FAQHubungiMaklumbalasPeta Laman
Pilihan Bahasa
msen
Saiz Teks

S𝙀𝙅𝘼𝙍𝘼𝙃 𝙋𝙀𝙈𝘽𝙐𝙉𝙐𝙃𝘼𝙉 𝙆𝙃𝘼𝙇𝙄𝙁𝘼𝙃 '𝙐𝙏𝙃𝙈𝘼𝙉 𝘽𝙄𝙉 '𝘼𝙁𝙁𝘼𝙉 (SIRI 5)

𝗣𝗿𝗼𝗳 𝗠𝗮𝗱𝘆𝗮 𝗗𝗮𝘁𝗼 𝗗𝗿 𝗠𝗼𝗵𝗱 𝗔𝘀𝗿𝗶 𝗯𝗶𝗻 𝗭𝗮𝗶𝗻𝘂𝗹 𝗔𝗯𝗶𝗱𝗶𝗻

𝑴𝒖𝒏𝒂𝒇𝒊𝒒𝒊𝒏 𝑴𝒆𝒎𝒂𝒌𝒔𝒂 ‘𝑼𝒕𝒉𝒎𝒂𝒏 𝑴𝒆𝒍𝒆𝒕𝒂𝒌 𝑱𝒂𝒘𝒂𝒕𝒂𝒏

Golongan Munafiqin akhirnya menemui ‘Uthman dan mengemukakan surat tersebut kepadanya. Mereka memaksa ‘Uthman agar mengaku bahawa surat tersebut memang ada kaitan dengannya. ‘Uthman telah menafikan sekeras-kerasnya. Namun tujuan mereka bukanlah untuk mencari kebenaran. Oleh itu mereka berkeras meminta agar ‘Uthman melucutkan jawatannya sebagai khalifah.

Bagi ‘Uthman, beliau tidak akan melucutkannya kerana ini adalah arahan yang pernah dikeluarkan oleh Baginda Nabi s.a.w kepadanya. Sabda Rasulullah s.a.w yang berbunyi:

يا عثمان إن ولاك الله هذا الأمر يوما، فأرادك المنافقون أن تخلع قميصك الذي قمصك الله فلا تخلعه! يقول ذلك ثلاث مرات.


Wahai ‘Uthman, kalaulah suatu hari nanti Allah melantik engkau memerintah, tiba-tiba golongan Munafiqin ingin menanggalkan pakaianmu yang telah Allah pakaikan padamu, janganlah engaku tanggalkannya (baginda mengulanginya sebanyak tiga kali). (Riwayat al-Tirmizi dan Ibn Majah. Menurut al-Tirmizi: “Hadis ini Hasan Gharib,” Riwayat di atas dengan lafaz Ibn Majah. Al-Albani juga dalam Sahih Sunan al-Tirmizi menyatakan hadis ini Hasan)

Larangan Nabi s.a.w terhadap ‘Uthman daripada melucutkan jawatan sebagai bukti yang nyata bahawa ‘Uthman berada di pihak yang benar. Al-Mubarakfuri mengatakan: “Maksud Nabi s.a.w ialah: “Janganlah engaku lucutkan jawatanmu sebagai khalifah disebabkan mereka, kerana engkau barada di atas kebenaran dan mereka pula berada di atas kebatilan.” (Al-Mubarakfuri, Tuhfah al-Ahwazi, jil. 10, hlm. 152)

𝘼𝙣𝙖𝙠 𝙎𝙖𝙞𝙮𝙞𝙙𝙞𝙣𝙖 "𝙐𝙢𝙖𝙧 𝙈𝙞𝙣𝙩𝙖 '𝙐𝙩𝙝𝙢𝙖𝙣 𝘽𝙚𝙧𝙩𝙖𝙝𝙖𝙣

'Abdullah ibn ‘Umar juga telah menemui ‘Uthman seraya berkata: “Apakah yang dikatakan oleh para pemberontak itu kepadamu?” Jawab ‘Uthman: “Mereka kata: ‘Lucut jawatanmu atau kami akan bunuh engkau.” Kata Ibn ‘Umar: “Apakah engaku akan kekal di dunia ini?” Jawab ‘Uthman: “Tidak.” Kata Ibn ‘Umar lagi: “Apakah mereka boleh bertindak lebih daripada membunuhmu?” Jawab ‘Uthman: “Tidak.” Kata Ibn ‘Umar: “Adalah mereka memiliki syurga dan neraka?” Jawab ‘Uthman: “Tidak.” Kata Ibn ‘Umar lagi: “Oleh itu, janganlah engkau tanggalkan apa yang telah Allah pakaikan padamu. Ia dibimbangi menjadi suatu ikutan, apabila ada sahaja golongan yang membenci khalifah, mereka akan memecat atau membunuhnya.”

