FAQHubungiMaklumbalasPeta Laman
Pilihan Bahasa
msen
Saiz Teks

KESILAPAN DAN SALAH FAHAM DALAM IBADAH KORBAN

 Prof Madya Dato Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin

          Menyembelih haiwan korban pada hari-hari raya Adha (10 – 13 Zulhijjah) adalah satu ibadah kepada Allah SWT bagi sesiapa yang memiliki kemampuan melakukannya. Bagi memastikan ibadah ini dilaksanakan dengan baik, di bawah ini disenaraikan beberapa kesilapan dan salah faham dalam ibadah korban untuk dielakkan:

  • Menjadikan Daging Korban Sebagai Upah Kerja

a. Menjadikan daging sembelihan korban (udhiyah) sebagai upah kepada mereka yang terbabit menjalankan kerja-kerja korban seperti tukang sembelih, tukang lapah dan lainnya bererti menjual daging membeli tenaga kerja.

Larangan memberikan daging atau bahagian lain dari haiwan korban sebagai upah kerja kepada penyembelih adalah termaktub dalam hadis-hadis yang sahih yang diriwayat oleh al-Bukhari dan Muslim. Daripada `Ali bin Abi Talib r.a, katanya:

أنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمَرَهُ أَنْ يَقُومَ عَلَى بُدْنِهِ، وَأَنْ يَقْسِمَ بُدْنَهُ كُلَّهَا، لُحُومَهَا وَجُلُودَهَا وَجِلاَلَهَا، وَلاَ يُعْطِيَ فِي جِزَارَتِهَا شَيْئًا

“Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah memerintahkan aku menyembelih unta-untanya (sembelihan ketika haji). Baginda memerintahkan agar aku membahagikan kesemuanya; daging, kulit dan apa yang menutupi belakang unta-unta itu (seperti pelana dan seumpamanya). Baginda juga memerintahkan agar aku tidak memberikan kepada jazzar (penyembelih dan pelapah) sedikit pun darinya.” (Riwayat al-Bukhari Muslim).

Di dalam riwayat al-Imam Muslim ditambah dengan ucapan Saidina `Ali:

نَحْنُ نُعْطِيهِ مِنْ عِنْدِنَا

“Kami memberikan kepada penyembelih dan pelapah upah daripada (harta) kami sendiri”.

b. Sebabnya, daging korban tidak boleh dijual oleh pembuat korban, sama ada dengan cara tukaran wang atau tukaran tenaga kerja. Apa sahaja transaksi yang membawa erti ‘menjual binatang yang telah dikorbankan’ untuk mendapatkan wang atau tenaga kerja atau selainnya, adalah dilarang.

Para fuqaha (sarjana fekah) telah bersependapat bahawa adalah haram hukumnya daging sembelihan korban (al-Udhiyah) itu dijual. Kata Ibn Rusy di dalam Bidayah al-Mujtahid: “Pada pengetahuanku para ulama telah sepakat bahawa tidak diharuskan menjual daging korban” (1/703, Beirut: Dar al-Khair).

c. Walaupun ramai yang tahu bahawa menjual daging korban oleh pembuat korban itu dilarang, namun ada yang terlupa bahawa syarak juga menetapkan bahawa memberi daging korban kepada penyembelih atau pelapah atau sebagai upah hasil kerja yang mereka lakukan adalah termasuk juga dalam hukum jual beli. Iaitu menjual daging untuk membeli tenaga kerja. Demikian termasuk dalam larangan ini ialah memberikan bahagian korban kepada sesiapa sahaja yang terlibat dalam pengurusan korban atas dasar upah atau kerja yang dilakukannya.

