FAQHubungiMaklumbalasPeta Laman
Pilihan Bahasa
msen
Saiz Teks

MENGAPAKAH ADA DOA PEPERIKSAAN BANYAK TIDAK MUSTAJAB?

Soalan: Dr MAZA, pada musim peperiksaan ramai pelajar dan ibubapa yang berdoa agar anak mereka berjaya dalam peperiksaan. Namun, kita semua tahu bahawa jumlah yang mendapat kejayaan cemerlang dalam peperiksaan hanya peratusan yang kecil. Padahal semuanya telah berusaha belajar dan berdoa. Tidakkah ini seakan menunjukkan Allah hanya menerima doa sebahagian kecil sahaja? Pohon pencerahan.

Jawapan Dr MAZA: Terima kasih buat yang bertanya. Soalan ini sebenarnya penting untuk difahami oleh orang ramai supaya mereka tidak tersalah sangka dengan janji Allah untuk memustajabkan doa hamba-hambaNYA. Juga supaya mereka memahami betapa luasnya rahmat dan kurniaan Allah itu. Berikut perkara-perkara penting yang perlu diperjelaskan.

  1. Untuk menjadikan sesuatu doa itu diterima oleh Allah, maka hendaklah kita mengikut cara berdoa yang sebenar yang diredhai oleh Allah untuk kita mengamalkannya. Allah telah menghantar rasulNYA memberitahu kepada kita bagaimana cara berdoa kepadaNYA. Ini semua dijelaskan dalam al-Quran dan al-Sunnah. Hendaklah kita mengikut panduan berdoa seperti yang diajarkan dalam kedua-dua sumber tersebut.
  1. Dalam urusan kehidupan yang mempunyai sebab musabab maka di samping pergantungan sepenuhnya kepada Allah, hendaklah kita berusaha memenuhi sebab musabab tersebut. Para nabi juga berusaha bersungguh-sungguh untuk kejayaan perjuangan mereka, bukan sekadar berdoa memohon pertolongan Allah tanpa usaha. Sedaya upaya mereka cuba memenuhi tuntutan perjalanan dan peraturan alam, di samping mereka sentiasa bergantung kepada Allah. Dalam hadis:

قَالَ رَجُلٌ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أُرْسِلُ نَاقَتِي وَأَتَوَكَّلُ؟ قال: "اعقلها وتوكل"

Seorang lelaki berkata kepada Nabi s.a.w: “Apakah aku patut membiarkan untaku dan bertawakkal? Jawab Nabi s.a.w: “Ikatlah unta itu dan bertawakkal”. [Riwayat Ibn Hibban dalam sahihnya, al-Tirmizi dll. Al-Albani (Sahih Mawarid al-Zhamaan) dan Syu’aib al-Arnaut(Tahqiq Sahih Ibn Hibban)menilai hadis ini sebagai hasan]

Dalam peperiksaan, seseorang yang mahukan kejayaan hendaklah belajar dengan tahap yang sewajarnya, memenuhi keperluan yang sepatutnya serta berdoa kepada Allah.

