FAQHubungiMaklumbalasPeta Laman
Pilihan Bahasa
msen
Saiz Teks

DOSA MEROKOK DI TEMPAT AWAM DAN DEPAN KELUARGA

  1. Semua kita tahu bahawa merokok merupakan suatu perbuatan yang merosakkan kesihatan secara terbukti dan nyata. Semua kita juga tahu bahawa Islam mengharamkan perbuatan yang merosakkan kesihatan. Merosakkan kesihatan sendiri itu haram kerana tubuh badan kita merupakan hak Allah yang kita wajib menjaganya dengan baik. Diharamkan kita membunuh diri sekalipun dengan kehendak sendiri. Ini kerana tubuh kita merupakan hak Allah yang wajib dipelihara.

2. Perbuatan merokok merupakan menempah bahaya tanpa sebab yang diterima. Ia bukan keperluan insan seperti seseorang yang terpaksa bekerja di lombong arang batu untuk mencari rezeki. Merokok hanya kehendak nafsu untuk mencari penyakit dan nahas. Maka justifikasi sesetengah perokok bahawa di sana banyak lagi perkara bahaya yang manusia lakukan dalam hidup mereka selain merokok, tidak boleh diterima jika hal lain itu ada keperluan kehidupan.

3. Merokok itu haram. Merokok di tempat awam atau merokok sehingga memberikan kemudaratan kepada orang lain merupakan haram atas haram, atas dosa atas dosa. Bahkan dosa merokok sehingga membahayakan orang lain lebih besar dari dosa merokok sendirian. Ini kerana, merokok sendirian merosakkan diri, sementara merokok di tempat awam atau di hadapan orang lain merosakkan pihak lain. Maka dosa merosakkan orang lain lebih besar dari dosa merosakkan diri sendiri. Juga, bertaubat dosa merokok sendirian lebih mudah dibandingkan dosa merokok yang merosakkan pihak lain. Ini kerana dosa memudaratkan pihak lain mewajibkan orang yang bertaubat memohon maaf kepada mangsa yang dizalimi.

Nabi s.a.w bersabda:

لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ

“Tiada (boleh) mudarat (diri) dan memudaratkan (orang lain)” (Riwayat Malik, Ahmad, Ibn Majah, al-Hakim dll).

Antara maksud hadis ini yang disyarahkan oleh para ulama ialah seseorang tidak boleh memudaratkan diri sendiri ataupun memudaratkan orang lain.

4. Orang yang mencemarkan tempat penggunaan awam sehingga menimbulkan kesusahan pengguna lain layak dilaknat kerana menzalimi dan memangsakan orang. Ini tidak jauh dari perbuatan membuang najis di laluan orang ataupun tempat teduhan mereka. Nabi s.a.w bersabda:

اتَّقُوا اللَّعَّانَيْنِ قَالُوا: وَمَا اللَّعَّانَانِ يَا رَسُولَ اللهِ؟ قَالَ: الَّذِي يَتَخَلَّى فِي طَرِيقِ النَّاسِ، أَوْ فِي ظِلِّهِمْ

“Takutlah kamu kepada dua perkara yang menyebabkan dilaknat”. Sahabat bertanya: “Apakah dia dua perkara tersebut?”. Sabda baginda: “Orang yang membuang air besar di laluan orang ramai dan di tempat teduh mereka”. (Riwayat Muslim).

Perbuatan di atas dilaknat oleh orang lain kerana menyusahkan pihak lain. Demikianlah merokok di tempat awam, memberikan kemudaratan kepada pihak lain yang menggunakan tempat awam itu. Kata al-Syeikh Ibn ‘Uthaimin r.h ketika mensyarahkan hadis ini menyebut:

جواز لعن من فعل ذلك؛ لأن النبي صلى الله عليه وسلم أخبر عن هذا محذرا من أن تقع اللعنة على الفاعل، ولا يمكن أن تقع اللعنة على الفاعل إلا إذا كان اللاعن محقا، أما إذا كان غير محق فلا يمكن أن تقع اللعنة على الملعون، وعلى هذا فيجوز أن يلعن الإنسان فاعل ذلك

“Hadis ini menunjukkan harus melaknat sesiapa yang melakukan demikian kerana Nabi s.a.w memberitahu perkara ini sebagai amaran agar tidak ditimpa laknat kepada pelakunya. Tidak mungkin akan menimpa laknat ke atas pelaku kecuali apabila pelaknat itu seorang yang berhak (melaknat). Adapun jika dia tidak berhak maka tidak mungkin laknat akan menimpa ke atas orang yang dilaknat. Di atas alasan ini, maka boleh seseorang insan melaknat pelaku perkara itu”. ( Muhammad Salih al-‘Uthaimin, Fath Dzi al-Jalal wa al-Ikram, 1/290. Saudi: Al-Maktabah al-Islamiyyah).

  1. Lebih besar dosanya jika merokok di hadapan anak isteri sehingga memudaratkan mereka. Padahal isteri dan anak-anak merupakan amanah. Sabda Nabi s.a.w:
  1. Dr Karim ‘Abd al-Karim Zaidan ketika mambahaskan tentang memisahkan (tafriq) suami dan isteri disebabkan mudarat menyebut dua jenis mudarat yang memboleh isteri menuntut untuk dia dipisahkan. Satunya, mudarat dari segi fizikal seperti suami memukul, atau membuatkan sesuatu yang menyebabkan kecederaan. Kedua, segi jiwa atau psikologi seperti suami memakinya, atau tidak lagi mahu bersetubuh dengannya, atau menengkingnya atau enggan berbicara dengannya. Dr. Zaidan juga memetik apa yang disebut oleh al-Dardir dalam al-Syarh al-Kabir: “Bagi isteri boleh menuntut dipisahkan dari suami disebabkan mudarat yang dilakukannya; iaitu apa yang tidak diizinkan oleh syarak untuk dia buat seperti meninggalkan isteri atau memukulnya tanpa sebab yang dibenarkan syarak. Atau memaki dia atau bapanya seperti menyebut: Wahai anak anjing, atau wahai anak kafir! Atau wahai anak orang yang dilaknat. Ini seperti yang berlaku dalam kalangan mereka yang tidak senonoh. Di samping itu tambahan kepada dipisahkan, dia patut dihukum untuk diadabkannya. Ini seperti jika dia meliwat isteri”. Dr Zaidan seterusnya memetik apa yang disebut oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah: “Maka dianggap memberi mudarat kepada isteri yang boleh dipisah (difasakh) apabila suami meninggalkan persetubuhan dalam apa keadaan sekalipun. Samada suami sengaja atau tidak sengaja”. (Dr Zaidan, al-Mufassal fi Ahkam al-Mar’ah 8/439. Beirut: Muassasah al-Risalah).