d. Al-Imam as-Son`ani ketika mengulas hadis di atas dalam kitabnya Subulus as-Salam, beliau berkata: “Hadis ini menunjukkan bahawa disedekahkan kulit dan apa yang menutupi binatang korban sepertimana disedekahkan dagingnya. Ianya tidak boleh diberikan kepada penyembelih atau pelapah sedikitpun darinya. Ini kerana termasuk dalam hukum jualan disebabkan kedudukannya sebagai upah. Hukum sembelihan korban sama juga dengan hukum sembelih haji dimana daging dan kulitnya tidak boleh dijual juga tidak boleh diberikan kepada penyembelih dan pelapah sedikitpun daripadanya". (4/148. Beirut: Dar al-Ma’rifah)

eDengan hadis di atas jelas bahawa dilarang sesiapa yang melakukan korban memberikan daging atau apa-apa bahagian yang boleh dimanfaatkan dari binatang korban kepada penyembelih atau pelapah sebagai upah, seperti memberi daging atau kulit atau apa yang ada dibelakang binatang tersebut seperti pelana dan lain-lainnya. Justeru, al-Imam an-Nawawi dalam Syarh Sahih Muslim mengkritik pendapat Hasan al-Basri yang membenarkan diberikan kulit kepada penyembelih atau pelapah. Al-Imam an-Nawawi terus mengulas ringkas pendapat ini dengan katanya: “Pendapat ini telah mencampakkan (membelakangi) sunnah” (9/435 Beirut: Dar al-Khair)

f. Al-Imam al-Nawawi dalam kitabnya yang lain iaitu al-Majmu’ sekali lagi menegaskan pendirian al-Mazhab al-Syafi`, katanya: “Telah sepakat al-Imam al-Syafi`i dan tokoh-tokoh mazhab al-Syafi`i bahawa tidak boleh sedikit pun dari sembelihan semasa haji dan `umrah dan sembelihan korban dijual. Samada ia korban nazar atau sunat. Ini termasuk daging, lemak, kulit, tanduk, bulu dan sebagainya. Tidak boleh pula kulit atau selainnya dijadikan upah untuk penyembelih ..”(8/419-420. Beirut: Dar al-Fikr)

g. Mungkin akan timbul persoalan apakah para petugas sembelihan tidak memperolehi apa-apa ganjaran dari kerja yang mereka lakukan? Kita perlu jelas bahawa hadis-hadis tersebut bukan melarang memberikan upah kepada para penyembelih atau pelapah. Larangan dalam hadis-hadis berkenaan hanya jika upah itu diambil dari bahagian korban. Adapun jika upah itu berbentuk wang atau selainnya yang tidak dari bahagian korban maka itu adalah tidak termasuk dalam larangan, bahkan adalah sepatutnya kerja dan tenaga seseorang itu dibayar upah. Sebab itu dalam riwayat tambahan al-Imam Muslim yang disebutkan tadi, Saidina Ali menyebut: “Kami memberikan kepada penyembelih atau pelapah dari harta kami sendiri”. Ertinya mereka akan tetap mendapat ganjaran dari hasil kerja mereka melalui upah yang beri dari wang atau sebagainya tetapi bukan upah itu diambil dari bahagian korban. Inilah cara yang betul dalam mengupah petugas korban.

h. Walau bagaimanapun pemberian kepada penyembelih dari bahagian korban dibolehkan sekiranya ia diberikan bukan di atas dasar upah. Perkara ini dapat diukur dengan diandaikan sekiranya penyembelih atau pelapah tidak melakukan kerja-kerja tersebut pun sememangnya bahagian tersebut ingin diberikan kepadanya. Sebaliknya jika diandaikan jika tidak kerana kerja yang dilakukan maka sudah tentu dia tidak memperolehi bahagian tersebut, maka ini dianggap sebagai upah. Ia merosakkan korban. Kata Wahbah al-Zuhaili dalam Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh: “Jika diberi kepada penyembelih dari apa yang dikorban disebabkan kefakirannya atau sebagai hadiah maka ini tidak mengapa“. (3/633. Damsyik: Dar al-Fikr)

