FAQHubungiMaklumbalasPeta Laman
Pilihan Bahasa
msen
Saiz Teks

Pelacur, Anjing dan Kehidupan

Dalam sebuah hadis, Nabi s.a.w bersabda:

غُفِرَ لاِمْرَأَةٍ مُومِسَةٍ مَرَّتْ بِكَلْبٍ عَلَى رَأْسِ رَكِىٍّ يَلْهَثُ ، قَالَ كَادَ يَقْتُلُهُ الْعَطَشُ ، فَنَزَعَتْ خُفَّهَا ، فَأَوْثَقَتْهُ بِخِمَارِهَا ، فَنَزَعَتْ لَهُ مِنَ الْمَاءِ ، فَغُفِرَ لَهَا بِذَلِكَ

“Diampunkan dosa seorang pelacur yang melintasi seekor anjing yang berada di tepi sebuah telaga yang lidahnya terjelir. Kehausan hampir membunuhnya. Maka pelacur itu pun menanggalkan kasutnya, lalu dia ikat kasut itu dengan tudungnya lantas dia menceduk air untuk anjing tersebut. Dia diampunkan disebabkan kejadian itu” (Riwayat al-Bukhari).

  1. Saya merenung panjang setiap kali mengingati hadis ini. Terasa betapa luasnya rahmat Allah kepada hamba-hambaNya sekalipun untuk seorang pendosa yang dipandang hina oleh manusia.  Betapa luasnya peluang yang diberikan untuk setiap insan mendapat keampunanNYA. Lantas dengan keampunan itu seorang pendosa itu akan memasuki syurga yang tidak tergambar keindahan dan segala kurnia yang ada dalamnya. Betapa Allah itu Pengasih sehingga kadang-kala dengan amal yang sedikit dijadikan sebab untuk diberikan keampunan yang besar.
  1. Malangnya, rahmat Tuhan itu selalu kelihatan suram dan hambar disebabkan lidah-lidah sesetengah mereka yang mengaku diri mewakili Tuhan. Mereka ini kadang kala yang memakai bahasa, baju dan gelaran agama, seakan wakil rasmi yang memberi kata putus bagi pihak Tuhan dan Nabi s.a.w. Mereka itu sebenarnya tidak membawa misi rahmat seperti yang diajar oleh Alah kepada NabiNya s.a.w. Mereka menggambarkan Allah itu penuh dengan sifat keras, tanpa ihsan, kasihan dan hanya tahu menghukum dan melaknat hamba-hambaNYA yang berdosa. Di manakah keindahan rahmat Allah seperti yang digambarkan dalam hadis di atas?! Di manakah keseimbangan yang terkandung dalam firman Allah:

۞نَبِّئۡ عِبَادِيٓ أَنِّيٓ أَنَا ٱلۡغَفُورُ ٱلرَّحِيمُ وَأَنَّ عَذَابِي هُوَ ٱلۡعَذَابُ ٱلۡأَلِيمُ 

(maksudnya) “Khabarkanlah kepada hamba-hambaKu bahawa Akulah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani, Dan bahawa azabKu, adalah azab yang tidak terperi sakitnya” (Surah al-Hijr 49-50).

Hina Dan Mulia

  1. Dalam hadis di atas, perkataan yang digunakan menggambarkan perempuan tersebut ialah mumisah iaitu perempuan yang terkenal dengan perbuatan zina, seperti perempuan lacur. Perempuan seperti itu sentiasa buruk pada nilaian mana-mana masyarakat pun. Sementara anjing pula binatang yang dianggap hina dalam kebanyakan masyarakat. Perumpamaan ‘engkau bagaikan anjingkan’ adalah ungkapan buruk dalam berbagai bangsa dan budaya. Namun, dalam hadis ini seorang wanita kaki zina mendapat keampunan Allah S.W.T disebabkan seekor anjing. Siapalah pelacur atau ‘kaki zina’ di mata manusia, dan apalah yang ada pada seekor anjing pada penilaian manusia?! Namun, air yang diberikan oleh pelacur atau penzina kepada anjing telah menyebabkan dia mendapat rahmat dan keampunan.

Apakah Syurga Murah?

