FAQHubungiMaklumbalasPeta Laman
Pilihan Bahasa
msen
Saiz Teks

ISU KHUTBAH DAN TONGKAT KETIKA SOLAT HARI RAYA DI RUMAH

Soalan: Semasa Solat Hai raya di kediaman masing-masing baru-baru ini disebabkan COVID 19, ada pelbagai pendapat. Ada yang kata, perlu khutbah. Ada juga fatwa yang kata tidak perlu, cukup solat sahaja. Kemudian timbul pula isu pegang tongkat masa khutbah. Sehingga ada yang pegang macam-macam sebagai tongkat. Apa pandangan Dato Mufti Perlis?

Zamani, Pahang.

Jawapan SS Dato Dr MAZA:

Terima kasih kepada saudara yang bertanya. Maaf, terlewat saya menjawab soalan saudara. Saya akan jawab agak panjang sedikit memandangkan beberapa orang bertanya soalan yang ada kaitan dengan hal ini. Di sini saya sebutkan beberapa perkara untuk difahami bersama;

  1. Kita tahu, baru-baru ini Solat Hariraya ditunaikan di kediaman masing-masing disebabkan COVID 19. Selepas solat maka ramai yang berkhutbah. Khutbah bukan rukun penentu solat Hariraya. Pada pandangan kita, dalam keadaan baru-baru ini di mana ramai solat di kediaman masing-masing, khutbah tersebut tetap sunat. Sementara, sebahagian ulama baru-baru ini berpendapat tidak perlu khutbah berdasarkan riwayat yang menceritakan Anas bin Malik r.a. bersolat Hariraya di Zawiah (nama tempat tidak jauh dari Basrah, Iraq) bersama keluarganya tidak menyebut tentang khutbah. Al-Imam al-Bukhari menyebut riwayat Anas tersebut (secara ta’liq) di bawah bab:

بَابٌ: إِذَا فَاتَهُ العِيدُ يُصَلِّي رَكْعَتَيْنِ، وَكَذَلِكَ النِّسَاءُ، وَمَنْ كَانَ فِي البُيُوتِ وَالقُرَى

(Bab: Apabila seseorang terlepas Solat Hariraya maka dia bersolat dua rakaat. Demikian  juga wanita dan sesiapa yang berada di rumah-rumah  dan penempatan-penempatan)

  1. Namun, pada pandangan kita, isu solat Hariraya di rumah masing-masing disebabkan COVID 19 agak berbeza. Dalam kisah Anas bin Malik r.a, dia bersolat Hariraya bersama keluarga sendiri disebabkan terlepas solat bersama imam yang asal. Ertinya, solat Hariraya dan khutbah dalam jamaah besar bersama imam rasmi memang wujud, cumanya, Anas dan keluarga tidak hadir. Dalam isu COVID 19 di Perlis dan banyak negeri, juga negara yang lain, Solat Hariraya rasmi yang besar beserta khutbah bersama kaum muslimin memang tiada. Maka, dalam situasi ini, kita berpendapat setiap keluarga yang bersolat di kediaman digalakkan berkhutbah. Ini bagi menunai wajah asal solat Hariraya yang tidak ditunaikan dalam skala rasmi yang besar. Hal ini seperti keadaan keluarga Islam yang tinggal di negara bukan muslim yang tidak didirikan Solat Hariraya, maka mereka menunaikannya bersama keluarga sendiri. Mereka seperti itu, bersolat bersama dan berkhutbah.

3. Di sisi yang lain, riwayat Solat Hariraya Anas bin Malik bersama keluarga itu tidak menyebut khutbah, tidak juga menafikan khutbah. Maka, di situ masih terbuka kepada andaian sama ada dia berkhutbah atau tidak, walaupun sebahagian mazhab mengandaikan tidak berkhutbah. Riwayat itu menyebut:

وَصَلَّى كَصَلاَةِ أَهْلِ المِصْرِ وَتَكْبِيرِهِمْ

“Dia (Anas bin Malik) solat seperti solat penduduk negeri (di tempat solat rasmi hariraya) dan bertakbir seperti takbir mereka”.( Riwayat al-Bukhari secara ta’liq, Ibn Abi Syaibah dll)

Dalam riwayat al-Baihaqi menyebut:

كان أنَسٌ إذا فاتَته صلاةُ العيدِ مَعَ الإمامِ جَمَعَ أهلَه فصلَّى بهِم مِثلَ صلاةِ الإمامِ في العيدِ

“Anas apabila terlepas solat hariraya bersama imam utama, dia menghimpunkan keluarganya dan bersolat bersama mereka seperti solat imam utama pada hariraya”.