Ertinya, dibolehkan memberikan kepada penyembelih atau pelapah atau sesiapa yang bekerja untuk urusan korban atas sebab kemiskinan atau persahabatan yang sekiranya tanpa kerja yang telah dilakukan pun dia tetap akan diberikan. Dalam contoh yang lain, diberikan upah wang terlebih dahulu kepada penyembelih atau pelapah atau petugas. Kemudian ketika dibahagi-bahagikan daging kepada orang ramai, maka turut diberikan kepada penyembelih atau pelapah atas dasar pemberian biasa seperti orang lain yang hadir. Perkara seperti ini tentulah dibolehkan kerana pemberian itu tidak lagi di atas dasar upah dari bahagian korban kerana upah yang sebenar telah mereka perolehi.

Kata as-Syaukani dalam Nail al-Autar bahawa diriwayatkan daripada Ibn Khuzaimah dan al-Baghawi bahawa dibolehkan memberi bahagian korban kepada penyembelih jika dia adalah seorang yang fakir dan setelah diberi kepadanya upah yang lain (selain dari bahagian korban). ( 5/221. Beirut: Dar al-Jil)

  • Mengambil Daging Korban Tanpa Izin

a. Daging korban adalah milik pembuat korban, bukan milik masjid, surau dan seumpamanya. Pihak pengurusan masjid, surau atau pihak penganjur majlis ibadah korban dilarang bertindak sesuka hati mengagihkan daging korban kepada sesiapa sahaja tanpa mendapat keizinan terlebih dahulu dari pemilik sebenar daging korban.

قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَنْ ضَحَّى مِنْكُمْ فَلاَ يُصْبِحَنَّ بَعْدَ ثَالِثَةٍ وَبَقِيَ فِي بَيْتِهِ مِنْهُ شَيْءٌ» فَلَمَّا كَانَ العَامُ المُقْبِلُ، قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، نَفْعَلُ كَمَا فَعَلْنَا عَامَ المَاضِي؟ قَالَ: كُلُوا وَأَطْعِمُوا وَادَّخِرُوا، فَإِنَّ ذَلِكَ العَامَ كَانَ بِالنَّاسِ جَهْدٌ، فَأَرَدْتُ أَنْ تُعِينُوا فِيهَا

Sabda Nabi s.a.w: “Sesiapa kalangan kamu yang menyembelih korban maka jangan sehingga tiga hari masih berbaki di rumahnya walaupun sedikit daging”. Apabila tahun berikutnya para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah apakah kami kena lakukan seperti tahun lepas (tidak boleh simpan daging lebih dari tiga hari)? Sabda Nabi: “Sila makan, jamu orang lain dan simpanlah. Sesungguhnya tahun lepas orang ramai dalam kesusahan (kekurangan makanan) maka aku ketika itu mahu kamu menolong mereka”. (Riwayat al-Bukhari)

Hadis di atas menunjukkan, orang yang melakukan korban berhak dalam menentukan daging korbannya sama ada mahu memakan, atau memberikan kepada sesiapa atau menyimpannya.

b. Mengambil daging korban orang lain tanpa terlebih dahulu diizinkan oleh empunya yang berniat dan membelanja harta untuk korban tersebut adalah haram. Hal ini biasanya terjadi di tempat di mana daging korban sedang dilapah dan dibahagikan. Terdapat mereka yang sanggup mengambil daging terutama bahagian-bahagian yang mereka suka tanpa terlebih dahulu mendapat keizinan daripada empunya korban. Ini sama dengan mencuri harta orang lain.

c, Dalam hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim, seorang yang menyertai misi jihad bersama Rasulullah s.a.w telah dibunuh. Orang ramai mengucapkan tahniah kerana beliau telah mati syahid (martyrdom). Namun Nabi s.a.w menyebut:

كَلاَّ وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ إِنَّ الشَّمْلَةَ الَّتِي أَخَذَهَا يَوْمَ خَيْبَرَ مِنَ الْمَغَانِمِ، لَمْ تُصِبْهَا الْمَقَاسِمُ، لَتَشْتَعِلُ عَلَيْهِ نَارًا‏"‏‏.‏

“Tidak! Sesungguhnya selendang dari harta rampasan perang yang dia ambil pada hari Peperangan Khaibar tanpa pembahagian (yang betul) sedang menyalakan api neraka ke atasnya”.