‘Uthman juga berhujah dengan para pemberontak. Beliau membaca hadis Rasulullah s.a.w yang menunjukkan Allah S.W.T dan Rasul telah meredhainya. Namun para Munafiqin itu tetap enggan menerima alasan ini. Maka ‘Uthman mengadu kepada Allah S.W.T, katanya: “Ya Allah! Mereka mengingkari kebaikanku dan menukar ganti kurniaku” (Ibn al-‘Arabi, al-‘Awasim min al-Qawasim, hlm. 137-138).

𝘿𝙞𝙖𝙡𝙤𝙜 𝘿𝙚𝙣𝙜𝙖𝙣 𝙋𝙚𝙢𝙗𝙚𝙧𝙤𝙣𝙩𝙖𝙠

Antara ucapan penting ‘Uthman ketika mengajak pemberontak kembali ke jalan kebenaran ialah apa yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Tirmizhi, yang ‘Uthman bertanya kepada para pemberontak yang mengepungnya. Kata ‘Uthman:


أَنْشُدُكُمْ بِاللَّهِ وَالْإِسْلَامِ هَلْ تَعْلَمُونَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَدِمَ الْمَدِينَةَ وَلَيْسَ بِهَا مَاءٌ يُسْتَعْذَبُ غَيْرَ بِئْرِ رُومَةَ فَقَالَ مَنْ يَشْتَرِي بِئْرَ رُومَةَ فَيَجْعَلَ دَلْوَهُ مَعَ دِلَاءِ الْمُسْلِمِينَ بِخَيْرٍ لَهُ مِنْهَا فِي الْجَنَّةِ فَاشْتَرَيْتُهَا مِنْ صُلْبِ مَالِي فَأَنْتُمْ الْيَوْمَ تَمْنَعُونِي أَنْ أَشْرَبَ حَتَّى أَشْرَبَ مِنْ مَاءِ الْبَحْرِ قَالُوا اللَّهُمَّ نَعَمْ قَالَ أَنْشُدُكُمْ بِاللَّهِ وَالْإِسْلَامِ هَلْ تَعْلَمُونَ أَنَّ الْمَسْجِدَ ضَاقَ بِأَهْلِهِ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ يَشْتَرِي بُقْعَةَ آلِ فُلَانٍ فَيَزِيدَهَا فِي الْمَسْجِدِ بِخَيْرٍ مِنْهَا فِي الْجَنَّةِ فَاشْتَرَيْتُهَا مِنْ صُلْبِ مَالِي فَأَنْتُمْ الْيَوْمَ تَمْنَعُونِي أَنْ أُصَلِّيَ فِيهَا رَكْعَتَيْنِ قَالُوا اللَّهُمَّ نَعَمْ قَالَ أَنْشُدُكُمْ بِاللَّهِ وَالْإِسْلَامِ هَلْ تَعْلَمُونَ أَنِّي جَهَّزْتُ جَيْشَ الْعُسْرَةِ مِنْ مَالِي قَالُوا اللَّهُمَّ نَعَمْ ثُمَّ قَالَ أَنْشُدُكُمْ بِاللَّهِ وَالْإِسْلَامِ هَلْ تَعْلَمُونَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ عَلَى ثَبِيرِ مَكَّةَ وَمَعَهُ أَبُو بَكْرٍ وَعُمَرُ وَأَنَا فَتَحَرَّكَ الْجَبَلُ حَتَّى تَسَاقَطَتْ حِجَارَتُهُ بِالْحَضِيضِ قَالَ فَرَكَضَهُ بِرِجْلِهِ وَقَالَ اسْكُنْ ثَبِيرُ فَإِنَّمَا عَلَيْكَ نَبِيٌّ وَصِدِّيقٌ وَشَهِيدَانِ قَالُوا اللَّهُمَّ نَعَمْ قَالَ اللَّهُ أَكْبَرُ شَهِدُوا لِي وَرَبِّ الْكَعْبَةِ أَنِّي شَهِيدٌ ثَلَاثًا


Aku menyeru kamu semua di atas nama Allah dan Islam, adakah kamu tahu bahawa Rasulullah s.a.w telah datang ke Madinah, sedangkan ketika itu tidak ada air yang sedap diminum melainkan telaga Rumah. Lalu Rasulullah s.a.w pun bersabda, “Sesiapa yang membeli telaga Rumah dengan penuh kebaikan lalu dijadikan pencedok airnya bersama-sama dengan pencedok air muslimin, maka diberi ganti untuknya di syurga,” Maka aku membelinya dengan hartaku sendiri, sedangkan kamu pada hari ini menghalangku daripada meminum airnya sehinggakan aku terpaksa meminum air laut.” Jawab mereka: “Ya.”