  1. Kita mungkin tertanya-tanya: Apakah begitu murahnya syurga sehingga dosa yang besar seperti kegemaran berzina dapat dipadamkan dengan beberapa teguk air yang diberikan kepada anjing. Apakah ini bererti jika seseorang itu perasuah atau penzalim besar maka dia akan diampunkan dengan membuat jamuan rakyat atau dengan beberapa hidangan yang dihantar ke masjid?! Jawapannya, sudah pasti tidak demikian! Jika itulah tafsirannya, hadis ini akan menjadi lesen manusia berbuat berbagai kesalahan, lalu dia diampunkan dengan sedikit bantuan dan sedekah yang dihulurkan. Pastinya tidak begitu!
  1.  Sebenarnya, perkara yang utama yang menentukan nilai dan harga setiap amalan adalah apa yang terkandung dalam jiwa atau jantung hati pengamalnya. Inilah perkara paling sukar hendaklah dicapai oleh manusia yang tiada keinsafan dalam jiwa. Perkara itu ialah keikhlasan dalam melakukan sesuatu perkara yang baik. Ia tersimpan dalam jantung hati insan. Allah mengetahuinya. Tiada ruang berpura-pura dalam jiwa. Di sisi Allah tersimpan segalanya.
  1.  Justeru, amalan yang zahirnya sama akan mempunyai nilai berbeza di sisi Allah disebabkan berbezanya keikhlasan jiwa pengamal-pengamalnya. Kadar keikhlasan menentukan kadar kesungguhan amalan. Maka, nilai solat dua rakaat setiap kita, mungkin tidak sama di sisi Allah berdasarkan kekusyukan pengamalnya. Bahkan mungkin solat dua rakaat yang lakukan oleh individu yang sama, pada masa yang berlainan juga tidak sama di sisi Allah disebabkan perubahan keikhlasan dan kekusyukan dirinya. Maka dua orang yang berada dalam saf solat yang sama, belum tentu mendapat ganjaran yang sama. Boleh jadi beza antara mereka bagaikan langit dan bumi. Demikianlah ganjaran amalan baik sesama manusia atau terhadap haiwan dan alam. Allah mengetahui hakikat yang tersimpan dalam jantung hati setiap yang melakukan amalan itu. Perbuatan kita mungkin kelihatan sama, namun nilai kejujuran dan penyerahan jiwa kepada Allah, tidak semestinya sama. Menderma, berbudi bahasa, tolong menolong dan seumpamanya adalah amalan yang baik pada zahirnya. Nilaian di sisi Allah berdasarkan keikhlasan dan keinsafan diri pengamalnya.

 

Banyak Dan Sedikit

  1. Bahkan kadang-kala mungkin ada amalan yang sedikit tapi nilaiannya lebih besar dari amalan yang banyak. Ini disebabkan apa yang terkandung dalam jiwa pengamalnya. Seorang miskin yang menderma RM 10, mungkin akan mendapat pahala yang lebih dari seorang kaya yang menderma RM1000. Mungkin nilai sedekahnya cuma RM10, namun itulah kadar yang dia termampu. Kadar yang sedikit pada orang lain itu besar bagi dirinya yang hanya bergaji 10 atau 15 ringgit sehari. Maka, dia mengeluarkan RM 10 dengan penuh erti dan berat, sekalipun mungkin sedikit dan lekeh bagi orang lain. Jika dia melakukannya dengan penuh ikhlas dan insaf terhadap kurniaan Allah, sudah pasti derma seperti itu lebih mulia di sisi Allah dibandingkan derma RM1000 yang dikeluarkan oleh seorang yang berharta dengan kesombongan, atau kurang keikhlasan, atau ada tujuan tertentu; tanpa rasa insaf dan mengharap ganjaran Allah. Justeru, kadang-kala sekalipun RM10 lebih kecil, tetapi ia lebih bernilai di sisi Allah. Sudah pasti jika kadar yang besar dikeluarkan dengan jiwa yang luhur, tentulah ganjarannya lebih.

Allah mengingatkan kita tentang hakikat amalan memerlukan keluhuran jiwa dalam firmanNYA dalam Surah al-Baqarah ayat 262:

ٱلَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمۡوَٰلَهُمۡ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ ثُمَّ لَا يُتۡبِعُونَ مَآ أَنفَقُواْ مَنّٗا وَلَآ أَذٗى لَّهُمۡ أَجۡرُهُمۡ عِندَ رَبِّهِمۡ وَلَا خَوۡفٌ عَلَيۡهِمۡ وَلَا هُمۡ يَحۡزَنُونَ ۞قَوۡلٞ مَّعۡرُوفٞ وَمَغۡفِرَةٌ خَيۡرٞ مِّن صَدَقَةٖ يَتۡبَعُهَآ أَذٗىۗ وَٱللَّهُ غَنِيٌّ حَلِيمٞ يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تُبۡطِلُواْ صَدَقَٰتِكُم بِٱلۡمَنِّ وَٱلۡأَذَىٰ كَٱلَّذِي يُنفِقُ مَالَهُۥ رِئَآءَ ٱلنَّاسِ وَلَا يُؤۡمِنُ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِۖ فَمَثَلُهُۥ كَمَثَلِ صَفۡوَانٍ عَلَيۡهِ تُرَابٞ فَأَصَابَهُۥ وَابِلٞ فَتَرَكَهُۥ صَلۡدٗاۖ لَّا يَقۡدِرُونَ عَلَىٰ شَيۡءٖ مِّمَّا كَسَبُواْۗ وَٱللَّهُ لَا يَهۡدِي ٱلۡقَوۡمَ ٱلۡكَٰفِرِينَ