  1. Setelah kita jelas dua perkara di atas, hendaklah kita fahami bahawa setiap doa yang seseorang pohon kepada Allah pasti mempunyai hasrat ataupun keinginan yang hendak diperolehi. Kadang-kala hasrat itu tidak zahir pada lafaz doa tetapi difahami tujuan yang terkandung di dalamnya. Ini seperti apabila seseorang mendoakan agar perniagaannya maju. Dia sebenarnya mendoakan agar rezeki ataupun hartanya bertambah. Sudah pasti dia tidak menginginkan kemajuan dalam perniagaan tapi dia tidak memperolehi apa-apa keuntungan. Apatahlagi kesusahan di sebalik kemajuan itu.
  1. Demikianlah juga apabila seseorang memohon daripada Allah agar dirinya ataupun anaknya ataupun sesiapa diberikan kejayaan dalam peperiksaan. Dia sebenarnya bukan mahukan kejayaan dalam peperiksaan semata tetapi dia mahu dengan kejayaan itu dia dapat meneruskan perjalanan seterusnya ke arah kejayaan yang lebih besar. Peperiksaan bukan tujuan, tetapi sebab musabab yang dengannya boleh dicapai tujuan. Sudah pasti dia tidak mahu jika sekadar berjaya dalam peperiksaan tetapi gagal dalam perjalanan kehidupan yang seterusnya. Ertinya, doa kejayaan dalam peperiksaan bermaksud agar dapat mengecapi kejayaan dalam kehidupan di masa hadapan.
  1. Semasa keputusan peperiksaan diperolehi, kita sebenarnya belum tahu apakah yang bakal terjadi di masa hadapan. Walaupun peperiksaan merupakan salah satu jalan penting dalam kehidupan masyarakat kita hari ini untuk meneruskan kerjaya masa hadapan, namun ia bukan segalanya. Betapa ramai orang yang cemerlang keputusan peperiksaannya tetapi tidak cemerlang dalam kerjayanya pada masa hadapannya. Betapa ramai pula yang berjaya dalam peperiksaan tetapi gagal dalam ujian kehidupan yang lain. Bahkan ada yang mendapat kesusahan dalam hal-hal yang tidak disangka, akhirnya kecemerlangan peperiksaannya yang lalu bagaikan tidak memberikan apa-apa makna. Sementara betapa ramai orang yang dahulunya kurang berjaya dalam peperiksaan kemudian cemerlang dalam kerjayanya. Sejarah tokoh-tokoh besar dunia banyak membuktikan hal ini.
  1. Jadi, peperiksaan hanya salah satu sebab di dunia hari ini untuk seseorang melangkah ke hadapan dalam kerjanya. Apabila seseorang berdoa agar dirinya ataupun anaknya berjaya di masa hadapan, pasti dia tidak akan mengetahui lagi apakah yang bakal terjadi pada masa hadapan sehingga masa hadapan itu tiba. Jika ada seseorang yang kurang berjaya dalam peperiksaan, dia ataupun ibubapa yang berdoa untuknya tidak boleh membuat sangkaan ataupun kesimpulan bahawa doa mereka tidak mustajab. Ini kerana, kemungkinan dia ataupun pihakyang didoakan itu tetap akan berjaya di masa hadapan dengan cara yang dikehendaki oleh Allah.
  1. Allah berjanji akan memustajabkan doa. Pemustajaban doa itu boleh menjelma dalam pelbagai jalan dan cara. Kejayaan pada masa hadapan boleh muncul dengan cara yang kita sangka dan tidak sangka. Apa yang penting kita hendaklah terus berdoa kepada Allah. Doa kita tidak sia-sia. Kadang-kala Allah tukar doa kita kepada sesuatu yang lebih baik, ataupun selamatkan kita daripada bahaya yang amat mengancam kita. Sabda Nabi s.a.w :

مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَدْعُو بِدَعْوَةٍ لَيْسَ فِيهَا إِثْمٌ وَلاَ قَطِيعَةُ رَحِمٍ إِلاَّ أَعْطَاهُ اللَّهُ بِهَا إِحْدَى ثَلاَثٍ إِمَّا أَنْ تُعَجَّلَ لَهُ دَعْوَتُهُ وَإِمَّا أَنْ يَدَّخِرَهَا لَهُ فِي الآخِرَةِ وَإِمَّا أَنْ يَصْرِفَ عَنْهُ مِنْ السُّوءِ مِثْلَهَا

"Tiada seorang muslim yang berdoa dengan suatu doa yang tiada dalamnya dosa, atau memutuskan silaturahim melainkan Allah akan memberikan kepadanya salah satu dari tiga perkara: samada disegerakan kemakbulan, atau disimpan untuk diberikan pada hari akhirat, ataupun dijauhkan keburukan yang sepandan dengannya". (Riwayat Ahmad, Al-Bazzar dan Abu Ya'la dengan sanad yang sahih).

  1. Jangan kita tergopoh-gapah menyangka doa kita tidak diterima hanya kerana melihat keputusan peperiksaan diri kita ataupun anak kita. Kita belum tahu apakah yang bakal menanti untuk kehidupannya di masa hadapan. . Sabda Nabi s.a.w :

لَا يَزَالُ يُسْتَجَابُ لِلْعَبْدِ، مَا لَمْ يَدْعُ بِإِثْمٍ أَوْ قَطِيعَةِ رَحِمٍ، مَا لَمْ يَسْتَعْجِلْ» قِيلَ: يَا رَسُولَ اللهِ مَا الِاسْتِعْجَالُ؟ قَالَ: يَقُولُ: «قَدْ دَعَوْتُ وَقَدْ دَعَوْتُ، فَلَمْ أَرَ يَسْتَجِيبُ لِي، فَيَسْتَحْسِرُ عِنْدَ ذَلِكَ وَيَدَعُ الدُّعَاءَ

Sentiasa doa dimustajabkan untuk seorang hamba Allah selagi mana dia tidak berdoa untuk membuat sesuatu dosa, atau memutuskan silaturrahim, selagi dia tidak tergopah-gapah ». Ditanya baginda : « Apa itu tergopoh-gapah ? ». Sabda baginda :  «Apabila dia berkata : aku telah pun berdoa ! aku telah pun berdoa !, tetapi aku tidak nampak pun dimustajabkan untukku, lalu dia berhenti ketika itu dan meninggalkan doa » (Riwayat Muslim).

  1. Berusaha dan berdoalah. Percayalah Allah akan tetap menerima doa itu jika kita telah memenuhi syarat-syarat doa yang DIA mahukan daripada kita. Kemustajaban doa itu akan hadir pada suatu masa nanti dengan pelbagai cara yang kita sangka dan tidak sangka.