuan menghimpunkan orang ramai. Hadis panjang dari Fatimah binti Qais tentang kisah al-Jassasah yang diceritakan oleh Tamim al-Dari, demikian juga hadis ‘Abdullah bin ‘Amr bin al-‘Ash, kedua-duanya terdapat di dalam Sahih Muslim menunjukkan seruan الصَّلَاةَ جَامِعَةً dilaungkan adalah bertujuan memanggil orang ramai untuk berhimpun. Oleh itu seruan الصَّلَاةَ جَامِعَةً hanya dilaungkan jika ada tujuan yang sama. Manakala jika para Jemaah telah sedia berhimpun seperti keadaan solat Tarawih, solat Witir, solat Hari Raya dan seumpamanya, maka tiada keperluan lagi untuk dilaungkan seruan الصَّلَاةَ جَامِعَةً. Imam hanya perlu berdiri dan bertakbir untuk solat. Imam boleh memaklumkan kepada makmum jenis solat yang hendak ditunaikan.

 

5. BACAAN BASMALAH DALAM SOLAT
Bacaan Basmalah sama ada secara Sirr atau Jahar termasuk dalam persoalan khilaf yang muktabar. Namun fatwa Perlis mentarjihkan bacaan Basmalah secara Sirr kerana dilihat kepada hujah-hujahnya yang lebih kukuh.

 

6. BACAAN SELEPAS SOLAT WITIR
Bacaanسُبْحَانَ الْمَلِكِ الْقُدُّوْس sebanyak tiga kali selepas solat Witir adalah termasuk sunnah Nabi SAW. Adapun tambahan رَبِّ الْمَلَائِكَةِ وَالرُّوْح adalah dinilai sebagai tambahan syaz yang merupakan tambahan daif.

 

7. BILANGAN KHUTBAH HARI RAYA
Khutbah Hari Raya boleh dilaksanakan dengan satu khutbah atau boleh juga dilaksanakan dengan dua khutbah seperti khutbah Jumaat, dan duduk seketika sebagai pemisah di antara dua khutbah.

 

8. LAFAZ TAKBIR HARI RAYA
Terdapat perbezaan lafaz takbir yang diriwayatkan dari para sahabat Nabi SAW. Hal ini menunjukkan terdapat keluasan dalam perkara ini. Oleh itu lafaz takbir untuk takbir hari raya boleh dilakukan dua kali (اَللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ) atau tiga kali (اَللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ،). Jika ditambah dengan lafaz لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ، صَدَقَ وَعْدَهُ، وَنَصَرَ عَبْدَهُ dan seterusnya juga adalah suatu penambahan yang diterima.



9. BACAAN DI ANTARA TAKBIR SOLAT HARI RAYA
Tiada penetapan zikir khusus untuk dibaca di antara takbir-takbir solat hari raya. Seseorang boleh bertasbih, bertahmid, bertahlil, bertakbir atau seumpamanya kerana tiada penetapan dari Nabi SAW. Bahkan jika seseorang diam dan tidak membaca apa-apa di antara takbir-takbir tersebut juga tidak mengapa, kerana tiada penetapan khusus zikir-zikir untuk dibaca.

 

10. MEMEGANG TONGKAT KETIKA BERKHUTBAH
Fatwa Perlis mentarjihkan tidak termasuk sunnah untuk khatib memegang tongkat ketika berkhutbah. Melainkan jika ada keperluan seperti khatib yang uzur atau seumpamanya.

 

11. MENADAH TANGAN KETIKA KHUTBAH
Khatib tidak disunatkan menadah tangan ketika berdoa di dalam khutbah Jumaat. Demikian juga para jemaah kerana mengikut khatib. Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada ‘Umarah bin Ruaibah yang pernah melihat Bisyr bin Marwan (berkhutbah) di atas mimbar mengangkat kedua belah tangan (berdoa). Kata ‘Umarah bin Ruaibah:


قَبَّحَ اللَّهُ هَاتَيْنِ الْيَدَيْنِ لَقَدْ رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا يَزِيدُ عَلَى أَنْ يَقُولَ بِيَدِهِ هَكَذَا وَأَشَارَ بِإِصْبَعِهِ الْمُسَبِّحَةِ

Terjemahannya: “Allah memburukkan kedua belah tangannya, sesungguhnya daku melihat Rasulullah SAW tidak pernah lebih dari membuat isyarat dengan jari telunjuk baginda.”
(Riwayat Muslim, bil: 874)


Namun jika khatib berdoa memohon hujan (al-Istisqa’) di dalam khutbah Jumaat, disunatkan untuk khatib menadah tangan sebagai mencontohi perbuatan Nabi SAW dan jemaah juga disunatkan melakukan perkara yang sama.

