FAQHubungiMaklumbalasPeta Laman
Pilihan Bahasa
msen
Saiz Teks

𝐒𝐄𝐉𝐀𝐑𝐀𝐇 𝐏𝐄𝐌𝐁𝐔𝐍𝐔𝐇𝐀𝐍 𝐊𝐇𝐀𝐋𝐈𝐅𝐀𝐇 '𝐔𝐓𝐇𝐌𝐀𝐍 𝐁𝐈𝐍 '𝐀𝐅𝐅𝐀𝐍 (SIRI12)
 
𝗕𝗲𝗿𝗱𝗮𝗺𝗮𝗶
Umm al-Mukminin ‘Aisyah pun menghantar wakilnya menemui ‘Ali dan memberitahu tujuan mereka adalah untuk berdamai. Kedua-dua belah pihak begitu gembira dengan keputusan yang dicapai ini. ‘Ali bangun berkhutbah di hadapan tenteranya, mengingatkan mereka bagaimana Islam menyatupadukan penganutnya dan bagaimana Allah S.W.T telah menghimpunkan mereka, selepas kewafatan Nabi s.a.w di bawah pemerintahan Abu Bakar, ‘Umar dan kemudiannya ‘Uthman. Selepas itu berlakulah detik hitam disebabkan golongan yang mencari kepentingan dunia dan dengkikan nikmat Allah S.W.T yang dikurniakan kepada hamba-Nya. 
Seterusnya ‘Ali menegaskan: “Esok aku akan pergi menemui ‘Aisyah dan mereka yang bersamanya untuk berdamai, kamu semua akan mengikutiku. Namun jangan ada seorang pun yang terlibat membantu dalam pembunuhan ‘Uthman turut bersamaku.” 
𝗣𝗲𝗿𝗮𝗻𝗰𝗮𝗻𝗴𝗮𝗻 𝗝𝗮𝗵𝗮𝘁
Apabila mendengar keputusan ‘Ali untuk berdamai, mereka yang terlibat dalam peristiwa pembunuhan ‘Uthman iaitu para pemberontak yang ada di dalam tentera ‘Ali menjadi takut. Mereka berbincang sesama sendiri dan berkata: “Mereka telah berdamai di atas darah kita.” 
Pada pandangan mereka perdamaian ini bererti senjata akan dihalakan ke atas mereka. Lalu ada dikalangan mereka yang mencadangkan agar diambil tindakan terhadap ‘Ali seperti yang mereka telah lakukan terhadap ‘Uthman iaitu membunuhnya. Cadangan ini dibantah oleh kepala penghasut mereka, iaitu pengasas Syi’ah ‘Abd Allah ibn Saba’ sambil berkata: “Buruk sungguh pandangan tersebut, kalau kita membunuhnya kita juga akan dibunuh. Wahai para pembunuh ‘Uthman! Jumlah kita hanyalah dua ribu lima ratus orang, sedangkan para pengikut Talhah dan al-Zubair berjumlah lima ribu orang, kita tidak ada kemampuan menghadapinya dan mereka itu mahukan kita.” Mereka terus berbincang. Akhirnya ‘Abd Allah ibn Saba’ mencadangkan agar mereka memulakan api peperangan terlebih dahulu agar peperangan tetap tercetus.
𝗣𝗲𝗿𝗮𝗻𝗴 𝗝𝗮𝗺𝗮𝗹
Pada malamnya, tentera kedua-dua belah pihak tidur dengan hati yang senang di atas keputusan yang mereka perolehi. Sebaliknya, para pemberontak tidur dalam keadaan risau dan resah. Seperti yang dirancang, sebelum menjelangnya waktu subuh, mereka telah melancarkan serangan terhadap tentera ‘Aisyah dan ‘Ali secara serentak menyebabkan kedua-dua pihak menyangka bahawa pihak yang satu lagi telah mungkir janji. Tentera ‘Aisyah telah mengatakan: “Tentera ‘Ali telah menyerang kita.” Sementara tentera ‘Ali pula mengatakan: “Tentera ‘Aisyah telah menyerang kita.” Maka tercetuslah Perang Jamal yang menyebabkan kematian yang begitu banyak dan berakhir dengan kemenangandi pihak ‘Ali (Ibn Kathir, Al-Bidayah wa al-Nihayah, jil. 7, hlm. 249).
Dengan itu jelaslah bahawa peperangan ini berlaku di luar kehendak dan perancangan para sahabat. Pencetusnya yang sebenar ialah para pemberontak, yang dikepalai oleh ‘Abd Allah ibn Saba’, pengasas ajaran Syi’ah. Namun sehingga kini, Syi’ah yang ingin menutupi jenayah pengasas mereka telah menuduh ‘Aisyah r.a yang memulakan peperangan ini.
