FAQHubungiMaklumbalasPeta Laman
Pilihan Bahasa
msen
Saiz Teks

Selamat Datang Tahun Baru! Selamat Dekat Ajal dan Kiamat!
 
Dr MAZA
 
 
1. Rasanya baru sahaja kita menyambut tahun 2020, kini sudah memasuki 2021 pula. Masa berlari dengan begitu pantas. Kini 2021, dan tak lama lagi bak kata orang tua ‘pejam-celik, pejam-celik’ tahun 2022 pula akan menjelma. Bagi mereka yang hidup lama di dunia ini, akan dapat membezakan kepantasan waktu berlalu dan hari-hari berlari antara dahulu dan sekarang. Makin tahun bertambah, makin laju waktu meluncur menuju ke tarikh yang baru.
 
2. Ketika usia saya baru hendak memasuki 20 tahun, negara kita masa itu berbicara tentang Wawasan 2020. Ketika itu, dilihat jauh masa yang diletakkan. Sebahagian merasakan lama lagi ‘impian’ itu untuk dicapai. Hari ini, tahun 2020 telah pun pergi semalam. Negara telah mengalami pelbagai perkara dan peristiwa. Apakah ia satu impian yang muncul dalam nyata, atau sekadar slogan dalam permainan kuasa? Kitalah yang dapat menilainya. Apa yang perlu kita sedari, hari yang dijanji telahpun pergi.
 
3. Demikian masa memangkas usia. Waktu laju berlalu. Hari pergi tanpa dinanti. Bertambah pantas detik memintas. Setahun bagaikan sebulan. Sebulan bagaikan seminggu. Seminggu bagaikan sehari. Sehari bagaikan seketika. Itulah amaran Nabi s.a.w
عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «لَا تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يَتَقَارَبَ الزَّمَانُ، فَتَكُونُ السَّنَةُ كَالشَّهْرِ، وَالشَّهْرُ كَالْجُمُعَةِ، وَتَكُونُ الْجُمُعَةُ كَالْيَوْمِ، وَيَكُونُ الْيَوْمُ كَالسَّاعَةِ، وَتَكُونُ السَّاعَةُ كَالضَّرَمَةِ بِالنَّارِ»
Daripada Anas bin Malik: “Rasulullah s.a.w bersabda: “Tidak akan berlaku Kiamat sehinggalah zaman (waktu) menjadi dekat (pendek). Maka setahun seperti sebulan, sebulan seperti seminggu, seminggu seperti sehari, sehari bagaikan sejam, sejam bagaikan (kadar) sambaran api”.
Dalam riwayat lain: وَتَكُونُ السَّاعَةُ كَاحْتِرَاقِ السَّعَفَةِ :sejam bagaikan (kadar) kebakaran daun dan pelepah tamar (Riwayat Ahmad, al-Tirmizi, Ibn Majah, Ibn Hibban dll. Hadis sahih).
 
4. Bahkan dengan perkembangan media social hari ini, bukan sahaja masa bertambah pantas, nilai yang ada dalam jiwa manusia juga makin cepat diubah dan berubah. Orang yang disayangi semalam, dibenci pada hari ini. Orang dimusuhi hari ini, kembali disayangi esok hari. Teknologi mencorak nama dan jenama manusia sehingga yang buruk sekelip mata kelihatan baik, yang baik sekelip mata bertukar menjadi salah dan buruk.
 
5. Sesiapa yang berjuang untuk pujian dan ingatan manusia maka ingatlah, masa pantas berlari, keadaan pantas berubah. Segala pengorbanan akan dilupakan, segala jasa akan dipadam oleh ketangkasan perjalanan waktu dan zaman. Dunia baharu memunculkan wajah-wajah baharu. Orang lama akan bergerak menuju penghujung usia. Jika pun dikenang, dia sekadar dalam kenangan. Namun ruang untuknya makin sedikit dan sempit. Akhirnya, Namanya mungkin diletakkan di buku kenangan, atau di jalan atau bangunan. Sendirian dia menghabiskan sisa hidup, dan sendirian dia mengadap ALLAH. Segala amalan telah ditinggalkan untuk pujian manusia di dunia. Manusia akan lupa, Tuhan pula tidak menerimanya.
 
6. Sesiapa yang beramal kerana ALLAH, mengikut cara yang ditunjukkan olehNYA, dia akan diberikan pahala. Ganjaran yang tersimpan di sisi Tuhan, tiada siapa dapat merampasnya. Andainya seluruh manusia menafikan jasanya, ALLAH Maha Mengetahui segalanya, dan ALLAH tidak mensia-siakan amalan hamba-hambaNYA yang soleh. Manusia sering lupa, ALLAH tidak lupa. Kehidupan yang sebenar menanti. Di hari itu tiada yang bermakna lagi, melainkan apa yang diredhai Ilahi.
 
7. Justeru, kitalah yang membuat pilihan ke mana hendak dibawa amalan kita. Tinggal di dunia bersama lupa manusia dan kecewa kita, atau dibawa kepada Tuhan dengan penuh keikhlasan untuk hari pengurniaan?! Setiap hari usia bertambah tanpa menunggu kedatangan tahun baharu. Maut pula tiada siapa yang tahu. Kiamat juga semakin dengan dekat. Tandanya kita dapat rasa dan lihat. Kita menyebut selamat datang tahun baru, sebenarnya kita juga meraikan makin dekat ajal yang ditetap dan Kiamat yang dekat.