 

12. SOLAT QIAMULLAIL SECARA BERJAMAAH
Nabi SAW sentiasa menunaikan solat malam bersendirian. Namun terdapat riwayat yang menunjukkan baginda pernah melakukannya di rumah baginda secara berjemaah bersama beberapa sahabat seperti Ibn ‘Abbas, Ibn Mas’ud, demikian juga Huzaifah bin al-Yaman. Oleh itu solat malam boleh dilakukan secara berjemaah dengan dijaga adab-adabnya.

 

13. QUNUT SUBUH
Qunut Subuh antara perkara yang khilaf di kalangan ulama. Fatwa Perlis mentarjihkan solat Subuh dilakukan tanpa qunut Solat Subuh. Pegangan amalan khusus qunut solat Subuh ditarjihkan sebagai qaul yang daif.

 

14. CARA ZIKIR SELEPAS SOLAT
Zikir-zikir selepas solat dilakukan secara bersendirian dalam keadaan khusyu’ dan merendahkan diri kepada Allah SWT. Tidak mengapa jika kadang-kadang imam menguatkan bacaannya bagi tujuan mengajar para jemaah.

 

15. DUDUK TAWARRUK KETIKA TASYAHHUD
Duduk Tawarruk memiliki beberapa cara. Salah satu yang biasa diamalkan ialah duduk di atas punggung kiri dengan menghulurkan kaki kiri ke arah kanan dan di bawah kaki kanan yang ditegakkan telapak kakinya. Ia sabit di dalam sunnah Nabi SAW. Ia dilakukan ketika duduk tasyahhud kedua di dalam solat. Duduk Tawarruk ini dilakukan dengan mengambil kira kemampuan seseorang dan keadaan jemaah.

 

16. BERDOA SELEPAS SOLAT
Sabit di dalam sunnah, Nabi SAW pernah berdoa selepas Solat. Pada kebiasaannya doa selepas solat yang dilakukan oleh baginda adalah tanpa menadah tangan dan baginda tidak pernah melakukannya secara berjemaah selepas solat fardu.

 

17. MENYAPU MUKA SELEPAS SOLAT
Tiada nas yang sahih dalam perbuatan menyapu muka selepas solat. Maka perbuatan tersebut tidak termasuk adab dan sunat solat kerana tiada bukti yang sahih dalam persoalan ini.

 

18. MENGGERAKAN JARI TELUNJUK KETIKA TASYAHHUD
Termasuk di dalam sunnah ketika bertasyahhud di dalam solat adalah membuat isyarat dengan jari telunjuk. Isyarat tersebut boleh dilakukan sama ada tanpa gerakan jari telunjuk atau menggerakkannya.

 

19. TAZKIRAH KEMATIAN
Dibolehkan memberi tazkirah selepas mengebumikan mayat sebagai peringatan kepada orang yang hidup. Tazkirah tersebut hendaklah diberikan dengan menjaga adab tanpa ditinggikan suara luar dari keperluan dan berusaha agar ia dapat melahirkan rasa keinsafan.
Hendaklah dibezakan antara tazkirah di tanah perkuburan dengan khutbah. Tazkirah di tanah perkuburan dilakukan jika ada keperluan dan dilakukan dengan ringkas, juga tidak dijadikan satu kemestian.

 

20. SOLAT GERHANA
Disunatkan solat Gerhana bersama khutbah selepasnya bagi kawasan yang berlaku gerhana. Hal ini diketahui sama ada melalui penglihatan mata atau perkhabaran pihak berautoriti yang meyakinkan. Namun ia hanya disunatkan ke atas penduduk negeri yang berlaku gerhana ke atas mereka sahaja.

 

21. AL-TATHWIB DALAM AZAN SUBUH
Sabit dari beberapa hadis berkaitan al-Tathwib (التثويب) iaitu laungan اَلصَّلَاةُ خَيْرٌ مِنَ النَّوْم di dalam azan Subuh. Fatwa Perlis mentarjihkan ia dilaungkan di dalam azan Subuh (azan kedua) iaitu azan yang dilaungkan setelah terbitnya fajar Sadiq.

 

22. BACAAN SURAH AL-SAJDAH DAN AL-INSAN DALAM SOLAT SUBUH
Para Imam masjid yang memiliki kemampuan, dianjurkan membaca keseluruhan surah al-Sajdah dalam rakaat pertama dan keseluruhan surah al-Insan dalam rakaat kedua untuk setiap solat Subuh hari Jumaat mencontohi sunnah Nabi SAW. Walau bagaimanapun hendaklah dielak dari mewujudkan anggapan wajib membaca kedua-dua surah tersebut pada setiap Subuh hari Jumaat. Hal ini perlu mengambil kira kesesuaian waktu dan tempat bagi mengelakkan kesusahan kepada jemaah.

