FAQHubungiMaklumbalasPeta Laman
Pilihan Bahasa
msen
Saiz Teks

𝑺𝑬𝑱𝑨𝑹𝑨𝑯 𝑷𝑬𝑴𝑩𝑼𝑵𝑼𝑯𝑨𝑵 𝑲𝑯𝑨𝑳𝑰𝑭𝑨𝑯 𝑼𝑻𝑯𝑴𝑨𝑵 𝑩𝑰𝑵 𝑨𝑭𝑭𝑨𝑵 (SIRI 2)

Prof Madya Dato Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin

 

𝐓𝐢𝐧𝐝𝐚𝐤𝐚𝐧 ‘𝐔𝐭𝐡𝐦𝐚𝐧 𝐝𝐚𝐥𝐚𝐦 𝐌𝐞𝐦𝐛𝐞𝐧𝐝𝐮𝐧𝐠 𝐅𝐢𝐭𝐧𝐚𝐡

Tindakan ‘Uthman tidak memadai hanya dengan langkah penyiasatan yang telah disebutkan sahaja, tetapi dia juga mengambil dua langkah yang lain:

𝑷𝒆𝒓𝒕𝒂𝒎𝒂: Menulis surat kepada rakyat jelata di setiap wilayah. Antaranya seperti berikut:


أَمَّا بَعْدُ، فَإِنِّي آخُذُ الْعُمَّالَ بِمُوَافَاتِي فِي كُلِّ مَوْسِمٍ، وَقَدْ سَلَّطْتُ الأُمَّةَ مُنْذُ وُلِّيتُ عَلَى الأَمْرِ بِالْمَعْرُوفِ وَالنَّهْيِ عَنِ الْمُنْكَرِ، فَلا يُرْفَعُ عَلَيَّ شَيْءٌ وَلا عَلَى أَحَدٍ مِنْ عُمَّالِي إِلا أَعْطَيْتُهُ، وَلَيْسَ لِي وَلِعِيَالِي حَقٌّ قِبَلَ الرَّعِيَّةِ إِلا مَتْرُوكٌ لَهُمْ، وَقَدْ رَفَعَ إِلَيَّ أَهْلُ الْمَدِينَةِ أَنَّ أقواما يشتمون، وآخرون يضربون، فيأمن ضَرَبَ سِرًّا، وَشَتَمَ سِرًّا، مَنِ ادَّعَى شَيْئًا مِنْ ذَلِكَ فَلِيُوَافِ الْمَوْسِمَ فَلْيَأْخُذْ بِحَقِّهِ حَيْثُ كَانَ، مِنِّي أَوْ مِنْ عُمَّالِي، أَوْ تَصَدَّقُوا فان الله يجزى المتصدقين

(Aku mengambil pegawai-pegawaiku dengan persetujuanku pada setiap musim. Sejak aku memerintah, aku telah jadikan umat ini dikuasai oleh al-Amr bi al-Ma’ruf dan al-Nahy ‘an al-Munkar. Tidak dikemukakan suatu kes kepadaku atau kepada para pegawaiku melainkan aku berikan kepada mereka itu akan haknya. Tiada bagiku atau keluargaku hak yang menyentuh rakyat jelata melainkan ianya ditinggalkan untuk rakyat. Penduduk Madinah telah memaklumkan kepadaku bahawa ada golongan yang dicerca secara sembunyi atau sesiapa yang mendakwa sesuatu, apabila cukup tempohnya maka ambillah kembali haknya di mana sahaja dia berada, daripadaku atau pegawaiku ataupun dia bersedekahlah (maafkanlah). Sesungguhnya Allah memberi ganjaran kepada orang-orang yang bersedekah (memaafkan).

Apabila surat ini dibaca di setiap negeri maka rakyat jelata pun menangis dan mereka berkata: “Sesungguhnya telah bergerak di kalangan umat ini kejahatan” (Al-Tabari, Tarikh al-Tabari, jil. 4, hlm. 342) iaitu fitnah telah menular di tengah-tengah umat.

𝑲𝒆𝒅𝒖𝒂: Memanggil para gabenornya untuk disoal siasat.

Dipanggil juga ‘Amr dan Sa’id ibn al-‘As. Kedua-duanya bekas gabenor ‘Uthman. ‘Uthman menegaskan: “Wahai para gabenorku! Aduan apkah ini? Khabar angin apa ini? Demi Allah, aku takut ia benar-benar berlaku kepada kamu dan ia tidak akan dikaitkan melainkan kepadaku!”

Para gabenornya berkata: “Tidakkah engkau telah menghantar utusan? Bukankah kami telah melaporkan kepada engkau berita tentang puak tersebut? Tidakkah para perwakilan engkau telah pulang dan tidak ada seorang pun yang memberitahu mereka sesuatu? Tidak! Demi Allah! Puak tersebut tidak benar dan tidak betul. Kami tidak mengetahui langsung puncanya.. Ini semua tidak lain kecuali khabar angin yang tidak patut kita mengambil perhatian dan memikirkannya.”

Kata ‘Uthman: “Kemukakan pendapat kepadaku!”

