FAQHubungiMaklumbalasPeta Laman
Pilihan Bahasa
msen
Saiz Teks

𝑺𝑬𝑱𝑨𝑹𝑨𝑯 𝑷𝑬𝑴𝑩𝑼𝑵𝑼𝑯𝑨𝑵 𝑲𝑯𝑨𝑳𝑰𝑭𝑨𝑯 '𝑼𝑻𝑯𝑴𝑨𝑵 BIN 'AFFAN(SIRI 4)

𝐏𝐫𝐨𝐟 𝐌𝐚𝐝𝐲𝐚 𝐃𝐚𝐭𝐨 𝐃𝐫 𝐌𝐨𝐡𝐝 𝐀𝐬𝐫𝐢 𝐛𝐢𝐧 𝐙𝐚𝐢𝐧𝐮𝐥 𝐀𝐛𝐢𝐝𝐢𝐧

𝑷𝒂𝒓𝒂 𝒑𝒆𝒎𝒃𝒆𝒓𝒐𝒏𝒕𝒂𝒌 𝑫𝒂𝒕𝒂𝒏𝒈 𝒌𝒆 𝑴𝒂𝒅𝒊𝒏𝒂𝒉


Hasrat sebenar golongan pemberontak tersebut bukanlah untuk mencari kebenaran, sebaliknya untuk mencari alasan yang membolehkan mereka mengambil tindakan terhadap ‘Uthman. Riwayat yang ada dalam Tarikh al-Tabari juga menceritakan bahawa para pemberontak yang menjadi pengikut kepada ‘Abd Allah ibn Saba’ itu telah membuat perancangan yang baharu. Mereka menuju ke Madinah melalui tiga markas utama mereka iaitu Mesir, Kufah dan Basrah.

Mereka mengatur strategi keluar pada musim haji bersama-sama dengan para jemaah haji yang lain seolah-oleh mereka ingin menunaikan haji. Bahkan mereka mengisytiharkan kepada orang ramai bahawa mereka sememangnya ingin menunaikan haji pada tahun yang tersebut. Apabila tiba di Madinah, mereka meninggalkan dan tidak menyertai jemaah haji yang lain dan terus mengepung ‘Uthman dalam suasana kebanyakan penduduk Madinah ketika itu telah menuju Mekah untuk menunaikan haji (Al-Tabari, Tarikh al-Tabari, jil. 4, hlm. 348). Inilah perancangan jahat mereka agar kedatangan mereka ke Madinah tidak dapat dikesan oleh orang lain.

Pada bulan Syawal tahun 35H, ‘Abd Allah ibn Saba’ dan para pengikutnya telah keluar dari Mesir dalam empat kumpulan. Setiap kumpulan terdapat seorang ketua. Jumlah mereka menurut sebahagian ahli sejarah ialah sebanyak seribu orang. Ketua utama mereka ialah al-‘Afiqi ibn Harb al-‘Akki. Pengikut ‘Abd Allah ibn Saba’ dari Kufah dan Basrah juga turut keluar yang setiap puak berada di dalam empat kumpulan. Jumlah setiap puak kurang lebih seribu orang. Dengan itu, jumlah pengikut ‘Abd Allah ibn Saba’ yang tiba di Madinah tidak kurang daripada tiga ribu ke atas orang.

𝙈𝙚𝙢𝙥𝙚𝙧𝙜𝙪𝙣𝙖𝙠𝙖𝙣 𝙋𝙚𝙢𝙗𝙚𝙨𝙖𝙧 𝙎𝙖𝙝𝙖𝙗𝙖𝙩

Para pemberontak Mesir kononnya melantik ‘Ali sebagai khalifah. Pemberontak Kufah pula mahukan al-Zubayr ibn ‘Awwam dilantik sebagai khalifah. Sementara pemberontak Basrah mahukan Talhah ibn ‘Ubayd Allah sebagai khalifah. Setiap puak datang memujuk ketiga-tiga sahabat yang mulia ini. Namun ketiga-tiganya menolak bahkan memberitahu para pemberontak bahawa mereka semua dilaknat oleh Rasulullah s.a.w (Al-Tabari, Tarikh al-Tabari, jil. 4, hlm. 348-350)

Kekeliruan ini sengaja ditimbulkan oleh pengikut ‘Abd Allah ibn Saba’ untuk mengaburi mata orang ramai. Mereka menggambarkan seolah-olah ketiga-tiga sahabat ini terlibat dalam mencetuskan pemberontakan. Inilah yang cuba digambarkan oleh para perawi Syi’ah, antaranya seperti Abu Mikhnaf. Begitu juga mereka yang sependapat dengannya seperti al-Waqidi.