[ البقرة:262-264]

(maksudnya) “orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan (ugama) Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang mereka belanjakan itu dengan mengungkit (pemberiannya), dan tidak pula menyakiti (pihak yang diberi), mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan  terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. Perkataan yang baik dan kemaafan itu adalah lebih baik daripada sedekah (pemberian) yang diiringi (dengan perbuatan) menyakiti hati. dan (ingatlah), Allah Maha Kaya, lagi Maha Penyantun. Wahai orang-orang Yang beriman! jangan rosakkan (pahala) sedekah kamu dengan ungkitan dan menyakiti, seperti (rosaknya pahala) orang yang membelanjakan hartanya kerana riyak kepada manusia, dan dia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. Maka bandingan orang itu ialah seperti batu licin yang ada pasir di atasnya, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin (tiada pasir lagi). (Demikianlah) mereka tidak akan mendapat sesuatu (pahala) pun dari apa yang mereka usahakan. dan (ingatlah), Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang kafir.

Tidak Sampai Ajaran

  1. Demikian juga pelacur tadi, perbuatannya mungkin nampak ringkas iaitu memberi minum kepada seekor anjing, namun mungkin jiwanya penuh dengan insaf dan mengharapkan kurniaan Tuhan kepadanya atas perbuatan baik itu, maka dia pun diampun, dan dibuka jalan kebaikan. Jiwa ketika melakukan hal itu dibaluti dengan penuh keikhlasan yang mendalam. Mungkin juga perbuatan lacur yang dilakukan selama ini kerana keadaan yang memaksanya, atau kehidupan yang mendesaknya, atau suasana yang mengheretnya begitu. Allah tahu tentang dirinya, Allah tahu tentang nilai-nilai luhur yang ada dalam jiwanya. Memberi minum kepada anjing yang kehausan itu satu bukti dari nilai baik dalam dirinya itu. Allah ampuninya. Demikian Allah akan ampuni hamba-hambaNya yang baik yang berada dalam suasana yang sama.
  1. Berapa ramai orang-orang bukan muslim yang sangat baik kepada masyarakat manusia, haiwan dan tumbuhan-tumbuhan. Malangnya, umat Islam atas kelemahan dan kegagalan menjadi contoh yang baik menyebabkan Islam tidak sampai kepada mereka dengan cara yang sebenar lagi meyakinkan. Saya percaya Allah akan mengampuni mereka, sekalipun ada kelemahan pada diri mereka. Jika tidak sampai kepada mereka ajaran Islam yang sebenarnya sedangkan mereka mencari yang benar, maka moga ada keuzuran untuk mereka di akhirat nanti. Adapun kebaikan yang mereka tunjukkan, yang dilakukan dengan jiwa yang luhur, ada nilai di sisi Allah. Allah Maha bijaksana  dalam menentu cara membalas amalan baik mereka. Allah juga berjanji:

وَمَا كُنَّا مُعَذِّبِينَ حَتَّىٰ نَبۡعَثَ رَسُولٗا  [ الإسراء:15-15]

(maksudnya) “Kami tidak akan mengazab, sehinggalah Kami mengutuskan rasul” (Surah al-Isra; ayat 15).

Insafi Diri

  1. Hadis ini juga mengingatkan kita agar jangan memandang hina kepada orang lain. Ya, perbuatan yang salah memang dihukum salah. Dosa itu tetap dosa. Namun, kedudukan pelakunya di sisi Allah, hanya Allah Yang Maha Tahu. Mungkin satu hari mereka yang kelihatan berdosa itu mendapat keampunan melebihi orang lain. Ini semua kerana keikhlasan dan keinsafan jiwa setiap insan itu tidaklah sama. Mungkin seseorang itu kelihatan baik kerana lahir dalam suasana yang baik. Seseorang lain pula mungkin menjadi jahat kerana keadaan hidup yang melingkunginya. Namun, jika ada dalam jantung hatinya keikhlasan dan keinsafan diri, dia akan menemui jalan keampunan Tuhan Yang Maha Adil Lagi Penyayang. Semoga kita semua tawaduk serta insaf terhadap kelemahan diri sendiri dan kelebihan yang mungkin dimiliki oleh orang lain, sehingga dia mungkin lebih disayangi Allah dibandingkan  kita!