Kata ‘Uthman lagi: “Aku menyeru kamu semua di atas nama Allah dan Islam, adakah kamu tahu seusngguhnya dahulu masjid Nabi s.a.w penuh sesak dengan orang ramai? Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: ‘Sesiapa yang membeli dengan penuh kebaikan sebidang tanah daripada keluarga si fulan dan dijadikan sebagai tambahan bagi masjid maka diberi ganti untuknya di syurga.’ Maka aku membelinya dengan hartaku sendiri, sedangkan kamu pada hari ini menghalangku untuk bersembahyang di dalamnya walaupun sekadar dua raka’at.” Mereka menjawab: “Ya.”

Kata ‘Uthman lagi: “Aku menyeru kamu semua di atas nama Allah dan Islam, adakah kamu tahu sesungguhnya dahulu masjid Nabi s.a.w penuh sesak dengan orang ramai? Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: ‘Sesiapa yang membeli dengan penuh kebaikan sebidang tanah daripada keluarga si fulan dan dijadikan sebagai tambahan bagi masjid maka diberi ganti untuknya di syurga.’ Maka aku membelinya dengan hartaku sendiri, sedangkan kamu pada ahri ini menghalangku untuk bersembahyang di dalamnya walaupun sekadar dua raka’at.” Mereka menjawab: “Ya.”

Kata ‘Uthman lagi: “AKu menyeru kamu semua di atas nama Allah dan Islam. Adakah kamu tahu bahawa suatu hari Rasulullah s.a.w berada di atas Bukit Thabit di Makkah, turut bersama Baginda ketika itu Abu Bakr, ‘Umar dan aku. Tiba-tiba bukit tersebut bergegar sehingga batunya jatuh ke bawahnya, lalu Baginda menhentak bukit tersebut dengan kaki Baginda dan bersabda: ‘Diam wahai Thabit! Sesungguhnya di atas engkau ini ialah seorang Nabi, seorang sadiq dan dua orang syahid’.” Mereka menjawab: “Ya.” Lantas ‘Uthman berkata: “Allah Akbar! Demi Tuhan al-Ka’bah, mereka mengakui bahawa aku adalah syahid.” (Beliau mengulanginya sebanyak tiga kali.) (Riwayat al-Tirmizhi, al-Maqdisi menyatakan sanad hadis ini Hasan. Lihat Al-Ahadith al-Mukhtarah, jil. 1, hlm. 448)

Maksud sesiapa yang membeli Telaga Rumah dengan penuh kebaikan lalu dijadikan pencedok airnya bersama-samanya dengan pencedok air muslimin, maka diberi ganti untuknya di syurga” ialah telaga tersebut dijadikan wakaf secara am. Ini juga adalah dalil bahawa dibolehkan mewakafkan minuman dan menunjukkan juga bahawa harta yang diwakaf terkeluar daripada milik pewakafnya dan dia dianggap seperti orang ramai terhadap harta yang diwakaf (Al-Mubarakfuri, Tuhfah al-Ahwazi, jil. 10, hlm. 149).

Ucapan di atas, di samping menggambarkan kemuliaan dan jasa yang besar serta jaminan syurga daripada Rasulullah s.a.w untuknya, ia juga merakam kezaliman pemberontak terhadapnya.Mereka menghalangnya daripada mengambil air dan menegah ‘Uthman bersembahyang di Masjid Nabi s.a.w. segala nasihat ‘Uthman tidak dipedulikan, bahkan segala hujah yang dikemukakannya tidak diendahkan. Ini kerana mereka sememangnya berniat untuk membunuh ‘Uthman, walau tanpa sebarang alasan pun.

Mereka terus mengepung ‘Uthman dengan sikap yang penuh biadap terhadap khalifah yang mulia itu. Kepungan ini bertambah hebat apabila mereka mendapat tahu bahawa tentera di wilayah-wilayah lain telah bersiap sedia untuk datang membantu Khalifah. Di samping itu, ‘Uthman sendiri menghantar Ibn ‘Abbas mengepalai rombongan haji. Bersama-sama Ibn ‘Abbas sepucuk surat yang panjang kepada jemaah haji menceritakan hal yang berlaku di Madinah. Namun ketika surat itu dibacakan masanya sudah terlewat, para pemberontak telah bertindak terhadap ‘Uthman (Al-Syeikh Muhammad al-Khudari, Tarikh al-Umam al-Islamiyyah, jil. 2, hlm. 42).

bersambung..