Kata Salah ‘Abd al-Fattah al-Khalidi: “Ketiga-tiga sahabat yang mulia tidak pernah bersekongkol dengan pengikut ‘Abd Allah ibn Saba’. Mereka tidak pernah pula merancang untuk menggulingkan ‘Uthman. Mereka juga tidak pernah berutus surat dengan mereka bahkan tidak mengetahui apakah tujuan sebenar mereka. Namun pengikut ‘Abd Allah ibn Saba’ telah memperalatkan nama ketiga-tiga sahabat tersebut. Mereka membohongi pengikut mereka yang bodoh dan tidak tahu menilai itu, bahawa para sahabat bersama-sama mereka dan para sahbat jjugalah yang berutus surat dan menggerakkan perancangan mereka. Puak ‘Abd Allah ibn Saba’ di Mesir mengatakan kepada pengikut mereka: “’Ali menggerakkan kami.” Manakala puaknya di Kufah pula mengatakan: “Al-Zubayr yang menggerakkan kami. “ Di Basrah pula puaknya mengatakan: “Talhah yang menggerakkan kami.” (Salah ‘Abd al-Fatah al-Khalidi, Qabasat Tarikhiyyah, hlm. 147)

Apabila para pemberontak itu tiba di Madinah, mereka sekali lagi menimbulkan suasana ketegangan dengan Khalifah ‘Uthman. Lantaran itu, sekali lagi berlaku perbincangan antara ‘Uthman dengan para pemberontak. Al-Quran dijadikan garis panduan dalam perbincangan tersebut. Ia disaksikan oleh beberapa orang daripada kalangan sahabat. ‘Uthman telah menjelaskan segala kekeliruan kepada mereka. Setelah mereka menunjukkan seolah-olah berasa puas hati dan berjanji untuk taat, mereka pun bergerak seolah-olah untuk pulang ke negeri masing-masing (Abu Bakr Ibn al-‘Arabi, Al-‘Awasim min al-Qawasim, hlm. 135).

Penduduk Madinah berasa lapang dada dengan keluarnya para pemberontak tersebut dari Madinah. Mereka merasakan segala kekusustan sudah berakhir namun perkara sebaliknya telah berlaku.

𝙎𝙪𝙧𝙖𝙩 𝙍𝙚𝙠𝙖𝙖𝙣 𝙏𝙚𝙧𝙝𝙖𝙙𝙖𝙥 𝙋𝙖𝙧𝙖 𝙎𝙖𝙝𝙖𝙗𝙖𝙩

Riwayat daripada Sayf mengatakan bahawa dalam perjalanan pulang, para pemberontak Mesir telah bertemu dengan seorang penunggang kuda yang menghampiri mereka kemudian pergi. Kemudian dia datang semula menghampiri mereka. Mereka bertanya kepadanya: “Apa kena dengan kamu?” Jawabnya: “Aku adalah wakil ‘Uthman kepada gabenornya di Mesir.” Mereka pun memeriksa, tiba-tiba didapati ada sepucuk surat dari ‘Uthman beserta copnya sekali mengarahkan agar gabenornya di Mesir menyalib, membunuh serta memotong tangan dan kaki mereka apabila mereka tiba di Mesir.

'𝘼𝙡𝙞 𝙈𝙚𝙣𝙖𝙛𝙞𝙠𝙖𝙣 𝙏𝙚𝙧𝙡𝙞𝙗𝙖𝙩

Sebaik sahaja mereka melihat surat itu, mereka terus kembali ke Madinah dan berjumpa dengan ‘Ali. Mereka berkata kepada ‘Ali: “Tidakkah engkau lihat musuh Allah ini (‘Uthman) yang memerintah agar diambil tindakan kepada kami? Allah telah menghalalkan darahnya untuk kami. Ayuh ikut kami! Kita bertindak terhadap ‘Uthman.” Jawab ‘Ali:”Demi Allah aku tidak akan bersama dengan kamu.” Mereka berkata: “Habis kenapa engkau mengutus surat kepada kami dan mengajak kami menentang ‘Uthman?” Jawab ‘Ali: “Demi Allah aku tidak pernah menulis sebarang surat kepada kamu.” Jawapan ‘Ali ini menjadikan mereka kehairanan dan saling berpandangan. Sebahagian mereka menganggap surat yang disampaikan kepada mereka sebelum ini yang mengajak mereka bangkit menentang ‘Uthman adalah daripada ‘Ali. Namun ternyata telah ‘Ali menafikannya (Al-Tabari, Tarikh al-Tabari, jil. 4, hlm. 355).