Demikian, orang yang mati syahid memasuki neraka kerana mengambil secara haram pembahagian harta rampasan perang. Bagaimana dengan mereka yang mengambil daging korban pihak lain tanpa keizinan terlebih dahulu. Sehingga terjadi, orang yang melakukan korban tidak memperolehi daging korbannya untuk dia tentukan samada mahu memakan, menyimpan atau memberikan kepada pihak lain.

d. Jika pihak yang melakukan korban itu telah mengizinkan daging korbannya diambil oleh sesiapa sahaja, maka sesiapa yang hadir boleh mengambilnya. Jika dia menentukan seperti anak yatim, atau pelajar, atau orang miskin, atau golongan tertertu, maka hanya mereka halal mengambilnya. Sesiapa yang mengambilnya sedangkan dia tidak termasuk dalam kelompok yang diberikan oleh pembuat korban, maka dia sebenarnya memakan atau mengambil sesuatu yang haram baginya.

Firman Allah:

ياأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ

(maksudnya) “Wahai mereka yang beriman, jangan kamu makan harta kamu antara kamu dengan cara yang batil (salah)” (Surah al-Nisa: 29).

 

  • Menguruskan sembelihan dengan cara yang kejam tanpa ihsan kepada haiwan sembelihan.

 

a. Ini biasanya terjadi ketika proses merebahkan haiwan, pisau yang digunakan dan meletakkan haiwan dalam ketakutan. Sifat ihsan atau simpati diwajibkan ke atas kita ketika menguruskan haiwan sembelihan terutamanya korban yang merupakan ibadah kepada ALLAH. Rasulullah s.a.w bersabda:

إنَّ اللهَ كَتَبَ الإِحْسَانَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ: فَإِذَا قَتَلْتُمْ فَأَحْسِنُوا الْقِتْلَةَ، وَإِذَا ذَبَحْتُمْ فَأَحْسِنُوا الذِّبْحَةَ، وَلْيُحِدْ أَحَدُكُمْ شَفْرَتَهُ، وَلْيُرِحْ ذَبِيحَتَهُ

“Sesungguhnya Allah menulis (mewajibkan) ihsan atas segala sesuatu. Apabila kamu mahu membunuh (dengan alasan yang sah), maka perelokkanlah pembunuhan itu. Apabila kamu mahu menyembelih, maka perelokkanlah penyembelihan itu, dan hendaklah kamu menajamkan mata pisau dan hendaklah dia merehatkan (menyenangkan) haiwan sembelihannya itu. (Hadis riwayat Muslim).

b. Berdasarkan hadis di atas, memastikan pisau benar-benar tajam, haiwan yang diuruskan dengan tenang merupakan sebahagian dari tuntutan ihsan.

c. Antara perbuatan yang menafikan sifat ihsan ialah mengasah pisau atau menyembelih binatang korban di hadapan binatang korban yang sedang menunggu giliran untuk disembelih.