 

23. JUMLAH TAKBIR SOLAT HARI RAYA
Boleh melakukan takbir untuk solat Hari Raya sebanyak tujuh kali dalam rakaat pertama termasuk Takbiratul Ihram dan lima kali dalam rakaat kedua tidak termasuk Takbir perpindahan (Intiqalat) seperti pandangan Ibn 'Abbas dan 'Umar bin 'Abdul 'Aziz seperti yang dinyatakan oleh Ibn Abi Syaibah di dalam al-Musannaf. Pandangan ini juga bertepatan dengan mazhab Malik dan Ahmad.
Boleh juga dilakukan dalam rakaat pertama sebanyak tujuh kali selepas Takbiratul Ihram dan lima kali selepas takbir perpindahan seperti pandangan mazhab al-Syafi'e. Kedua-dua amalan itu merupakan khilaf muktabar.

 

24. MENGKHUSUSKAN BACAAN YASIN PADA MALAM JUMAAT
Mengkhususkan bacaan surah Yasin pada malam Jumaat tidak ada sandaran hadis sahih dari Nabi SAW. Sementara riwayat galakan membaca surah Yasin pada hari Jumaat adalah tidak sahih. Bahkan ada riwayat yang sabit dari Baginda berkaitan membaca surah al-Kahf pada hari Jumaat. Oleh itu umat Islam dianjurkan membaca surah al-Kahf pada hari Jumaat bermula pada malamnya. Demikian juga tidak ada pengkhususan bacaan surah Yasin pada waktu tertentu, namun surah Yasin boleh dibaca pada bila-bila masa sahaja tanpa penentuan waktu yang khusus.

 

25. MENGKHUSUSKAN ZIARAH KUBUR PADA HARI RAYA
Umat Islam disunatkan menziarahi kubur pada bila-bila masa tanpa mengkhususkan waktu dan hari tertentu sama ada hari raya atau selainnya. Perbuatan sesetengah pihak mengkhususkan ziarah kubur pada pagi hari raya telah disalah anggap seakan ia amalan agama yang dituntut. Selain itu, perbuatan itu juga menyalahi tujuan asal berhari raya di dalam Islam iaitu sebagai hari bergembira. Tiada sebarang fadilat khusus menziarahi kubur pada pagi hari raya. Oleh itu, mengkhususkan hari raya sebagai hari menziarahi kubur adalah satu perbuatan yang menyalahi sunnah Nabi SAW.

  

26. PENGGUNAAN PEMBESAR SUARA LUAR MASJID
Islam mengajar umatnya menghormati hak orang lain. Oleh itu seluruh masjid di negeri Perlis adalah dilarang menggunakan pembesar suara luar untuk selain Azan dan Iqamah jika ia mengganggu ketenteraman orang ramai. Termasuklah memperdengarkan al-Quran, siaran kuliah dan seumpamanya. Penggunaan pembesar suara luar masjid adalah khusus untuk laungan Azan tanda masuk waktu solat fardu dan laungan Iqamah sahaja. Boleh juga untuk pengumuman ringkas yang membabitkan kepentingan bersama.

 

27. MEMPERDENGARKAN BACAAN AL-QURAN DI TEMPAT AWAM
Al-Quran adalah Kalam Allah yang diturunkan sebagai panduan manusia. Allah SWT berfirman:


كِتَابٌ أَنْزَلْنَاهُ إِلَيْكَ مُبَارَكٌ لِيَدَّبَّرُوا آيَاتِهِ وَلِيَتَذَكَّرَ أُولُو الْأَلْبَابِ

Terjemahannya: "Kitab (Al-Qur'an) yang telah Kami turunkan kepadamu dipenuhi barakah, agar manusia menghayati ayat-ayatnya dan agar orang-orang yang berakal mengambil pelajaran."
(Surah Sad: 29)


Oleh itu al-Quran hendaklah dibaca, didengari dan difahami isi kandungannya untuk diamalkan di dalam kehidupan. Memperdengarkan bacaan al-Quran di kawasan-kawasan awam termasuk gerai makan, restoran, sekolah dan seumpamanya dalam keadaan yang menyebabkan al-Quran diabaikan dan tidak dihormati serta boleh memberi persepsi merendahkan nilaian al-Quran adalah satu perbuatan yang ditegah.

 

28. TAKBIR MUQAYYAD
Imam masjid hendaklah memulakan Takbir Muqayyad iaitu laungan bertakbir setiap kali selesai menunaikan solat fardu lima waktu. Perlaksanaan ini bermula selepas solat Subuh pada 9 Zulhijjah berterusan sehingga solat Asar 13 Zulhijjah.