Menurut al-‘Allamah al-Syeikh Muhibb al-Din al-Khatib di dalam mengulas riwayat di atas: “Dialog tersebut yang berlaku antara ‘Ali dengan para pemberontak, telah disepakati dalam semua riwayat. Ia menjadi suatu dalil yang kukuh bahawa tangan yang mencipta surat dusta terhadap ‘Uthman itulah juga tangan yang telah mereka surat dusta terhadap ‘Ali. Kita telah mengatakan bahawa para pemberontak terbahagi kepada dua golongan iaitu golongan penipu dan golongan yang ditipu. Mereka yang kehairanan dan saling berpandangan antara satu dengan yang lain apabila menyaksikan ‘Ali bersumpah bahawa beliau tidak pernah menulis sebarang surat kepada mereka adalah golongan yang ditipu. Mereka hairan bagaimanakah ‘Ali tidak menulis sebarang surat kepada mereka, sedangkan surat tersebut telah sampai kepada mereka. Siapakah yang menulisnya? (Muhibb al-Din al-Khatib, Ta’liqat al-‘Awasim min al-Qawasim, hlm. 135)

𝘼𝙡𝙞 𝙈𝙚𝙢𝙗𝙤𝙣𝙜𝙠𝙖𝙧 𝙋𝙚𝙧𝙖𝙣𝙘𝙖𝙣𝙜𝙖𝙣 𝙎𝙪𝙡𝙞𝙩

Lebih memeranjatkan lagi, bukan sahaja pemberontak Mesir sahaja yang datang semula ke Madinah, tetapi para pemberontak Kufah dan Basrah juga turut berpatah balik semula, sedangkan mereka tidak terlibat dalam peristiwa surat tersebut. Secara logiknya mereka tidak mengetahui apa yang terjadi setelah mereka berpisah dan menuju ke destinasi masing-masing. Inilah yang menyebabkan ‘Ali membongkar perancangan jahat mereka ketika mereka meminta ‘Ali menyertai gerakan mereka untuk melucutkan jawatan kekhalifahan ‘Uthman. Tanya ‘Ali kepada mereka: “Apakah yang menyebabkan kamu semua kembali ke Madinah setelah kamu semua pergi dan bersetuju menarik balik tuduhan kamu terhadap ‘Uthman?”

Jawab pemberontak Mesir: “Kami menemui surat yang mengarahkan agar kami dibunuh.”
Jawab pemberontak dari Kufah dan Basrah: “Kami datang untuk menolong kawan kami yang terdiri daripada orang Mesir.”

‘Ali bertanya lagi: “Wahai orang Kufah dan Basrah! Bagaimanakah kamu boleh mengetahui apa yang telah terjadi terhadap orang Mesir, sedangkan kamu semua telah berjalan jauh kemudian kamu kembali semula kepada kami? Demi Allah! Ini adalah perkara yang kamu rancang sejak kamu berada di Madinah lagi.” Jawab mereka: “Katalah apa sahaja yang kamu mahu. Apa yang penting kami sudah tidak berhajat kepada lelaki ini (‘Uthman). Kami akan memecatnya” (Al-Tabari, Tarikh al-Tabari¸jil. 4, hlm. 351).

Jelas daripada dialog di atas bahawa Allah S.W.T telah mengilhamkan kepada cendiakawan Islam besar ‘Ali ibn Abi Talib untuk menyingkap perancangan jahat mereka yang membuat surat rekaan dengan menggunakan nama ‘Uthman. Inilah yang disebut oleh al-Syeikh Sadiq ‘Aejun dalam huraiannya (Sadiq ‘Arjun, ‘Uthman ibn ‘Affan, hlm. 124).

bersambung..