FAQHubungiMaklumbalasPeta Laman
Pilihan Bahasa
msen
Saiz Teks

𝐒𝐄𝐉𝐀𝐑𝐀𝐇 𝐏𝐄𝐌𝐁𝐔𝐍𝐔𝐇𝐀𝐍 𝐊𝐇𝐀𝐋𝐈𝐅𝐀𝐇 '𝐔𝐓𝐇𝐌𝐀𝐍 𝐁𝐈𝐍 '𝐀𝐅𝐅𝐀𝐍 (SIRI 7)

𝑷𝒓𝒐𝒇 𝑴𝒂𝒅𝒚𝒂 𝑫𝒂𝒕𝒐 𝑫𝒓 𝑴𝒐𝒉𝒅 𝑨𝒔𝒓𝒊 𝒃𝒊𝒏 𝒁𝒂𝒊𝒏𝒖𝒍 𝑨𝒃𝒊𝒅𝒊𝒏

‘𝗨𝘁𝗵𝗺𝗮𝗻 𝗘𝗻𝗴𝗴𝗮𝗻 𝗗𝗶𝗽𝗲𝗿𝘁𝗮𝗵𝗮𝗻

Keadaan menjadi semakin bertambah gawat. Para pemberontak sudah berani bersikap biadap dan kasar terhadap ‘Uthman. Mereka menyegerakan kesungguhan mereka untuk membunuh ‘Uthman apabila mendapat tahu bahawa orang ramai sedang bersiap untuk mempertahankan khalifah. Para sahabat yang ada di Madinah cuba untuk mempertahankan ‘Uthman termasuk pembesar sahabat. Antara mereka seperti ‘Abd Allah ibn ‘Umar, Sayyidina ‘Ali yang mengarahkan al-Hasan dan al-Husayn serta Zayd ibn Thabit yang membawa orang Ansar bersama-samanya untuk memepertahankan khalifah.

Namun ‘Uthman telah melarang mereka daripada menghunuskan senjata, bahkan memerintahkan mereka agar pulang ke rumah masing-masing. Kata ‘Uthman: “Aku meminta kepada setiap orang yang menganggap wajib ke atasnya mendengar dan taat kepada khalifah agar tidak menghulurkan tangan dan menghunuskan senjatanya (untuk bertempur)”. (Ibn al-‘Arabi, Al-Awasim min al-Qawasim, hlm. 138)

Keadaan ini menyebabkan para sahabat tersebut berasa serba salah. Mereka tahu ‘Uthman mesti dipertahankan daripada kejahatan puak Munafiqin tersebut, namun masalahnya, ‘Uthman telah menggunakan kuasa khalifahnya yang wajib ditaati dengan melarang mereka daripada menghunuskan senjata.

Al-‘Allamah Muhibb al-Din al-Khatib mengatakan: Himpunan riwayat yang ada menunjukkan bahawa ‘Uthman telah mengambil pendirian menyerahkan kepada ketentuan Allah tanpa mahu mempertahankan diri. Ini kerana beliau bencikan fitnah dan takutkan Allah berkaitan darah orang Islam. (Muhibb al-Din al-Khatib, Ta’liqat al-Awasim min al-Qawasim, hlm. 138)

Suatu hakikat yang lain, ‘Uthman sebenarnya sudah tahu apa yang akan terjadi melalui berita yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w kepadanya seperti riwayat yang disebutkan sebelum ini.

𝗗𝗶 𝗺𝗮𝗻𝗮 '𝗔𝗹𝗶?

Sa’id al-Khuza’i pernah bertanya kepada Sayyidina ‘Ali: “Aku bertanya engkau, apakah alasan yang membolehkan tidak menolong ‘Uthman ketika dia dibunuh?”

Jawab ‘Ali: “’Uthman adalah imam (pemimpin) dan dia melarang kami bertempur, dia telah mengatakan: ‘Sesiapa yang menghunuskan pedang bukan daripada kalanganku.’ Dengan itu, kalaulah kami berperang tanpa keizinannya bererti kami telah menderhakainya.”

Kata Sa’id al-Khuza’i: “Apakah alasan yang membolehkan ‘Uthman menyerah diri?” Jawab ‘Ali: “Berdasarkan alasan yang digunakan anak Adam ketika dia berkata kepada saudaranya dalam firman Allah S.W.T:

لئن بسطت إلي يدك لتقتلنى مآأنا بباسط يدى إليك لأقتلك إنى أخاف الله رب العالمين

(maksudnya):Sesungguhnya sekiranya engkau menggerakkan tanganmu kepadaku untuk membunuhku nesvaya aku tidak akan menggerakkan tangaku kepadamu untuk membunuhmu. Sesungguhnya aku takutkan Allah Yang Menjadi Tuhan semesta alam. (Surah al-Ma’idah: 28 [Muhibb al-Din al-Khatib, Ta’liqat al-‘Awasim min al-Qawasim, hlm.140])

𝗦𝗮𝘆𝘆𝗶𝗱𝗶𝗻𝗮 ‘𝗨𝘁𝗵𝗺𝗮𝗻 𝗗𝗶𝗯𝘂𝗻𝘂𝗵

Pada hari para pemberontak yang khianat itu membunuh ‘Uthman, beliau sedang berpuasa. Pada hari yang sama, beliau telah memerdekakan dua puluh orang hamba dan meminta seluar untuk dipakai. Sedangkan beliau tidak pernah memakainya sebelum ini sama ada semasa jahiliyyah ataupun Islam. Beliau memberitahu mereka yang bersama-samanya: “Sesungguhnya aku telah melihat rasulullah s.a.w, Abu Bakr dan ‘Umar di dalam mimpiku, mereka berkata kepadaku: ‘Bersabarlah! Engkau akan berbuka puasa di sisi kami nanti’.”

