FAQHubungiMaklumbalasPeta Laman
Pilihan Bahasa
msen
Saiz Teks

𝐒𝐄𝐉𝐀𝐑𝐀𝐇 𝐏𝐄𝐌𝐁𝐔𝐍𝐔𝐇𝐀𝐍 𝐊𝐇𝐀𝐋𝐈𝐅𝐀𝐇 ‘𝐔𝐓𝐇𝐌𝐀𝐍 𝐁𝐈𝐍 ‘𝐀𝐅𝐅𝐀𝐍 (SIRI 6)

𝗣𝗿𝗼𝗳 𝗠𝗮𝗱𝘆𝗮 𝗗𝗮𝘁𝗼 𝗗𝗿 𝗠𝗼𝗵𝗱 𝗔𝘀𝗿𝗶 𝗯𝗶𝗻 𝗭𝗮𝗶𝗻𝘂𝗹 𝗔𝗯𝗶𝗱𝗶𝗻

𝑼𝒔𝒂𝒉𝒂 𝑴𝒆𝒎𝒑𝒆𝒓𝒕𝒂𝒉𝒂𝒏𝒌𝒂𝒏 ‘𝑼𝒕𝒉𝒎𝒂𝒏

Dalam kitab Al-Bidayah wa al-Nihayah diceritakan bagaimana Ibn ‘Abbas pada mulanya enggan mengepalai jemaah haji pada tahun tersebut kerana ingin terus berada di Madinah untuk mempertahankan ‘Uthman. Kata Ibn ‘Abbas: “Sesungguhnya aku berada di pintu rumahmu untuk mempertahan engkau adalah lebih afdhal daripada menunaikan haji.”

Namun ‘Uthman tetap mahu supaya Ibn ‘Abbas mengepalai jemaah haji pada tahun tersebut. Oleh itu, Ibn ‘Abbas terpaksa melaksanakannya. Ketika musim haji Ibn ‘Abbas telah memberitahu umat Islam apa yang sedang berlaku di Madinah. Mendengarkan hal ini, para jemaah haji telah berazam apabila tamat sahaja menunaikan ibadat haji mereka akan terus pulang ke Madinah untuk mempertahankan khalifah.

𝙈𝙪𝙖𝙬𝙞𝙮𝙖𝙝 𝙈𝙚𝙣𝙜𝙝𝙖𝙣𝙩𝙖𝙧 𝙋𝙖𝙨𝙪𝙠𝙖𝙣

Pada masa yang sama Mua’wiyah yang merupakan gabenor ‘Uthman di Syam juga telah mengutuskan pasukan tentera yang dipimpin oleh Habib ibn Maslamah* untuk menyelamatkan ‘Uthman. Selain itu penduduk yang salih dari Kufah dan Basrah turut mengutuskan tentera mereka.

[*Habib ibn Maslamah ialah salah seorang sahabat Nabi s.a.w. Beliau pernah menjadi ketua dalam Perang Yarmuk. Semasa Perang Tabuk beliau baru berusia sebelas tahun. Begitu juga ‘Abd Allah ibn Sa’d telah mengirim tentera yang diketuai oleh Mu’awiyah ibn Khadij. Beliau juga salah seorang sahabat Nabi dan ada meriwayatkan hadis daripada Baginda s.a.w. Beliau turut meriwayatkan hadis dairpada ‘Umar, Abu Zhar dan Mu’awiyah serta pernah menyertai Perang Yarmuk (Al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubula’, jil. 3, hlm. 188)]

Apabila pemberontak mengetahui keadaan ini mereka menyegerakan tindakan mereka. Mereka mengambil kesempatan bertindak ketika jumlah penduduk Madinah tidak begitu ramai kerana kebanyakan mereka sedang menunaikan haji. Para pemberontak telah membakar pintu rumah ‘Uthman untuk menyerangnya. Orang ramai serta para sahabat yang ada, berusaha mempertahankan ‘Uthman termasuklah Abu Hurayrah r.a. Ramai pula di kalangan mereka yang cedera dalam mempertahankan ‘Uthman termasuk anak al-Zubayr bin al-‘Awwam iaitu ‘Abd Allah dan anak Sayyidina ‘Ali iaitu Sayyidina Hasan. Bahkan ada dalam kalangan orang Islam yang turut terbunuh. Apabula melihat keadaan bertambah getir, ‘Uthman memerintahkan para sahabatnya supaya pulang ke rumah masing-masing dan melarang mereka daripada menghunuskan senjata (Ibn Kathir, Al-Bidayah wa al-Nihayah, jil. 4, hlm.196). Ini kerana beliau tidak mahu menjadikan dirinya punca pertumpahan darah umat Islam.