𝗔𝗹𝗶 𝗕𝗲𝗿𝗱𝘂𝗸𝗮
Jika kita perhatikan pada siri-siri peristiwa sebelum peperangan, dapatlah difahami bahawa para sahabat tidak pernah berniat untuk bunuh-membunuh sesama sendiri. Apabila melihat kejadian ini Sayyidina ‘Ali sendiri berkata kepada anaknya: “Wahai anakku! Alangkah baiknya kalau ayahmu telah mati sejak dua puluh tahun yang lalu.” Jawab Sayyidina al-Hassan: “Saya telah melarang ayah daripada ini semua.” Jawab Sayyidina ‘Ali: “ Wahai anakku! Aku tidak menyangka akan berlaku sehingga begini.” Lantas Sayyidina ‘Ali memeluk Sayyidina al-Hassan dan berkata: “Apakah ada lagi kebaikan yang diharapkan selepas ini” (Ibn Kathir, Al-Bidayah wa al-Nihayah, jil. 7, hlm. 251).
𝗔𝗹𝗶 𝗱𝗮𝗻 𝗧𝗮𝗹𝗵𝗮𝗵
‘Ali sendiri apabila melihat diri Talhah r.a yang terkorban di dalam peperangan tersebut, turun mendapatkan jenazahnya, sambil menyapu pasir yang ada dimuka Talhah, beliau berkata:
رحمك الله يا أبا محمد! يعز عليّ أن أراك مجدو لا تحت نجوم السماء، ثم قال: إلى الله أشكو عجزي وبجري، والله وددت أني كنت مت قبل هذا اليوم بعشرين سنة.
“Semoga Allah merahmatimu wahai Abu Muhammad (Talhah)! Amat berat perasaanku melihat engkau diserang di bawah bintang langit. Kepada Allah aku mengadu kelemahan dan dukacitaku. Demi Allah! Aku lebih suka sekiranya aku meninggal sejak dua puluh tahun yang lalu”. (Ibn Kathir, Al-Bidayah wa al-Nihayah, jil. 7, hlm. 257).
‘Ali juga pernah berkata: Aku amat mengharapkan agar aku, Talhah, al-Zubair dan ‘Uthman termasuk di dalam golongan yang dinyatakan Allah S.W.T:
ونزعنا ما فى صدورهم من غل إجوانا على سرور متقبلين﴿٤٧﴾
(maksudnya): “Dan kami lenyapkan segala rasa dendam yang berada di dalam hati mereka, mereka merasa bersaudara duduk berhadap antara satu sama lain di atas katil (di dalam syurga) (Surah al-Hijr: 47) (Ibn Kathir, AL-Bidayah wa al-Nihayah, jil. 7, hlm. 259).
𝗔𝗹𝗶 𝗱𝗮𝗻 𝗮𝗹-𝗭𝘂𝗯𝗮𝗶𝗿
Dalam Perang Jamal, al-Zubayr juga terbunuh. Pembunuh al-Zubair ialah ‘Amr ibn Jurmuz. Beliau telah memotong kepala al-Zubair dan datang menemui ‘Ali dengan harapan mendapat tempat di sisi ‘Ali, namun ‘Ali dengan tegasnya mengatakan: Jangan izinkan dia masuk dan berikan khabar gembira untuknya neraka kerana aku mendengar Rasulullah bersabda:
"بشر قاتل ابن صفية بالنار. ثم قال علي رضى الله عنه، سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول: "إن لكل نبي حواريا وحواري الزبير."
“Berikan khabar kepada pembunuh Ibn Safiyyah (al-Zubayr) untuknya neraka.” Kemudian ‘Ali menyebut: “Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: ‘Bagi setiap Nabi itu penolong, dan penolongku ialah al-Zubayr.’” Menurut Ibn Hajar: Hadis ini diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad daripada ‘Ali dengan sanad yang sahih (Ibn Hajar al-‘Asqalani, Fath al-Bari, jil. 6, hlm. 356).
Apabila ‘Ali melihat pedang al-Zubayr dibawa kepadanya, beliau berkata: “Pedang ini sentiasa menghilangkan dukacita daripada wajah Rasulullah” (Ibn Kathir, Al-Bidayah wa al-Nihayah, jil. 7, hlm. 261).
𝗔𝗹𝗶 𝗱𝗮𝗻 '𝗔𝗶𝘀𝗵𝗮𝗵
Apabila unta tunggangan ‘Aisyah terjatuh, para sahabat daripada pihak ‘Ali bertanya dengan penuh rasa hormat tentang keadaan ‘Aisyah. ‘Ali juga datang menemui ‘Aisyah lalu berkata: “Bagaimana keadaanmu wahai ibuku?” Jawab ‘Aisyah: “Baik.” Kata ‘Ali: “Semoga Allah mengampunimu.”
Apabila diberitahu kepada ‘Ali ibn Abi Talib bahawa ada orang yang mencerca ‘Aisyah, beliau memerintahkan agar orang tersebut disebat sebanyak seratus rotan (Ibn Kathir, Al-Bidayah wa al-Nihayah, jil. 7, hlm. 257).
Sementara ‘Aisyah pula menyebut: “Alangkah baiknya sekiranya aku mati sebelum Perang Jamal” (Al-Nadwi, Al-Murtadha, hlm. 145). Selepas peperangan tersebut ‘Aisyah mengatakan kepada orang ramai bahawa sejak dahulu lagi ‘Ali di sisinya adalah daripada kalangan orang yang paling mulia (Ibn Kathir, Al-Bidayah wa al-Nihayah, jil. 7, hlm. 254-257).