4. Di antara sebab para ulama dahulu tidak menggalakkan khutbah apabila tidak bersolat bersama imam yang dilantik oleh ulul amri ialah untuk mengelakkan fitnah. Mereka bimbang khutbah dijadikan saluran ketegangan dengan ulul amri. Jika hal itu digalakkan, maka akan ada pihak yang mengelakkan solat bersama imam yang dilantik, bersolat bersama kumpulan sendiri dan berkhutbah yang boleh menimbul ketegangan atau fitnah dalam kalangan umat. Ini disebut oleh al-Imam al-Syafii r.h (meninggal 204H) dalam al-Umm semasa membincangkan tentang مَنْ يَلْزَمُهُ حُضُورُ الْعِيدَيْنِ (Siapa yang dikehendaki hadir Solat Dua Hariraya). Kata beliau: وَلَا أُحِبُّ أَنْ يَخْطُبَهُمْ أَحَدٌ فِي الْمِصْرِ إذَا كَانَ فِيهِ إمَامٌ خَوْفَ الْفُرْقَةِ (aku tidak suka seseorang dari mereka berkhutbah dalam negeri yang ada imam (rasmi) kerana bimbangkan fitnah).

Namun, dalam suasana baru-baru ini, di Negeri Perlis khususnya, demikian beberapa negeri yang lain, pihak pemerintah memang membenarkan khutbah. Bahkan membekalkan khutbah untuk dibaca oleh rakyat yang tidak berkemampuan. Hal itu berbeza, melainkan jika ada pihak yang menggunakan khutbah untuk tujuan yang tidak baik.

  1. Al-Imam al-Syafii r.h juga menyatakan tidak mengapa bagi mereka yang bermusafir untuk salah seorang berkhutbah apabila mereka solat Hariraya. Kata beliau:

وَلَا بَأْسَ إنْ صَلَّى قَوْمٌ مُسَافِرُونَ صَلَاةَ عِيدٍ أَوْ كُسُوفٍ أَنْ يَخْطُبَهُمْ وَاحِدٌ مِنْهُمْ فِي السَّفَرِ

“Tidak mengapa jika kaum yang bermusafir solat hariraya atau gerhana semasa permusafiran untuk salah seorang mereka berkhutbah” (al-Umm, 2/69).

  1. Kebanyakan ulama berpendapat memegang tongkat atau yang seumpamanya semasa khutbah adalah sunat, ini termasuk dalam Mazhab al-Imam al-Syafii. Dalam al-Umm, al-Imam al-Syafii r.h menyebut:

وَيَعْتَمِدُ الَّذِي يَخْطُبُ عَلَى عَصًا، أَوْ قَوْسٍ، أَوْ مَا أَشْبَهَهُمَا؛ لِأَنَّهُ بَلَغَنَا "أَنَّ النَّبِيَّ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ - كَانَ يَعْتَمِدُ عَلَى عَصًا"

“Orang yang berkhutbah itu berpegang pada tongkat, atau panah, atau apa sahaja yang menyerupai keduanya. Ini kerana telah sampai kepada kami bahawa Nabi s.a.w itu berpegang pada tongkat (ketika berkhutbah)”. [al-Umm, 1/519. Beirut: Dar Ihya al-Turath al-‘Arabi. 1420H)

Maka, pada sisi al-Imam al-Syafi’i r.h disunatkan khatib memegang tongkat atau panah. Bahkan al-Imam al-Syafi’i menyatakan apa sahaja yang menyerupai tongkat atau panah, dikira sebagai sunat memegangnya.

  1. Ertinya, sesiapa yang memegang kayu panjang, batang golf, buluh, rotan, ranting kayu, monopod atau apa sahaja yang seakan tongkat atau panah, dianggap sunat di sisi al-Imam al-Syafii r.h. Walaupun tiada hadis sahih Nabi s.a.w memegang pedang, namun kalangan para ulama memasukkan pedang antara disunatkan dipegang semasa khutbah.