Kemudian ‘Uthman meminta al-Quran lalu membukanya (untuk dibaca) kemudian beliau dibunuh ketika sedang membaca al-Quran.

Menurut Ibn Kathir: “Tujuan ‘Uthman r.a. memakai seluar pada hari tersebut ialah semata-mata kerana beliau tidak mahu auratnya terdedah ketika dia dibunuh nanti. Ini kerana, seperti yang dinyatakan oleh Nabi s.a.w sebelum ini bahawa beliau adalah seorang yang sangat pemalu dan para malaikat di langit juga malu kepadanya. Beliau meletakkan al-Quran di hadapan dan membacanya. Beliau menyerahkan diri kepada ketentuan Allah ‘Azza Wa Jalla. Dia mengambil keputusan untuk tidak berperang kerananya. Kalau dia memerintahkan mereka untuk berperang nescaya mereka akan dapat memenangkannya terhadap musuhnya. Namun perkara ini sudah ditentukan Allah.” (Ibn Kathir, Al-Bidayah wa al-Nihayah, jil. 4, hlm. 191-192)

𝗞𝗲𝘁𝘂𝗸 𝗗𝗲𝗻𝗴𝗮𝗻 𝗕𝗲𝘀𝗶, 𝗣𝗶𝗷𝗮𝗸 𝗮𝗹-𝗤𝘂𝗿𝗮𝗻

Lebih menyayat hati apabila dibaca riwayat yang menceritakan bagaimana para pemberontak tersebut telah membakar pintu rumah ‘Uthman. Mereka memasuki ke dalamnya lalu memukul ‘Uthman dengan besi dan memijak al-Quran yang sedang dibacanya. Darah ‘Uthman menitis di atas mashaf. Isteri ‘Uthman pula dipotong jarinya. (Al-Tabari, Tarikh al-Tabari, jil. 4, hlm. 391).

Pembunuh ‘Uthman ialah seorang yang bergelar al-Mar’u al-Aswad (Ibn al-‘Arabi, al-'Awasim min al-Qawasim, hlm. 141).

Pada pendapat Muhibb al-Din al-Khatib, kemungkinan al-Mar’u al-Aswad itu adalah ‘Abd Allah ibn Saba’. Ini kerana ketika itu dia turut hadir bersama-sama para pemberontak. Tujuan nama ini digunakan adalah untuk mengelirukan orang ramai (Muhibb al-Din al-Khatib, Ta’liqat al-‘Awasim min al-Qawasim, hlm. 141).

𝗠𝘂𝗵𝗮𝗺𝗺𝗮𝗱 𝗶𝗯𝗻 𝗔𝗯𝘂 𝗕𝗮𝗸𝗿 𝗧𝗶𝗱𝗮𝗸 𝗧𝗲𝗿𝗹𝗶𝗯𝗮𝘁

Terdapat riwayat sejarah yang menyebutkan kisah tentang penglibatan Muhammad ibn Abu Bakr, iaitu anak Sayyidina Abu Bakr al-Siddiq. Ini disebabkan beliau terpengaruh dengan surat yang direka terhadap ‘Uthman. Ketika itu beliau sedang menuju ke Mesir bersama-sama para pemberontak sebagai gabenor baharu yang dihantar oleh ‘Uthman. Apabila sampainya surat fitnah tersebut yang memerintahkan agar dibunuh semua pemberontak Mesir termasuk dirinya, beliau begitu marah kepada ‘Uthman dan turut mengepungnya (Salah ‘Abd al-Fattah al-Khalidi, Qabasat Tarikhiyyah, hlm. 150).

Namun riwayat daripada Sayf dalam Tarikh al-Tabari menyebut bahawa Muhammad telah menyesal dan pulang sebelum berlakunya pembunuhan (Al-Tabari, Tarikh al-Tabari, jil. 4, hlm. 391). Ibn Kathir juga ada menyebut perkara yang sama, iaitu yang sahihnya anak Sayyidina Abu Bakr tidak terlibat semasa pembunuhan berlaku (Ibn Kathir, Al-Bidayah wa al-Nihayah, jil. 4, hlm. 193).

Jelas daripada riwayat yang dipercayai ini bahawa ‘Uthman telah dibunuh secara zalim dan dakwaan bahawa para sahabat sengaja membiarkan pembunuhan ‘Uthman adalah suatu pembohongan serta penipuan yang jelas lagi terang (Wali Allah al-Dahlawi, Mukhtasar al-Tuhfah al-Ithna ‘Asyariyyah, hlm. 266).

𝗞𝗲𝗺𝗮𝗿𝗮𝗵𝗮𝗻 𝗥𝗮𝗸𝘆𝗮𝘁 𝗕𝗮𝗻𝗴𝗸𝗶𝘁

Sesiapa sahaja yang membaca peristiwa ini akan timbul perasaan marah, benci dan dendam terhadap mereka yang terlibat dalam konspirasi jahat itu. Sudah pasti perasaan mereka yang hidup pada zaman itu lebih membara kemarahannya. Ini semua akan menjadi punca tercetusnya kebangkitan untuk bertempur dan membalas dendam. Inilah keadaan yang mesti dihadapi oleh Sayyidina ‘Ali ibn Abi Talib r.a. pada masa pemerintahannya. Perasaan marah yang lahir daripada keimanan para sahabat mendesak agar tindakan segera diambil terhadap para pembunuh ‘Uthman r.a., sedangkan suasana pemerintahan ‘Ali ketika itu tidak mengizinkan. Di sinilah bermulanya fitnah yang besar dikalangan para sahabat seperti yang akan dibahaskan dalam bab yang akan datang.