 

29. MENGGERAKKAN TABUNG MASJID KETIKA KHATIB BERKHUTBAH
Tidak boleh menggerakkan tabung masjid ketika khatib sedang berkhutbah Jumaat. Perbuatan ini termasuk dalam perkara yang dapat memalingkan tumpuan para jemaah dari mendengar khutbah Jumaat. Nabi SAW telah bersabda :


مَنْ مَسَّ الْحَصَى فَقَدْ لَغَا
Terjemahannya: “Sesiapa yang bermain dengan batu (ketika Khatib berkhutbah) maka telah sia-sia (pahala Jumaatnya)”
(Riwayat Muslim)


Maka menggerakkan tabung ketika khatib berkhutbah lebih utama menyebabkan sia-sia. Dicadangkan tabung digerakkan sebelum khutbah atau selepas solat Jumaat

 

30. BERDOA SELEPAS SOLAT JENAZAH
Berdoa sebaik sahaja selesai dari menunaikan solat jenazah tidak termasuk di dalam adab dan tatacara solat jenazah. Nabi SAW dan para sahabat baginda tidak pernah melakukannya. Jika ia suatu yang disunnahkan sudah pasti hal itu diriwayatkan daripada Nabi SAW. Sebaliknya mereka memadai dengan doa yang terdapat dalam solat Jenazah. Oleh yang demikian umat Islam hendaklah berusaha memastikan amalan mereka bertepatan dengan sunnah Nabi SAW dengan tidak menambahkan lagi sebarang doa selepas selesai dari menunaikan solat Jenazah.

 

31. KENDURI ARWAH
Orang ramai berhimpun di rumah jenazah dan dibuat makanan untuk mereka selepas jenazah dikebumikan adalah termasuk perbuatan yang tidak disukai berdasarkan perkataan Jarir bin ‘Abdillah RA:


كُنَّا نَعُدُّ الِاجْتِمَاعَ إِلَى أَهْلِ الْمَيِّتِ ، وَصَنِيعَةَ الطَّعَامِ بَعْدَ دَفْنِهِ : مِنْ النِّيَاحَةِ
Terjemahannya: “Kami mengira berhimpun kepada keluarga jenazah dan membuat makanan selepas daripada pengebumian termasuk di dalam ratapan (yang dilarang).”
(Riwayat Ahmad 6866 dan Ibn Majah 1612)

          Ini menunjukkan perbuatan kenduri arwah adalah suatu yang direka dan diada-adakan. Ia tidak pernah dilakukan oleh Nabi SAW dan para sahabat baginda dan mereka tidak pernah berhimpun di rumah keluarga jenazah selepas pengebumian.

          Berdasarkan sunnah, jika berlaku kematian, sanak-saudara dan jiran-tetangga dianjurkan supaya meringankan bebanan yang dipikul oleh keluarga jenazah dan berusaha mengurangkan rasa sedih yang menyelubungi mereka.

          Sanak-saudara dan jiran tetangga dianjurkan bersegera menyediakan makanan atau seumpamanya untuk ahli keluarga jenazah yang dapat meringankan bebanan dan kesedihan yang mereka tanggung. Hal ini berdasarkan sabda Nabi SAW sebaik sahaja sampai kepada baginda berita syahidnya Jaafar bin Abi Tolib RA dalam peperangan Mu’tah:


اصْنَعُوا لِآلِ جَعْفَرٍ طَعَامًا ، فَقَدْ أَتَاهُمْ مَا يَشْغَلُهُمْ
Terjemahannya: “Buatkanlah untuk keluarga Jaafar makanan, kerana sesungguhnya telah datang kepada mereka perkara yang menyibukkan.” (Riwayat al-Tirmizi 998 dan beliau menilainya sebagai Hasan. Abu Daud 3132, Ibn Majah 1610. Hadis ini juga dinilai Hasan oleh Ibn Kathir dan al-Albani)


Kata al-Imam al-Syafi’ie:


وَأُحِبُّ لِجِيرَانِ الْمَيِّتِ أَوْ ذِي قَرَابَتِهِ أَنْ يَعْمَلُوا لِأَهْلِ الْمَيِّتِ فِي يَوْمِ يَمُوتُ وَلَيْلَتِهِ طَعَامًا يُشْبِعُهُمْ فَإِنَّ ذَلِكَ سُنَّةٌ، وَذِكْرٌ كَرِيمٌ، وَهُوَ مِنْ فِعْلِ أَهْلِ الْخَيْرِ قَبْلَنَا وَبَعْدَنَا
Terjemahannya: “Dan aku suka bagi jiran jenazah atau sanak saudaranya membuat makanan untuk ahli keluarga jenazah pada hari kematian dan malamnya yang dapat mengenyangkan mereka, kerana hal ini adalah satu sunnah dan juga sebutan yang mulia (kepada mereka). Hal ini termasuk dalam perbuatan orang-orang yang baik sebelum dan selepas daripada kita.”
(al-Umm 1/317)


Diperakukan dalam Mesyuarat
Majlis Agama Islam dan
Adat Istiadat Melayu Perlis
Bil 5/2018 pada 27 September 2018.