𝗕𝗲𝗹𝗮 '𝗔𝗶𝘀𝗵𝗮𝗵
Sementara itu ‘Ammar ibn Yassir yang menjadi tokoh penting di dalam tentera ‘Ali, apabila beliau mendengar ada pengikut ‘Ali yang mencerca ‘Aisyah, lantas beliau berkata: “Diam! Engkau dihodoh dan disalak anjing. Demi Allah! Beliau adalah isteri Rasulullah di dunia dan akhirat.” (Al-Tabari, Tarikh al-Tabari, jil. 4, hlm. 248 melalui riwayat Sayf ibn ‘Umar).
𝗧𝗮𝗹𝗵𝗮𝗵 𝗦𝗲𝗯𝗲𝗹𝘂𝗺 𝗧𝗲𝗿𝗸𝗼𝗿𝗯𝗮𝗻
Diriwayatkan bahawa Talhah ibn ‘Ubayd Allah ketika keluar bersama-sama tentera bagi menuntut darah ‘Uthman, terlihat pada wajahnya perasaan kurang senang. Apabila ditanya kepadanya beliau menjawab:
كنا يدا واحدة على من سوانا فأصبحوا اليوم جبلين يزحف أحدنا إلى صاحبه ولكنه كان مني في أمر عثمان رضى الله عنه ما لا أرى كفارته إلا أن يسفك دمي في طلب دمه.
“Dahulunya kita ini bagaikan satu tangan ketika menghadapi orang lain. Hari ini kita bagaikan dua bukit yang bergerak menuju satu sama lain. Namun bagiku, dalam persoalan ‘Uthman r.a aku tidak nampak melainkan ditumpahkan darahku untuk menuntut darahnya”. (Al-Hakim, Al-Murtadha, jil. 3, hlm. 118. Menurut al-Zhahabi: “Sanadnya sahih” [Al-Dhahabi, Talkhis al-Murtadha, jil. 3, hlm. 118])
𝗔𝗹-𝗭𝘂𝗯𝗮𝗶𝗿 𝗦𝗲𝗯𝗲𝗹𝘂𝗺 𝗧𝗲𝗿𝗸𝗼𝗿𝗯𝗮𝗻
Al-Zubair pula semasa Perang Jamal, beliau telah memanggil anaknya, ‘Abd Allah lalu berkata:
يا بني إنه لا يقتل اليوم إلا ظالم أو مظلوم وإني لا أراني إلا سأقتل اليوم مظلوم.
“Wahai anakku! Seseorang itu tidak dibunuh hari ini melainkan yang zalim atau yang dizalimi. Sesungguhnya aku tidak melihat melainkan aku akan terbunuh pada hari ini secara dizalimi”. (Riwayat al-Bukahri)
Ucapan al-Zubayr ini menunjukkan bahawa para sahabat yang terlibat di dalam peperangan tersebut berasakan bahawa mereka dizalimi kerana keluar dengan takwil. Ia bermaksud semua sahabat yang terlibat di dalam peperangan tersebut mempunyai andaian atau tafsiran yang meyakinkan mereka bahawa kebenaran dan keredhaan Allah S.W.T tindakan terhadap mereka. Adapun selain sahabat mereka adalah orang yang zalim kerana mereka itu mengejar dunia (Ibn Hajar al-‘Asqalani, Fath al-Bari, jil. 6, hlm. 356).
𝗣𝗮𝗿𝗮 𝗦𝗮𝗵𝗮𝗯𝗮𝘁 𝗞𝗲𝘀𝗮𝗹 𝗔𝘁𝗮𝘀 𝗞𝗲𝗷𝗮𝗱𝗶𝗮𝗻
Semua ucapan ini menunjukkan bahawa para sahabat tidak menyukai dan tidak merancang peperangan yang berlaku. Bahkan kasih sayang antara mereka masih lagi terserlah.
 Inilah yang disebut oleh Ibn Taymiyyah: “Sesungguhnya ‘Aisyah tidak berperang dan tidak pula keluar untuk berperang. Tujuan beliau keluar hanyalah dengan hasrat untuk mendamaikan orang Islam. ‘Aisyah menyangka bahawa dengan keluarnya itu akan membawa kebaikan kepada orang Islam. Kemudian ternyata bahawa tidak keluar itu lebih baik kepadanya. Oleh itu, setiap kali beliau mengingati peristiwa itu beliau akan menangis sehingga membasahi kain tudungnya. Demikian jugalah semua al-Sabiqin(para sahabat yang awal) termasuk Talhah, al-Zubair dan ‘Ali yang diredhai Allah. Mereka menyesali penyertaan mereka dalam peperangan tersebut”. (Ibn Taymiyyah, Minhaj al-Sunnah al-Nabawiyyah, jil. 2, hlm. 185)
Sementara itu, syi’ah pula menuduh bahawa para sahabat memang menyukai peperangan ini. Di samping itu, mereka memfitnah al-Zubayr, Talhah dan ‘Aisyah sebagai golongan yang jahat