  2. Dalam masa yang sama, dalam kalangan ulama ada yang berpendapat tidak perlu memegang sesuatu seperti tongkat atau panah ketika berkhutbah. Mereka ini berpendapat hal itu makruh kerana berbeda dengan sunnah. Ini seperti yang disebut dalam Mazhab Hanafi. Kata Ibn Mazah al-Hanafi (meninggal 616H) dalam al-Muhit al-Burhani المحيط البرهاني :

وكذلك إذا خطب متكئاً على عصا أو على قوس جاز، إلا أنه يكره، لأنه خلاف السنّة

“Demikian itu harus (dibolehkan) apabila (khatib) berkhutbah memegang pada tongkat atau pada panah, melainkan ia makruh kerana berbeda dengan sunnah” [2/75. Beirut: Dar al-Kutub al-‘Imiyyah. 1424H]

  1. Al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H) berpendapat Nabi s.a.w hanya memegang panah atau tongkat ketika berkhutbah sebelum dibuatkan untuk baginda mimbar. Masa peringkat awal, seperti yang kita tahu dari riwayat-riwayat yang sahih, Nabi s.a.w berkhutbah atas batang tamar. Semasa itu baginda memegang panah atau tongkat. Mungkin sesuai dengan kedudukan atas batang tamar tersebut. Apabila mimbar telah dibuatkan, baginda s.a.w tidak lagi memegang tongkat atau panah semasa berkhutbah. Kata al-Imam Ibn Qayyim dalam Zad al-Ma’ad :

“Nabi s.a.w tidak pernah memegang pedang atau selainnya (ketika berkhutbah). Hanya baginda memegang panah atau tongkat sebelum dibuat mimbar. Baginda (ketika berkhutbah) dalam peperangan memegang panah dan ketika Jumaat memegang tongkat. Tidak pernah diriwayatkan bahawa baginda memegang pedang. Apa sesetengah golongan jahil sangka bahawa baginda sentiasa memegang pedang sebagai tanda bahawa Islam ditegakkan dengan pedang adalah kejahilan yang teramat. Tidak pernah diriwayatkan bahawa baginda selepas dibuatkan mimbar menaikinya dengan pedang, atau panah atau selainnya. Tidak juga sebelum dibuat mimbar baginda memegang pedang di tangannya sama sekali. Hanya baginda memegang tongkat atau panah”. (Zad al-Ma‘ad, 1/439).

  1. Pendapat bahawa tidak disunatkan memegang tongkat atau selainnya semasa khutbah itu turut disokong oleh sebahagian muhaqqiqin. Antaranya, al-Syeikh Muhammad Salih al-‘Uthaimin, di mana beliau menyebut:

“Adapun (pendapat yang menyatakan sunat) khatib dalam keadaan memegang sesuatu semasa khutbah seperti panah atau tongkat, maka ini perkara yang khilaf dalam kalangan ulama rahimahumullah. Kalangan mereka ada yang berpendapat bahawa adalah sunnah untuk khatib memegang tongkat, atau panah atau pedang. Namun yang sahih, ia bukan sunnah. Sesungguhnya Rasulullah s.a.w memegangnya ketika berkhutbah disebabkan beliau memerlukannya ketika berkhutbah atas batang tamar. Namun, apabila dibuatkan untuk baginda mimbar, baginda tidak berpegang lagi (pada tongkat). Atas alasan ini kita menyatakan bahawa bukan sesuatu yang sunnah untuk khatib memegang sesuatu. Adapun jika seseorang itu memerlukan untuk memegang (sesuatu) maka kita kata bahawa dia wajar memegangnya, bukan kerana khutbah tetapi kerana simpati kepada keadaan dirinya. Ini kerana seseorang wajar kasihani dirinya sendiri dan jangan dibebankan”. [ Ibn al-‘Uthaimin: al-Durus al-Fiqhiyyah, 1/560. Saudi: Muassasah al-Syeikh Muhammad bin Salih al-‘Uthamin al-Khairiyyah]

  1. Kesimpulannya, masalah ini adalah khalafiyyah yang muktabar. Setiap pihak mempunyai alasan dan sisi pandang yang tersendiri. Maka, sesiapa yang ingin memegang tongkat atau seumpamanya, maka dia boleh melakukannya. Sesiapa yang tidak berpendapat demikian, maka dia tidak perlu melakukannya. Tiada perbalahan dalam hal ini.

Namun, jika ada arahan rasmi ulul amri untuk mereka yang bertugas secara rasmi, maka dipatuhi arahan ulul amri tersebut. Jika, tiada arahan atau dia berkhutbah dalam premis sendiri, maka hal itu terpulang kepadanya. Di Negeri Perlis, Jawatankuasa Fatwa telah mentarjihkan pandangan tidak perlu memegang tongkat semasa khutbah. Maka, pandangan itu terpakai ke atas mereka yang menerima tugasan dan arahan rasmi dari ulul amri, jika ada arahan. Jika tiada arahan, maka mana-mana pandangan boleh diamalkan.