Kata Sa’id ibn al-‘As: “Ini adalah sesuatu yang direka-reka, ia dirancang secara senyap lalu disebarkan kepada mereka yang tidak ada pengetahuan yang betul. Maka ia jadikan bahan cerita di dalam majlis-majlis mereka.”

Kata ‘Uthman: “Apakah jalan penyelesaiannya?”

Sa’id menjawab: “Dapatkan puak tersebut dan bunuh sesiapa sahaja yang menjadi punca berlakunya fitnah ini.”

Kata ‘Abd Allah ibn Sa’id: “Ambillah daripada orang ramai apa yang mesti ditunaikan oleh mereka dan berikan haknya kepada mereka.”

Kata Mu’awiyah: “Engkau telah melantik aku memerintah suatu kaum (penduduk Syam) yang tidak ada pada mereka melainkan kebaikan. Kedua-dua mereka tadi lebih mengetahui tentang keadaan mereka.”

Kata ‘Uthman: “Apakah pandangan engkau dalam hal ini?”

Jawab Mu’awiyah: “Adab yang baik.”

Kata ‘Uthman: “Apakah pendapat engkau wahai ‘Amr?”

Kata ‘Amr: “Aku melihat engkau terlalu berlembut dan membiarkan mereka bersikap demikian. Sikap lembutmu melebihi apa yang dibuat oleh ‘Umar. Aku berpendapat engkau mesti mengikuti sikap kedua-dua orang sahabatmu (Abu Bakr dan ‘Umar). Engkau mesti bertegas pada tempat yang perlu bertegas dan berlembut pada tempat yang perlu berlembut. Kekerasan itu patut dikenakan terhadap orang yang inginkan kejahatan yang berlaku kepada orang ramai dan berlembut itu pula untuk mereka yang mengambil berat dalam menasihati orang ramai. Namun engkau telah mengambil sikap lembut untuk mereka dalam semua keadaan.”

𝗦𝗶𝗸𝗮𝗽 𝗪𝗮𝗿𝗮𝗸 𝗨𝘁𝗵𝗺𝗮𝗻

Maka ‘Uthman pun bangun, memuji Allah lalu berkata: “Apa yang kamu bincangkan, semuanya telah aku dengari. Setiap perkara ada pintu yang datang melaluinya. Sesungguhnya fitnah yang ditakuti kepada umat ini telah pun berlaku. Kita akan cuba menghalangnya dengan bersikap lembut, memberi dan meneliti setiap keadaan, melainkan dalam hukum-hakam Allah yang telah Allah nyatakan. Ini kerana tidak ada sesiapa pun yang boleh mempertikaikannya… Apa yang telah dimaklumi bahawa aku tidak pernah mengurangkan kebaikan untuk orang ramai juga untuk diriku sendiri. Sesungguhnya putaran fitnah ini telah berputar. Beruntunglah ‘Uthman kalau dia mati sedangkan dia tidak menggerakkan fitnah itu. Jagalah orang ramai, berikanlah hak mereka dan maafkanlah mereka. Namun kalau mereka melanggar larangan Allah maka tidak ada kemaafan buat mereka” (Al-Tabari, Tarikh al-Tabari, hil. 4, hlm. 127).

Inilah sikap ‘Uthman yang begitu warak dan berlapang dada terhadap rakyatnya. Apa yang penting bagi ‘Uthman ialah beliau tidak menggerakkan fitnah yang berlaku. Malangnya, kita akan saksikan nanti sikap terlalu berlembut ini telah diambil kesempatan oleh golongan yang khianat dan ingin merosakkan umat.

Keadaan semakin tegang, ‘Abd Allah ibn Saba’ dan pengikutnya menggerakkan rancangan jahat mereka di tengah-tengah masyarakat Islam dengan lebih bersungguh-sungguh. Pengaruhnya di Kufah, Basrah dan Mesir semakin berkembang.

Melihat kepada keadaan ini, maka Mua’wiyah mencadangkan agar ‘Uthman mengikutinya ke Syam. Jawab Sayyidina ‘Uthman: “Aku tidak akan menjual perdampinganku dengan Rasulullah s.a.w (di Madinah) walaupun urat tengkokku dipotong.”

Kata Mu’awiyah: “Bagaimanakah kalau aku kirimkan tentera yang akan tinggal bersama-sama penduduk Madinah bagi menghadap bahaya yang mungkin berlaku? Tujuannya untuk mempertahankan penduduk Madinah dan juga engkau.”

Kata ‘Uthman: “Kalaulah aku berbuat demikian bererti aku telah menyempitkan rezeki jiran Rasulullah s.a.w disebabkan tentera yang tinggal bersama-sama mereka. Ini bererti aku telah menyusahkan penduduk negeri hijrah dan para pembantu Nabi s.a.w.” Kata Mu’awiyah: “Demi Allah wahai Amir al-Mukminin! Mereka akan menyerang dan memerangimu.” Jawab ‘Uthman r.a: “Cukuplah Allah sebagai penolong” (Al-Tabari, Tarikh al-Tabari, hil. 4, hlm. 345).

bersambung...