Dalam riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak, daripada Ibn ‘Abbas:

أَنَّ رَجُلًا أَضْجَعَ شَاةً يُرِيدُ أَنْ يَذْبَحَهَا وَهُوَ يَحُدُّ شَفْرَتَهُ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: "أَتُرِيدُ أَنْ تُمِيتَهَا مَوْتَاتٍ؟ هَلْ حَدَدْتَ شَفْرَتَكَ قَبْلَ أَنْ تُضْجِعَهَا"

Bahawa seorang lelaki membaringkan biri-biri yang dia hendak menyembelihnya, di samping ketika itu dia menajamkan mata pisaunya. Maka Nabi s.a.w bersabda: “Apakah engkau mahu membunuhnya beberapa kali? Mengapa tidak engkau tajamkan mata pisaumu sebelum engkau membaringkannya?!!” (Hadis riwayat al-Hakim, dia menyatakan sahih dan disetujui oleh al-Zahabi).

d. Hadis-hadis ini dan selainnya menunjukkan kepada kita bahawa pentingnya adab ataupun akhlak dengan haiwan sembelihan. Jangan kita menyeksa haiwan sembelihan dengan kekasaran dan tekanan terhadap haiwan terutama ketika proses membaringkannya. Islam mengajar kesantunan hidup sekalipun terhadap haiwan. Itulah agama rahmat untuk semua yang diturunkan oleh Tuhan sekelian alam.

Jika kita mengendalikan haiwan sembelihan dengar cara yang kasar dan menakutkan, maka pasti itu bukan ajaran dari Sunnah Nabi s.a.w.

  • Menggunakan Harta Orang Ramai Untuk Korban

a, Pensyariatan ibadah korban adalah ditujukan ke atas individu. Hukumnya adalah sunat yang dituntut bagi sesiapa yang memiliki kemampuan melakukannya. Mereka yang tidak berkemampuan, tidak perlu bimbang dengan hal ini.

b. Ibadah korban tidak terlaksana dari haiwan korban yang berupa harta kerajaan, institusi tertentu, badan-badan korporat atau tabung orang ramai dan seumpamanya, melainkan jika haiwan korban itu dari wang individu tertentu sama ada individu dari dalam kerajaan, syarikat atau seumpamanya. Adapun mengambil harta awam atau pihak lain yang tidak dikhususkan untuk ibadah korban, maka itu menyalahi pensyariatan korban.

c. Malangnya, kadang-kala terdapat pihak yang mengambil wang persatuan, atau masjid, atau kerajaan atau mana-mana wang orang ramai untuk membeli binatang korban. Padahal wang itu bukan milik mereka dan bukan tujuan asalnya dikumpulkan untuk melakukan korban. Mereka melakukan hal tersebut tanpa mendapat persetujuan dari ahli ataupun penyumbang wang berkenaan. Jika pun mendapat persetujuan, seekor unta atau lembu hanya dikongsi seramai tujuh orang sahaja, sementara kambing untuk seorang.

d. Hal ini juga berlaku kadang-kala apabila terdapat pimpinan persatuan, ataupun AJK masjid ingin bersaing melakukan korban pada musim ini sedangkan mereka tidak mampu atau tidak mahu menggunakan wang individu. Demikian juga kadang-kala apabila pemegang jawatan dalam kerajaan mengambil kesempatan politik memberikan kepada masjid ataupun orang ramai haiwan atau wang untuk korban untuk mengambil hati pengundi ataupun rakyat. Malangnya, wang tersebut bukan milik peribadi beliau sebaliknya peruntukan kerajaan untuk urusan-urusan bantuan lain. Ini semua bukanlah korban yang diterima. Sebaliknya, mana-mana pihak pengurusan wang atau harta pihak lain yang mengambil wang tersebut untuk bukan tujuan asalnya maka itu merupakan satu pengkhianatan.

e. Ulil Amri boleh melakukan korban dengan belanja hartanya untuk dirinya dan untuk rakyat di bawah pemerintahannya atau dikhususkan untuk rakyat yang tidak melakukan ibadah korban. Nabi SAW yang pernah menyembelih korban untuk baginda, ahli keluarga dan umat baginda. Ini seperti dalam hadis:

عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ، قَالَ: شَهِدْتُ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْأَضْحَى بِالْمُصَلَّى، فَلَمَّا قَضَى خُطْبَتَهُ نَزَلَ مِنْ مِنْبَرِهِ وأُتِيَ بِكَبْشٍ فَذَبَحَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِيَدِهِ، وَقَالَ: «بِسْمِ اللَّهِ، وَاللَّهُ أَكْبَرُ، هَذَا عَنِّي، وَعَمَّنْ لَمْ يُضَحِّ مِنْ أُمَّتِي

Daripada Jabir bin ‘Abd Allah, beliau berkata: “Aku menyaksikan perlaksanaan korban bersama Rasulullah s.a.w di musolla (lapangan solat hariraya). Apabila baginda selesai khutbah, baginda turun dari mimbar, lalu dibawa kepada baginda seekor biri-biri. Maka, baginda menyembelihnya dengan tangan baginda dengan menyebut: “Dengan nama Allah, Allah Maha Besar. Ini daripadaku dan daripada sesiapa yang tidak melakukan korban dari kalangan umatku”. (Riwayat Abu Daud, al-Tirmizi, Ibn Majah dll -sahih-)

f. Dalam kalangan fuqaha khususnya dalam Mazhab al-Syafii ada yang menyebut khalifah boleh menggunakan peruntukan dari Baitul Mal bagi melakukan korban untuk rakyatnya.

Pendapat ini dikeluarkan oleh al-Imam al-Mawardi (meninggal 450H) dalam kitabnya al-Hawi al-Kabir (lihat: 15/125. Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah). Al-Imam al-Nawawi (meninggal 676H) dalam kitabnya al-Majmu’, ketika memetik pendapat ini menyata: “Al-Mawardi telah menyebut bahawa digalakkan untuk Imam (Khalifah) melakukan korban untuk seluruh kaum muslimin dari (peruntukan) Baitul Mal dengan seekor unta di tempat solat (lapangan solat Hariraya). Jika tiada keupayaan, maka seekor kambing. Dia (khalifah) melakukan sendiri sembelihan tersebut. Jika dia melakukan korban dari hartanya sendiri maka dia boleh melakukan di mana sahaja yang dia suka. Ini perkataan beliau (al-Mawardi)” (8/425. Beirut: Dar al-Fikr).

Kata al-Damiri (meninggal 808H) dalam Syarh al-Minhaj: “Tidak boleh melakukan korban  untuk orang lain tanpa izinnya. Ini kerana ia merupakan ibadah. Syarak tidak mengizinkan untuk dilakukan bagi pihak orang lain. Namun, dikecualikan dari hal tersebut untuk imam (khalifah). Dia (khalifah) boleh melakukan korban untuk kaum muslimin dari (peruntukan) Baitul Mal (9/522. Jeddah: Dar al-Minhaj).

  • Berkongsi Binatang Korban Lebih Dari Jumlah Yang Diizinkan

a. Berkongsi melakukan korban seekor kambing atau satu bahagian (1/7) lembu atau unta dengan dua individu atau lebih. Ini kerana seekor kambing atau satu bahagian (1/7) lembu atau unta hanya boleh dijadikan korban untuk seorang individu sahaja. Kadar ini telah ditetapkan oleh Rasulullah s.a.w seperti yang termaktub dalam hadis:

عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللهِ، قَالَ: نَحَرْنَا مَعَ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَامَ الْحُدَيْبِيَةِ الْبَدَنَةَ عَنْ سَبْعَةٍ، وَالْبَقَرَةَ عَنْ سَبْعَةٍ

Kami menyembelih korban bersama Rasulullah s.a.w pada tahun Perjanjian Hudaibiyyah. Seekor unta untuk tujuh (bahagian) dan seekor lembu untuk tujuh (bahagian). (Riwayat Muslim).