𝙋𝙖𝙧𝙖 𝙎𝙖𝙝𝙖𝙗𝙖𝙩 𝘿𝙖𝙩𝙖𝙣𝙜

Dalam Tarikh al-Tabari pula disebut bahawa para sahabat yang berada di negeri-negeri lain dari setiap pelusuk datang untuk menyelamatkan ‘Uthman dan menggesa agar umat Islam bangkit mempertahankan khalifah yang mulia. Di Kufah, bangkit ‘Uqbah ibn ‘Amr**. Selain beliau bangkit juga ‘Abd Allah ibn Abi Awfa***, Handzalah ibn al-Rabi’ al-Tamimi**** bersama-sama sahabat yang lain. Di Basrah, bangkitnya ‘Imran ibn Husayn***** , Anas ibn ‘Amir****** dan lain-lain. Ramai lagi para sahabat yang lain menggesa orang ramai supaya bangkit menghunuskan senajata untuk mempertahankan khalifah (Al-Tabari, Tarikh al-Tabari, jil. 4, hlm. 352).

[**Beliau adalah seorang sahabat Nabi s.a.w daripada golongan Ansar. Para pengkaji bersepakat mengatakan bahawa beliau turut terlibat sama dalam Perjanjian al-‘Aqabah. Al-Bukhari pula telah memutuskan bahawa beliau juga menyertai dalam Perang Badar (Ibn Hajar al-‘Asqalani, Al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah, jil. 4, hlm. 252)]

[***Beliau juga adalah seorang sahabat Nabi s.a.w yang faqih dan bapanya juga seorang sahabat Nabi s.a.w. ‘Abd Allah tersenarai di dalam anggota Bai’ah al-Ridhwan. Rasulullah s.a.w pernah mendoakan kebaikan untuk keluarganya (Al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubula’, jil. 3, hlm. 428)]

[****Beliau salah seorang sahabat Nabi dan digelar juga sebagai Handzalah al-Katib. Beliau ada meriwayatkan hadis daripada Nabi s.a.w, bahkan pernah menjadi penulis baginda. Baginda pernah menghantarnya untuk menemui penduduk Taif. Beliau juga menyertai Perang al-Qadisiyyah (Ibn Hajar al-‘Asqalani, Al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah, jil. 2, hlm. 43)]

[*****Beliau juga adalah salah seorang sahabat Nabi s.a.w. Beliau ada meriwayatkan beberapa hadis daripada Nabi s.a.w. ‘Umar pernah menghantarnya untuk mengajar Islam untuk penduduk Basrah. Semasa hayat Rasulullah s.a.w, beliau pernah menyertai beberapa siri peperangan bersama-sama Baginda (Al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubula’, jil. 2, hlm. 508)]

[******Nama asalnya Syihab ibn ‘Amir daripada golongan Ansar. Rasulullah s.a.w telah menukar namanya kepada Hisyam kerana kata Nabi s.a.w syihab adalah salah satu nama neraka Jahannam (Ibn Hajar al-‘Asqalani, Al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah, jil. 6, hlm. 288).]

Apa yang hendak dinyatakan di sini ialah, betapa tokoh-tokoh para sahabat berusaha membela dan mempertahankan Khalifah ‘Uthman r.a. Dakwaan dari sumber-sumber Syi’ah yang mereka-reka riwayat kononnya para sahabat sebenarnya yang berusaha menjatuhkan ‘Uthman adalah dusta dan palsu. Ia suatu pendustaan yang cuba memberikan tafsiran yang amat salah terhadap realiti sebenar para sahabah.

Riwayat daripada Sayf ibn ‘Umar juga menceritakan betapa kejam dan biadabnya para pemberontak sehingga mereka menahan air daripada sampai kepada ‘Uthman. Bahkan isteri Nabi, Umm Al-Mukminin Umm Habibah pernah berusaha untuk memberi air kepadanya, tetapi para pemberontak telah memukul tunggangannya lalu tunggangan itu lari sehingga menyebabkan beliau hampir terbunuh pada hari tersebut (Al-Tabari, Tarikh al-Tabari, jil. 4, hlm. 388).