FAQHubungiMaklumbalasPeta Laman
Pilihan Bahasa
msen
Saiz Teks

MESYUARAT
JAWATANKUASA FATWA NEGERI PERLIS KALI KE-38/2018
8 – 9 NOVEMBER 2018
30 SAFAR & 1 RABIULAWWAL 1440H

FATWA BITCOIN

 

          Bitcoin yang dicipta oleh Satoshi Nakamoto dibentuk dengan matlamat menyediakan suatu perantara pembayaran yang menawarkan kemudahan alternatif ‘peer to peer electronic cash system’ yang membolehkan pemilik unit-unit Bitcoin memindahkan pemilikan unitnya kepada pihak lain sebagai bayaran bagi khidmat, pembelian aset atau kiriman wang (remittance) dengan lebih pantas, murah dan mudah tanpa perlu melalui medium institusi kewangan. Ia juga boleh mengelakkan caj perkhidmatan kewangan yang tinggi dan menambah baik integriti setiap pemindahan tersebut hasil penggunaan teknologi anti-godam block chain dan ‘distributed legder’ melalui ekosistem yang telah berfungsi.


          Selain itu, Bitcoin juga didagangkan di pasaran crypto pemilikan swasta tanpa sebarang kawal selia oleh mana-mana negara, yang mana permintaan dan penawaran melalui platform perdagangan tersebut menjadikan nilai Bitcoin naik dan turun malah adakalanya kadar turun dan naiknya berada pada tahap yang sangat tinggi berbeza dengan kadar kebiasaan bagi instrumen pelaburan sedia ada yang lain.
Dalam penentuan hukum Bitcoin, terdapat banyak perbezaan pendapat di kalangan para ulama dalam menentukan klasifikasi, sifat dan status Bitcoin dari sudut kesahihan nilai dan pengiktirafannya sebagai harta bernilai (Mal Mutaqawwam). Selain itu, perbezaan seterusnya di kalangan para ulama adalah dalam menentukan hukum bertransaksi dengan Bitcoin yang merangkumi proses berdagang (menjual & membeli), menyimpan dan menggunakannya serta kewajiban zakat ke atasnya. 

Setelah mendengar pembentangan dari pihak yang berpengetahuan dan berpengalaman dari sudut teknikal, pihak kami berpandangan seperti berikut :

  1. Sifat dan kesahihan nilai harta pada Bitcoin : Ianya sah dan boleh diiktiraf sebagai punyai nilai harta berdasarkan sifat ‘multi-function and benefit’ yang diperolehi oleh pemilik Bitcoin. Antara faedah atau manfaat yang dimaksudkan adalah :
    • Akses kepada ekosistem lengkap yang membolehkan pemindahan milik dilaksana dengan selamat dan tepat.
    • Kebolehan untuk disimpan dan dipindah milik kepada pihak lain dengan mudah, pantas dan murah.
    • Kebolehan ia untuk didagangkan di pasaran crypto terbuka.
    • Penerimaan sesetengah pihak terhadapnya sebagai perantara pembayaran.
    • Penggunaan teknologi block chain yang menambah ciri ketelusan, keselamatan Bitcoin serta nilainya

    Justeru itu, Bitcoin boleh disifatkan sebagai aset digital dalam bentuk yang unik serta mempunyai pelbagai manfaat tersendiri yang harus (mubah) khususnya bagi komuniti yang tahu mengguna dan memanfaatkannya.

    Bitcoin pada ketika ini juga dianggap tidak mencukupi syarat bagi klasifikasi mata wang, maka ia tidak boleh dianggap sebagai mata wang serta tidak terpakai ke atasnya garis panduan hukum Sarf.

  2. Harus bertransaksi dengan Bitcoin sebagai perantara pembayaran, pemindahan wang, aset simpanan dan berdagang dengannya. Namun hendaklah mengambil kira apa yang disebutkan dalam perkara lima (5) di bawah.

  3. Disebabkan Bitcoin diiktiraf sebagai aset bernilai, maka setiap pemilikan yang melebihi nilai 85 gram emas serta cukup tempoh pemilikan selama satu tahun, wajib ke atas pemilik Bitcoin untuk membayar zakat harta sebanyak 2.5 % dari nilai semasa Bitcoin tersebut.

  4. Mereka yang ingin menggunakan Bitcoin juga wajib memahami selok belok penggunaan Bitcoin. Ini penting bagi mengelakkan elemen gharar sewaktu menggunakannya. Selain itu, pihak terbabit juga mesti terlebih dahulu memahami tahap tinggi risiko-risiko yang berkait dengan transaksi Bitcoin.

  5. Hukum penggunaan Bitcoin boleh berubah menjadi HARAM atau ditegah disebabkan beberapa faktor luaran seperti :
    • Apabila diharamkan penggunaannya oleh kerajaan ketika itu ia juga menjadi haram dari segi hukum Syariah atas dasar kemaslahatan awam dan mengelak mudarat menurut penilaian oleh pihak ulil amri.

    • Apabila menyertai SKIM Bitcoin melalui skim cepat kaya anjuran orang tengah atau syarikat pengantara yang menjanjikan keuntungan tetap atau lumayan. Ini adalah HARAM dari sudut syariah dan juga undang-undang setempat. Inilah yang menyebabkan ada yang membeli Bitcoin melalui akaun yang dimiliki syarikat seperti itu lalu berlakunya penipuan.

Diperakukan dalam Mesyuarat
Majlis Agama Islam dan
Adat Istiadat Melayu Perlis
Bil 6/2018 pada 6 Disember 2018.