b. Satu bahagian hanyalah untuk seorang. Jika satu bahagian itu hasil dari duit kutipan atau tabung orang ramai maka itu bukanlah bahagian korban yang disyariatkan. Seekor lembu atau unta untuk tujuh bahagian. Seseorang boleh mengambil lebih dari satu bahagian, tetapi seekor lembu atau unta tidak dibolehkan untuk dikongsi lebih dari tujuh orang. Jika menggunakan tabung kutipan untuk korban yang diberikan oleh lebih dari tujuh orang, maka itu juga tidak dikira korban yang disyariatkan. Korban pula memerlukan niat untuk korban ketika wang itu diberikan.

c. Adapun ketua keluarga boleh melakukan korban seekor kambing atau satu bahagian (1/7) lembu atau unta untuk dirinya dan seluruh keluarga yang di bawah tanggungannya. Ini seperti yang termaktub dalam hadis:

عن عَطَاء بْن يَسَارٍ قال : سَأَلْتُ أَبَا أَيُّوبَ الأَنْصَارِيَّ كَيْفَ كَانَتْ الضَّحَايَا عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ؟ فَقَالَ : كَانَ الرَّجُلُ يُضَحِّي بِالشَّاةِ عَنْهُ وَعَنْ أَهْلِ بَيْتِهِ ، فَيَأْكُلُونَ وَيُطْعِمُونَ  

Daripada ‘Ata bin Yasar, beliau berkata: “Aku telah bertanya Abu Ayyub al-Ansari tentang bagaimana udhiyah (ibadah korban) pada zaman Rasulullah s.a.w? Kata Abu Ayyub al-Ansari: “Pada masa itu (perlaksanaanya) seorang lelaki melakukan ibadah korban dengan seekor kambing untuk dirinya dan untuk ahli keluarganya. Mereka makan dan memberikan orang lain makan”. (Riwayat al-Tirmizi dan Ibn Majah. Al-Albani menilai hadis ini sebagai sahih).

 

  • Melakukan Korban Dari Sumber Yang Haram

a. Korban merupakan ibadah kepada ALLAH, maka tidak boleh melakukan korban dengan menggunakan hasil dari wang yang haram seperti hasil riba, hasil judi, mengambil hak orang lain dan seumpamanya. Ini kerana Allah hanya menerima apa yang halal dan baik.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: " إِنَّ اللَّهَ طَيِّبٌ لَا يَقْبَلُ إِلَّا طَيِّبًا

Daripada Abu Hurairah, beliau berkata: Bersabda Rasulullah s.a.w “Allah itu baik, DIA tidak menerima melainkan yang baik” (Riwayat Muslim)

b. Terdapat golongan yang kononnya ingin membersihkan wang mereka, lalu mereka mengambil apa yang diperolehi dengan cara yang salah untuk dijadikan korban. Padahal, korban itu manifestasi mendekatkan diri kepada Allah. Korban hendaklah datang dari harta yang terbaik seseorang. Rasulullah s.a.w mengingatkan kita:

إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ لَا يَقْبَلُ صَلَاةً بِغَيْرِ طُهُورٍ، وَلَا صَدَقَةً مِنْ غُلُولٍ

“Sesungguhnya Allah Azza wa Jalla tidak menerima solat tanpa bersuci, tidak menerima sedekah dari pengkhianatan (harta yang tidak amanah). (Riwayat Muslim, al-Nasai, al-Tirmizi, Abu Daud, Ibn Majah).

 

  • Menganggap Tidak Sah Sembelihan Yang Tidak Menyebut Nama Pembuat Korban

a. Sunnah penyembelih korban menyebut ketika sembelihan nama orang yang melakukan ibadah korban. Ini seperti menyebut: “Ya ALLAH terimalah daripada si fulan, dan si fulan…”. Ini pernah dilakukan oleh Nabi s.a.w seperti hadis ‘Aishah r.ha:

عَنْ عَائِشَةَ، أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمَرَ بِكَبْشٍ أَقْرَنَ يَطَأُ فِي سَوَادٍ، وَيَبْرُكُ فِي سَوَادٍ، وَيَنْظُرُ فِي سَوَادٍ، فَأُتِيَ بِهِ لِيُضَحِّيَ بِهِ، فَقَالَ لَهَا: "يَا عَائِشَةُ، هَلُمِّي الْمُدْيَةَ"، ثُمَّ قَالَ: "اشْحَذِيهَا بِحَجَرٍ"، فَفَعَلَتْ: ثُمَّ أَخَذَهَا، وَأَخَذَ الْكَبْشَ فَأَضْجَعَهُ، ثُمَّ ذَبَحَهُ، ثُمَّ قَالَ: "بِاسْمِ اللهِ، اللهُمَّ تَقَبَّلْ مِنْ مُحَمَّدٍ، وَآلِ مُحَمَّدٍ، وَمِنْ أُمَّةِ مُحَمَّدٍ"، ثُمَّ ضَحَّى بِهِ

Daripada ‘Aishah, bahawa Rasulullah mengarahkan (untuk korban) seekor biri-biri bertanduk yang hitam kaki, perut dan sekitar matanya. Lalu kambing itu dibawa kepada baginda untuk dikorbankan. Sabda baginda: “Wahai ‘Aishah! Bawalah pisau”. Kemudian baginda bersabda: “Asahlah (agar tajam) ia dengan batu”. Lalu aku ( Aishah) melakukannya. Kemudian baginda mengambil pisau itu dan mengambil biri-biri tersebut lalu dibaringkan untuk disembelih. Kemudian baginda menyebut: “Dengan nama ALLAH, Ya ALLAH terimalah daripada Muhammad, kaum keluarga Muhammad dan Umat Muhammad”. Kemudian baginda mengorbankannya. (Riwayat Muslim, al-Nasai, Abu Daud, al-Tirmizi, Ibn Majah dll)

Juga dalam hadis sebelum ini:

عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ، قَالَ: شَهِدْتُ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْأَضْحَى بِالْمُصَلَّى، فَلَمَّا قَضَى خُطْبَتَهُ نَزَلَ مِنْ مِنْبَرِهِ وأُتِيَ بِكَبْشٍ فَذَبَحَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِيَدِهِ، وَقَالَ: «بِسْمِ اللَّهِ، وَاللَّهُ أَكْبَرُ، هَذَا عَنِّي، وَعَمَّنْ لَمْ يُضَحِّ مِنْ أُمَّتِي

Daripada Jabir bin ‘Abd Allah, beliau berkata: “Aku menyaksikan perlaksanaan korban bersama Rasulullah s.a.w di musolla (lapangan solat hariraya). Apabila baginda selesai khutbah, baginda turun dari mimbar, lalu dibawa kepada baginda seekor biri-biri. Maka, baginda menyembelihnya dengan tangan baginda dengan menyebut: “Dengan nama Allah, Allah Maha Besar. Ini daripadaku dan daripada sesiapa yang tidak melakukan korban dari kalangan umatku”. (Riwayat Abu Daud, al-Tirmizi, Ibn Majah dll -sahih-)

b. Namun, sebutan nama orang yang melakukan korban ketika sembelihan bukanlah syarat sah korban. Beranggapan tukang sembelih wajib menghafal semua nama peserta korban sebelum menyembelih haiwan korban sebagai syarat sah adalah tidak tepat. Sebenarnya, ia sesuatu yang sunnah untuk dilakukan. Jika tukang sembelih menyebut nama orang yang melakukan korban seperti berkata: “Ya Allah, ini korban dari fulan bin fulan” maka itu suatu yang baik, namun tidak wajib. Dia juga boleh mengingati nama mereka atau membaca catatan nama. Jika hanya dia menyebut: “Ya Allah, terimalah korban dari mereka” juga memadai. Jika dia tidak menyebut nama, tetapi empunya haiwan yang dikorbankan telah berniat korban, maka sah korbannya.